Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri sudahpun selesai dan sentimen rakyat Melayu Islam dilihat sama seperti ketika PRU-15. Walaupun Perikatan Nasional sudah ‘all out‘ dengan semua dalil dan hujah namun masih gagal menambah negeri terutamanya Selangor yang amat mereka impikan.
Begitu juga gabungan dalam Kerajaan Perpaduan iaitu Pakatan Harapan-Barisan Nasional dilihat lemah dan kehilangan banyak kerusi yang disandang. Walaupun tidak mengubah apa-apa sokongan di peringkat pusat yang tetap utuh dengan 148 sokongan Ahli Parlimen, tetapi post mortem menyeluruh tetap perlu dilakukan.
Antara faktor yang terlibat ialah kelemahan gabungan PH-BN yang belum berasimilasi dengan baik, menjadi penyumbang kepada kegagalan Kerajaan Perpaduan menang lebih besar di beberapa tempat.
Ini termasuk isu ‘protes’ dalam kalangan UMNO sendiri yang dilihat banyak mengurangkan undi kepada kerajaan. Masalah ini melibatkan isu dalaman UMNO yang perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum ia menjadi barah dalam UMNO dan mewujudkan perpecahan.
Namun faktor penting yang tidak boleh dinafikan ialah kelemahan jentera media kerajaan sama ada di Pejabat Perdana Menteri ataupun Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Jabatan Perdana Menteri dalam menangani gelombang media Perikatan Nasional.
Suka ataupun tidak, inilah realiti yang perlu dihadapi oleh kerajaan hari ini yang bukan sahaja lewat dalam menangani serangan pembangkang tetapi juga sangat tidak tersusun. Rakyat juga melihat mereka bekerja secara ‘silo‘ di antara jabatan atau bahagian serta ketidakcekapan dalam mengurus dan memilih “core issue” untuk dimainkan dan disalurkan.
J-KOM yang sepatutnya memainkan peranan penting dilihat hanya turun padang bertemu pelajar dan juga masyarakat di beberapa tempat namun usaha di media sosial gagal dijalankan dengan berkesan. Lebih teruk Ketua Pengarahnya sendiri kini digesa untuk meletakkan jawatan selepas dilihat gagal membantu kerajaan.
Penyaluran maklumat juga dilihat gagal sampai ke golongan sasar serta tiada satupun maklumat daripada J-KOM ini dilihat mempunyai capaian yang tinggi ataupun berlegar di WhatsApp, sedangkan inilah tugas-tugas hakiki mereka yang sepatutnya dilakukan.
Gagal mengenalpasti core issue juga mengundang padah yang besar buat kerajaan. Contohnya, bagaimana pemimpin-pemimpin kerajaan sendiri terjebak dengan isu Sanusi dan nadir bumi (REE), sedangkan negeri yang bertanding PRN kalau ini bukanlah satu tetapi enam.
Seluruh usaha dilihat tertumpu kepada Sanusi, mungkin dengan anggapan isu REE ini akan menjadi isu nasional yang boleh mempengaruhi rakyat. Malangnya ini tidak berlaku dan rakyat Kedah sendiri tetap memilih Sanusi walaupun tidak berakhlak Islam dan lebih terlihat seperti pelawak sahaja.
Hatta diketahui umum bahawa Istana sendiri tidak menyukai sikap Sanusi namun melalui proses demokrasi membuktikan rakyat Kedah tidak pedulipun sentimen Istana dan isu REE asalkan Perikatan Nasional yang disukai dipertahankan, kerajaan yang dibenci ditumbangkan.
Sama juga di Kelantan, sekeruh manapun airnya mereka tetap akan memilih parti yang hakikatnya hanya memperguna mereka selama puluhan tahun ini.
Maka jelas isu utamanya bukanlah REE, Sanusi ataupun isu air di Kelantan tetapi penolakan terhadap kerajaan pusat itu sendiri mengatasi logik akal, termasuklah sanggup mengenepikan hukum-hakam yang telahpun Allah Taala tetapkan.
Justeru kelemahan mengenalpasti isu utama inilah yang menyebabkan seluruh usaha kerajaan tertumpu ke Sanusi dan negeri Kedah. Seolah-olah beliau sengaja dijadikan ‘umpan’ agar semua pihak membuang masa di sana dan ‘terlupa’ negeri-negeri lain juga perlu ditangani bersama terutamanya di Selangor.
Kesimpulannya, walaupun “gelombang hijau” berjaya dijinakkan seketika tetapi kerajaan perlu bekerja keras daripada sekarang untuk membetulkan keadaan, agar kesilapan yang sama tidak lagi berulang di masa hadapan.