KERANA PULUT SANTAN BINASA – DR. RAMALAN YUNUS

126
SHARES
407
VIEWS

Akhirnya YAB Dato’ Seri Sanusi Md Nor Menteri Besar Kedah didakwa di mahkamah mengikut Kanun Keseksaan, Akta Hasutan serta Akta Komunikasi dan Multimedia. Beliau semakin popular hari ini kerana keceluparan mulutnya sewaktu memberikan ceramah-ceramah politik.

Akhirnya keceluparan itu membawa padah kepada dirinya sendiri. Kesilapan yang dilakukan boleh dianggap sebagai “silly mistake” atau “kesalahan konyol.” Ataupun aksi bebal atau lawak bodoh yang selalu dipamerkan oleh seorang badut sarkas.

Sebagai seorang politikus yang memegang jawatan sebagai seorang Menteri Besar Kedah, kesalahan seperti itu tidak seharusnya dilakukan. Beliau seharusnya menjadi seseorang yang lebih intelektual, beretika dan bermoral kerana menyandang jawatan awam.

Soalannya sekarang adakah peristiwa politik yang berlaku ini akan menguntungkan Dato’ Seri Sanusi dan parti atau pihak yang diwakilinya?

Dalam sesebuah masyarakat yang masih belum matang dalam berpolitik dan masih belum berupaya membezakan antara etika, fakta dan auta, peristiwa seperti ini menguntungkan. Ini kerana ia akan memberikan gambaran seolah-olah Dato’ Seri Sanusi dianiaya dan dizalimi oleh lawan politiknya iaitu kerajaan hari ini.

Para penyokongnya pasti akan semakin fanatik dan akan menganggap beliau sebagai seorang pahlawan. Sedangkan pada hakikatnya pahlawan sejati tidak akan melakukan kesilapan seperti itu.

Ia juga akan membina persepsi bahawa kerajaan hari ini jahat, takut dengan kehebatan Dato’ Seri Sanusi, cuba menghalangnya dari menjadi Menteri Besar lagi dan kerajaan akan dilihat sedang cuba untuk menutupi kelemahan pentadbirannya.

Apabila persepsi seperti ini tercipta akibat dari peristiwa politik yang sedang berlaku ini bukankah itu menunjukkan bahawa sesebuah kelompok atau komuniti itu lemah pemikiran dan ‘cacat’ logiknya?

Inilah keuntungan politik yang pernah dinikmati oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim 25 tahun dahulu sehingga tertubuhnya Parti Keadilan Rakyat atau PKR. Tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia sebuah persatuan atau parti politik ditubuhkan hanya untuk membela seorang individu.

Namun itulah catatan sosial dan sejarah yang pernah berlaku di negara kita ini yang menunjukkan bahawa ada kecacatan psikologi dalam masyarakat kita.

Hari ini saya kira sudah pasti Perikatan Nasional atau PN akan menggerakkan segala kekuatan untuk mengeksploitasi dan memanipulasi kelemahan masyarakat ini demi kepentingan politik mereka. Lalu kalau ini yang berlaku, apa yang akan terjadi kepada masyarakat?

Bukankah kecacatan psikologi itu akan terus berkembang dan kekal dalam masyarakat? Adakah sesebuah masyarakat yang mempunyai kecacatan psikologi seperti ini mampu bangkit untuk membina satu tamadun baru dalam zaman baru ini?

Saya kira slogan Malaysia Madani akan tinggal sebagai slogan seperti slogan-slogan yang lain tanpa dapat dimaknai dengan makna yang sebenar. Pada akhirnya politik tidak menjadi alat untuk mengurus dan mentadbir masyarakat tetapi hanya menjadi alat untuk mengeksploitasi dan memanipulasi kelemahan masyarakat demi kepentingan kelompok tertentu.

Inilah yang berlaku dan terus berlaku semenjak negara merdeka pada tahun 1957. Sentimen agama, bangsa dan Raja terus dieksploitasi dan dimanipulasi bukan untuk membangunkan masyarakat dan negara tetapi hanya untuk kepentingan pihak tertentu sahaja.

Harus ada segelintir masyarakat yang bangkit untuk mendukung slogan Malaysia Madani dalam pengertian dan maksud yang sebenarnya. Malaysia Madani harus menjadi satu gerakan revolusi mental dan akhlak atau intelektual dan moral bagi membina sebuah tamadun baru di zaman baru.

Institusi pengajian tinggi dan masjid harus memainkan peranannya yang sebenar untuk mendidik intelektual dan moral bangsa. Inisiatif ke arah mengembalikan institusi pengajian tinggi dan masjid sebagai institusi yang membina intelektual dan moral bangsa perlu dilakukan dengan kadar segera.

Kita harus bergerak lebih pantas sekiranya kita tidak mahu ketinggalan di zaman yang serba pantas ini. Teknologi Artificial Intelligence atau Kecerdasan Buatan perlu dibangunkan dan dikembangkan penggunaannya dengan kadar segera. Ini bagi menggantikan intelektual atau kecerdasan masyarakat yang bukan semakin ke depan malah semakin ke belakang. Bukan semakin sihat malah semakin sakit kerana kerenah para politikus.

Mengakhiri kalam untuk kali ini, ini pesanan saya buat semua;

Kerana pulut santan binasa. Kerana mulut politikus masyarakat yang binasa.

Lakukan sesuatu agar intelektual dan moral masyarakat semakin sihat dan kuat demi kebangkitan sebuah negara bangsa.

Dato’ Dr Ramalan Yunus

Penganalisis politik & ekonomi bebas

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts