CALON MENTERI BESAR TERENGGANU – DR. RAMALAN YUNUS

412
SHARES
2.4k
VIEWS

Biarpun para penyokong Perikatan Nasional mendakwa mereka akan menang 6-0 atau 5-1 dalam PRN ini saya masih optimis keputusan kekal seperti sekarang iaitu 3-3.

Saya juga optimis Barisan Nasional mampu merampas Terengganu dari PAS sekiranya pemimpin tertinggi mereka berani menampilkan muka-muka baru sebagai calon PRN dan menggunakan strategi kempen yang sesuai yang boleh meyakinkan rakyat Terengganu.

Ini kerana rakyat Terengganu mempunyai budaya dan tradisi yang jauh berbeza dengan Kelantan dan Kedah. Akar umbi di Terengganu tidak fanatik kepada PAS seperti di Kelantan dan Terengganu. Akar umbi di Terengganu lebih terbuka dan rasional dalam memberikan sokongan kepada parti-parti politik yang dominan di Terengganu seperti UMNO dan PAS.

Pendekatan kempen yang bersifat “simple logic” dan “for immediate consumption” lebih diterima oleh rakyat di Terengganu. Pendekatan ini yang telah membuatkan UMNO begitu dominan suatu masa dahulu sehingga berlaku konflik dan perpecahan dalam UMNO pada tahun 1998.

Semenjak itu sering berlaku perubahan dan pergantian kepemimpinan politik dan pentadbiran kerajaan negeri antara UMNO dan PAS. Dalam situasi politik hari ini khususnya Terengganu ada beberapa isu seperti isu pemberian tanah dan sebagainya memberikan peluang kepada UMNO dan BN untuk kembali bertapak di Terengganu.

Sentimen akar umbi di Terengganu dikesan masih condong kepada UMNO. Ini terutamanya kepada golongan remaja dan muda. Mereka beralih sokongan kepada PN dan PAS pada PRU-15 adalah kerana faktor konflik dalaman UMNO dan juga kerana politik wang.

Sokongan kepada PN dan PAS dapat diubah dengan menampilkan muka-muka baru dan strategi kempen yang sesuai dengan perkembangan politik semasa. Muka-muka baru itu pula termasuklah sebagai calon MB Terengganu yang baru untuk mewakili Kerajaan Perpaduan.

Kelihatannya harapan itu berpotensi untuk direalisasikan apabila bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia 2013 – 2018 iaitu Dato’ Seri Jailani Johari bakal bertanding di kawasan DUN Ajil. Saya optimis beliau mampu memimpin kebangkitan UMNO dan meniupkan angin perubahan di Terengganu dengan segala kemampuan dan pengalaman yang dimilikinya.

Terengganu tidak boleh dibiarkan terus berada di bawah pentadbiran PAS dan PN. Ini bagi mengelakkan Terengganu dari menjadi seperti Kelantan. Terengganu pada hari ini memerlukan seorang pemimpin yang berkaliber dan berpengalaman seperti Dato’ Seri Jailani Johari.

Beliau terkenal sebagai seorang pemimpin yang berwawasan, mesra rakyat dan memiliki hubungan yang baik dengan Istana Terengganu. Dengan pengalamannya sebagai bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia saya yakin beliau mampu memimpin Terengganu dalam era teknologi digital.

Pengalaman itu juga dapat digunakan untuk mendekati golongan remaja dan golongan muda yang mesra dengan teknologi dan aplikasi-aplikasi yang terkini. 

Kesimpulannya Dato’ Seri Jailani Johari adalah merupakan calon Menteri Besar yang paling sesuai dalam PRN pada kali ini. Peluang beliau dan UMNO cukup besar kali ini dengan catatan tidak berlaku konflik dalaman dan tidak berlaku sabotaj-mensabotaj sesama pemimpin UMNO Terengganu pada PRN kali ini.

Seluruh jentera UMNO harus memberi sokongan kepada Dato’ Seri Jailani Johari dan fokus untuk mencapai kemenangan besar. Dato’ Seri Ahmad Said dan para pemimpin UMNO yang lain harus berjiwa besar untuk memberi ruang dan laluan kepada beliau untuk memainkan peranan besar pada PRN kali ini.

Masa Dato’ Seri Ahmad Said dan para pemimpin senior yang lain sudah habis. Beri peluang kepada muka baru untuk mengambil alih pucuk pimpinan UMNO Terengganu.

Dato’ Dr Ramalan Yunus

Penganalisis politik & ekonomi bebas

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts