MALAYSIA-TURKIYE PERKUKUH HUBUNGAN DUA HALA

335
SHARES
2k
VIEWS

YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkesempatan mengadakan pertemuan secara maya bersama sahabat beliau Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, Malam tadi.

Pertemuan secara maya tersebut turut ditemani oleh Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Kadir.

Sebelum memulakan perbincangan, Presiden Erdogan sempat mendoakan kejayaan gabungan perpaduan dalam Pilihan Raya di 6 Negeri di Malaysia.

YAB Perdana Menteri turut menyampaikan salam daripada Dato’ Seri Wan Azizah serta keluarga kepada isterinya Amina dan keluarga serta keinginan untuk bersua muka dalam kesempatan terdekat.

Dalam sesi ini, Presiden Erdogan memberikan komitmen jelas bahawa beliau akan berkunjung ke Malaysia dalam masa terdekat bagi memenuhi undangan YAB Perdana Menteri untuk memperkukuhkan lagi hubungan kedua-dua negara.

Beliau dan Presiden Erdogan turut bersetuju untuk bersemuka semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York yang akan diadakan pada bulan depan.

Dalam kesempatan yang ada mereka turut berbincang terkait kerjasama pelaburan antara Malaysia dan Turkiye.

Beliau turut mengulangi komitmen pelaburan Malaysia Airport Holding Bhd sebanyak £200 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (ISGIA).

Untuk itu, Batik Air telah terpilih sebagai operator untuk laluan KUL-ISG. Dijangka penerbangan Batik Air akan bermula pada Oktober 2023.

YAB Perdana Menteri dan Presiden Turkiye turut berbincang terkait kerjasama pertahanan di mana Agensi Industri Pertahanan Turkiye (SSB) telah menghantar delegasi yang besar untuk menyertai Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) baru-baru ini.

Beliau berasa kagum dengan kemajuan teknologi pertahanan Turkiye dan yakin Malaysia bakal mendapat manfaat besar hasil kerjasama erat antara Malaysia – Turkiye. YAB Perdana Menteri secara prinsip turut bersetuju untuk memuktamadkan Memorandum Persefahaman dalam kerjasama pertahanan pada masa yang terdekat.

Untuk rekod, jumlah perdagangan dengan Turkiye pada tahun 2022 berjumlah AS$4.62 bilion (meningkat sebanyak 12.6 peratus). Jumlah lebihan dagangan sebanyak AS$3.33 bilion kerana Turkiye mengimport minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit.

YAB Perdana Menteri juga menyatakan pendirian tegas Kerajaan Perpaduan yang menolak sebarang unsur keganasan serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam keganasan di negara ini.

Beliau juga menggunakan kesempatan ini untuk maklumkan kepada Presiden Erdogan terkait usaha Malaysia menentang Islamophobia (permusuhan dan benci ke atas islam) iaitu tindakan membakar Al-Quran di Sweden. Beliau mengecam sekerasnya tindakan tersebut yang berlindung di sebalik hak kebebasan bersuara yang diagungkan oleh Barat.

Lantaran itu Malaysia menzahirkan komitmen untuk menyumbang satu juta naskhah Al-Quran di seluruh dunia termasuk 15,000 naskhah dengan terjemahan dalam bahasa Sweden sebagai salah satu usaha untuk menangani kedangkalan pemahaman Barat terhadap Islam.

Akhir sekali, YAB Perdana Menteri turut sampaikan salam anak-anak pelajar Kolej Matrikulasi Pulau Pinang yang ditemui petang semalam dalam program Temu Anwar kepada Presiden Erdogan.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts