Sebagaimana yang telah dijangka Tun Mahathir muncul di pentas PAS untuk berkempen menyokong PN dalam PRN kali ini. Maka cukup jelas kini bahawa motif sebenar Proklamasi Melayu adalah untuk mensabotaj Kerajaan Perpaduan yang diterajui oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Proklamasi Melayu bukan untuk membela nasib Melayu tetapi adalah untuk membela nasib dirinya, keluarga dan kroni-kroninya.
Sudah beberapa kali saya menulis bahawa medan juang orang Melayu bukan di pentas politik tetapi di mahkamah undang-undang. Ini kerana perjuangan politik orang Melayu sudah selesai pada tahun 1957.
Agama, bangsa, raja, bahasa, adat budaya dan hak-hak orang istimewa orang Melayu sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Tidak ada mana-mana pihak yang mampu mengancam dan mengugat perkara-perkara tersebut.
Kaum bukan Melayu bukan ancaman kepada hak-hak orang Melayu. Ancaman sebenar adalah para elit politik Melayu yang merompak dan menyamun hak-hak orang Melayu.
Ancaman sebenar adalah para elit politik Melayu yang gagal mempertahankan hak-hak orang Melayu. Ancaman sebenar adalah para elit politik Melayu yang gagal mengkayakan dan memperkasakan orang Melayu.
Realitinya ancaman tersebut bermula apabila Tun Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia pada tahun 1981. Maka dari detik itu bermulalah zaman gelap Melayu di negara mereka sendiri sehinggalah ke hari ini.
Perdana Menteri Malaysia yang hebat adalah Tun Abdul Razak Hussein. Bukan Tun Dr Mahathir Mohamad. Lihat sahaja Petronas, Felda dan Felcra. Kekal sebagai penyumbang pendapatan terbesar kepada negara ini. Bukan KLCC, Proton dan Sepang Circuit.
Mahu pulihkan Ringgit Malaysia kembali kepada RM2.50 per 1 USD pun tidak mampu jadi bagaimana Tun Mahathir dan konco-konconya hendak membela nasib Melayu?
Bajet defisit bermula dari tahun 1998 dan kekal sehingga ke hari ini. Sudah 25 tahun. Bukan 25 bulan. Pegangan ekuiti Bumiputera masih berlegar di sekitar 20 peratus. Dari dulu, kini dan mungkin kekal selamanya.
Itu menunjukkan belum ada pemimpin dan kerajaan yang kompeten lagi di negara ini. Bajet defisit itu mungkin akan terus kekal sehingga 25 tahun lagi sekiranya sesuatu yang drastik, radikal dan holistik tidak di lakukan.
Jadi kepada semua orang Melayu janganlah terus terpedaya dengan segala retorika dan permainan persepsi dari Tun Mahathir. Kalau selama 22 tahun dan 22 bulan berkuasapun beliau tidak mampu membela nasib Melayu apatah lagi apabila sudah tidak ada kuasa.
Pada hari ini yang berkuasa ialah Kerajaan Perpaduan. Kerajaan Perpaduan bukan kerajaan Pakatan Harapan atau kerajaan Barisan Nasional, tetapi adalah Kerajaan Yang DiPertuan Agong. Lahir dan wujud dari titah baginda Tuanku.
Lalu kenapa perlu ada pihak yang mahu terus mempertikai dan menentang titah YDP Agong? Adakah titah tersebut bertentangan dengan syariat Islam? Adakah titah tersebut bertentangan dengan adat dan budaya Melayu?
Bukankah titah tersebut merupakan satu solusi kepada segala konflik politik dan krisis ekonomi yang sedang berlaku? Kalau sudah sedemikian maka kenapa kita tidak fokus kepada solusi? Kenapa masih mahu terus fokus kepada masalah dan ancaman kononnya? Jadi di mana logiknya pemikiran yang seperti itu?
Pada PRN kali ini, memberi satu undi kepada Kerajaan Perpaduan bermakna memberikan sokongan penuh kepada solusi dari Istana Negara dan Majlis Raja-raja Melayu.
Manakala memberi satu undi kepada PN bermakna memberi undi kepada para penderhaka Raja-raja Melayu yang tidak mahu melihat negara ini stabil dan sejahtera.
Para penderhaka ini bukan berjuang untuk membela nasib rakyat melainkan untuk membela nasib mereka sendiri dengan memperbodoh-bodohkan rakyat.
Dato’ Dr Ramalan Yunus
Penganalisis politik & ekonomi bebas
22 Julai 2023