Hari ini SPRM keluarkan kenyataan memburu Adlan Berhan. Adlan ini ialah menantu Tan Sri Muhyiddin. Siasatan ini terkait satu kontrak bernilai RM1.2 bilion yang diberi ketika tempoh darurat 2 tahun lepas.
Apa cerita sebenarnya? Saya cuba tulis sehabis ringkas kerana ia juga terkait dengan Presiden UMNO Datuk Sri Ahmad Zahid Hamidi.
Ceritanya pada tahun 2017, kerajaan Barisan Nasional telah menganugerahkan satu projek bernilai RM3.5 bilion kepada sebuah syarikat bernama Prestariang. Kontrak ini bagi membuat Sistem Kawalan Imigresen Nasional (SKIN) untuk menggantikan sistem sedia ada yang sudah berusia lebih 20 tahun.
Pada tahun 2019, Muhyiddin (ketika itu Menteri KDN) membatalkan projek tersebut dan mahukannya diganti dengan sistem lain. Sistem baru ini dinamakan National Integrated Immigration System (NiiSE). Harganya cuma RM1.2 bilion.
Ketika itu ramai orang serang Zahid. Zahid seleweng duit kerajaan. Zahid kaki sakau. Projek yang sepatutnya bernilai RM1.2b tetapi Zahid mark-up sampai 3 kali ganda.
Betul ke begitu? Salah.
Projek zaman Zahid sebenarnya menggunakan konsep konsesi. Di mana kerajaan tidak perlu bayar apa-apa sehingga projek siap dan berfungsi. Apabila siap, kerajaan perlu bayar RM290 juta setahun untuk guna selama 15 tahun.
Ini bermakna kerajaan tidak tanggung apa-apa risiko jika projek tidak siap.
Tetapi projek zaman Muhyiddin pakai konsep ‘turn-key’. Di mana kerajaan perlu bayar RM1.2 bilion sehingga projek siap. Kemudian kerajaan juga perlu bayar kos operasi dan penyelenggaraan pada setiap tahun ia digunakan.
Ini bermakna kerajaan perlu tanggung risiko jika ia tidak siap, dan kerajaan juga tanggung risiko bayaran tambahan lebih mahal kerana kos operasi dan penyelenggaraan sistem sebesar ini biasanya mencecah ratusan juta setahun.
Pada Disember 2020, terdapat laporan bahawa sebuah syarikat bernama S5 Systems Sdn Bhd juga terlibat di dalam projek ini. Menantu Muhyiddin merupakan salah seorang pemegang saham dalam syarikat tersebut. Tiba-tiba pada 12 Januari 2021, Muhyiddin telah isytiharkan darurat dan menggantung Parlimen.
Tidak sampai sebulan iaitu pada 29 Januari 2021, kerajaan telah menganugerahkan kontrak bernilai RM1.2 bilion tersebut kepada IRIS Information Technology System Sdn Bhd. IRIS kemudiannya disahkan bekerjasama dengan S5 bagi projek ini.
Namun projek ini akhirnya menghadapi pelbagai masalah dan kerajaan Anwar kemudiannya bercadang untuk membatalkan projek ini pada Mac 2023. Ketika itu kemajuan projek hanyalah 10 peratus.
Ini bermakna up front payment yang dibayar kerajaan Muhyiddin untuk projek ini juga berkemungkinan hangus begitu saja. Jabatan Imigresen pula terpaksa bergantung kepada sistem lapuk dan hadap maki hamun rakyat apabila berlaku masalah.
Bukan itu sahaja, disebabkan projek SKIN dibatalkan untuk memberi laluan kepada projek NiiSE pada zaman Muhyiddin, kerajaan juga disaman RM922 juta kerana projek itu sudah siap 22 peratus ketika ia dibatalkan. Kes ini masih berjalan di mahkamah.
Sekarang faham atau tidak kenapa ada orang takut sangat laporan audit dibahas di Parlimen dahulu?
Abah Best.
Abdul Rahim Hilmi Zakariya
Kuala Terengganu