PRN – PESTA DEMOKRASI BUKAN PESTA CACI MAKI – DR. RAMALAN YUNUS

350
SHARES
2.1k
VIEWS

Demokrasi menjunjung kebebasan bersuara. Kebebasan bersuara pula merupakan hak rakyat yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Namun kebebasan bersuara di Malaysia tidak bermakna kita bebas berbohong, membuat fitnah, mengutuk, mengeji, menghina, mengecam dan mencaci maki dengan sesuka hati. Ini kerana Malaysia adalah sebuah negara Islam. Atas dasar itu Kesopanan dan Kesusilaan menjadi prinsip kelima dalam Rukun Negara.

Sampaikanlah pandangan atau pendapat kita dengan hujah-hujah bernas yang disandarkan kepada fakta-fakta yang unggul dan berintegriti. Berhujahlah dengan akal sihat. Bukan mencaci maki secara beremosi.

Kalau berhujah itu cara demokrasi yang sihat maka setakat ini saya tidak nampak satu hujah bernas dari para pemimpin mahupun para penyokong Perikatan Nasional yang mampu membatalkan kenyataan bahawa Kerajaan Perpaduan pada hari ini ialah Kerajaan Tuanku.

Kerajaan Perpaduan merupakan solusi kepada konflik politik yang berpanjangan pasca PRU-14 lagi dan dengan tujuan untuk memulihkan keadaan ekonomi rakyat dan negara.

Maka dalam PRN pada kali ini isu sebenarnya ialah adakah negara perlukan pembangkang dalam keadaan negara sedang mengalami darurat ekonomi? Ini kerana dalam keadaan darurat ekonomi seperti yang sedang kita alami pada hari ini kita perlukan kestabilan politik bagi memulihkan kembali keadaan ekonomi.

Hanya dengan wujudnya kestabilan politik sahaja baru pihak kerajaan dapat menumpukan segenap usaha untuk memulihkan keadaan ekonomi. Hanya dengan kestabilan politik barulah para pelabur luar berani untuk menanam pelaburan mereka di negara ini.

Hanya dengan wujudnya kestabilan politik barulah peluang pekerjaan dan peluang perniagaan akan berkembang kembali. Hanya dengan wujudnya kestabilan politik barulah pasaran saham kita akan meningkat kembali.

Hanya dengan wujudnya kestabilan politik barulah matawang kita akan kembali kukuh dan meningkat nilainya. Hanya dengan wujudnya kestabilan politik barulah kos sara hidup dapat diseimbangkan dengan pendapatan.

Jadi kalau kestabilan politik yang menjadi kunci kemakmuran lalu untuk apa mahu menyokong PN?

Konflik politik harus dihentikan dengan kadar segera. Kita tidak boleh biarkan konflik antara pentadbiran negeri dan pentadbiran pusat. Perlu ada penyelarasan antara pentadbiran negeri dan pentadbiran pusat.

Beri PMX peluang untuk membuktikan kebolehannya mentadbir negara. Beliau sudah membuktikan betapa istiqamahnya beliau dengan idealisme dan perjuangannya. 25 tahun sebagai tokoh pembangkang dan pada akhirnya berjaya menjadi Perdana Menteri Malaysia merupakan satu pencapaian yang luar biasa.

Beliau membuktikan kenyataan bahawa sekiranya kita berpegang teguh dengan impian dan cita-cita kita Insya-Allah kita pasti akan berjaya suatu hari nanti. Ini sesuatu yang boleh dicontohi oleh sesiapa sahaja terutamanya golongan muda dan remaja yang mempunyai impian dan cita-cita yang besar.

Apa yang penting adalah mereka sanggup berkerja keras dan sanggup berkorban masa, harta dan tenaga untuk mencapai impian dan cita-cita mereka. Ini sisi hebat dan cemerlang PMX. Lalu kenapa kita tidak mahu melihat sisi hebat dan cemerlang beliau ini?

Kenapa beliau harus dihina, dikecam dan dicaci maki setiap hari? Bukankah beliau sudah mempunyai ciri-ciri dan kualiti yang penting untuk berjaya? Kalau tidak berpuas hati dengan beliau, kritik dasar, kaedah dan pendekatan beliau tetapi bukan soal-soal peribadi beliau. 

Beliau bukan Dato’ Seri Anwar Ibrahim secara peribadi tetapi adalah Perdana Menteri Malaysia. Sebuah institusi yang paling berkuasa dan berpengaruh di negara ini. Sebuah institusi yang diamanahkan untuk mentadbir negara ini bagi pihak DYMM Yang DiPertuan Agong Malaysia.

Sebuah institusi yang bertanggungjawab untuk menegakkan keadilan sosial sesuai dengan prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara dan juga dengan apa yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Politik bukan urusan peribadi tetapi adalah urusan masyarakat awam. Ia berkaitan dengan keadilan dan kesejahteraan sosial. Politik adalah medan untuk berhujah bukan untuk mencaci maki.

Jadi belajarlah bernegara dengan menggunakan akal sihat. Bukan dengan beremosi.

Dato’ Dr Ramalan Yunus

Penganalisis politik & ekonomi bebas

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts