FENOMENA LUAR BIASA DARI PULAU BORNEO – DR. RAMALAN YUNUS

148
SHARES
479
VIEWS

Sambutan dari rakyat Borneo atau Sabah dan Sarawak kepada rombongan dari Istana Negara dalam Ekspedisi DiRaja Kembara Kenali Borneo sungguh luar biasa dan sangat mengagumkan.

Secara peribadi saya sangat tersentuh dan terharu dengan rasa kecintaan begitu tinggi yang dipamerkan oleh rakyat Borneo kepada rombongan DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.

Kunjungan yang julung kali oleh seorang Ketua Negara ke Borneo itu sudah pasti memberikan kenangan dan sejarah yang tersendiri buat kedua belah pihak.

Fenomena luar biasa ini muncul di tengah kemelut politik dan ekonomi yang sedang melanda seluruh negara. Ia muncul tepat pada masanya dalam keadaan seluruh rakyat Malaysia sudah muak dan menyampah dengan kerenah para elit politik yang terus bercakaran kerana berebut kuasa demi mempertahankan kepentingan kelompok masing-masing.

Rakaman sosial ini menggambarkan betapa tingginya kecintaan rakyat kepada Institusi Raja-raja Melayu berbanding kecintaan mereka kepada para elit politik. Rakaman sosial ini juga memberi isyarat bahawa rakyat Malaysia baik di Semenanjung mahupun di Borneo menjunjung tinggi Institusi Diraja serta Kedaulatan Raja-raja Melayu.

Ia juga menggambarkan kepada kita bahawa Gerakan Proklamasi Melayu yang anti Raja-raja Melayu tidak berupaya mempengaruhi minda dan jiwa rakyat Borneo. Sambutan rakyat Borneo terhadap Ekspedisi DiRaja Kembara Kenali Borneo jelas membatalkan idea bahawa rakyat sudah hilang kepercayaan terhadap Institusi Raja-raja Melayu.

Pasca PRU-15 membuktikan bahawa Institusi Raja-raja Melayu cukup signifikan dalam kehidupan berbangsa dan bernegara di Malaysia. Andainya negara ini tidak dipayungi oleh Institusi Raja-raja Melayu, apa yang akan berlaku apabila tidak ada satupun gabungan parti-parti politik yang mendapat majoriti mudah dalam PRU-15?

Biarpun suhu politik negara masih lagi membahang namun kita memiliki sebuah kerajaan yang kukuh kerana mendapat sokongan dua pertiga di Dewan Rakyat atau Parlimen Malaysia.

Bukankah itu semua hasil dari kebijaksanaan dan budi bicara dari Istana Negara dan Majlis Raja-raja Melayu? Lalu kenapa masih ada pihak yang begitu berani dan lantang mendakwa bahawa Raja-raja Melayu tidak peduli dengan nasib rakyat?

Mereka juga mendakwa kononnya Raja-raja Melayu hanya mementingkan kedudukan mereka dan kaum kerabat mereka sahaja. 

Saya kira fenomena luar biasa dari Pulau Borneo telah berjaya membatalkan omong-omong kosong dari pihak tersebut. Bagi saya, Ekspedisi DiRaja Kembara Kenali Borneo bukan sekadar satu ekspedisi untuk menjelajah Pulau Borneo bahkan ia telah bertukar menjadi sebuah pesanan politik dari Istana Negara dan rakyat Pulau Borneo buat seluruh rakyat Malaysia.

Pesanan yang memuktamadkan kenyataan bahawa DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agung ialah Ketua Agama Islam dan Ketua Negara yang dapat menaungi seluruh rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia selesa bernaung di bawah Raja-raja Melayu.

Besar ertinya pesanan tersebut buat kehidupan berbangsa dan bernegara di negara ini pada masa ini dan di masa hadapan.

Mungkin sudah sampai masanya persidangan Majlis Raja-raja Melayu diadakan pula di Pulau Borneo. Ini bagi mengeratkan lagi hubungan di antara Raja-raja Melayu dan rakyat di sana.

Mungkin juga pada tahun hadapan pihak Istana Negara boleh melakukan ekspedisi untuk menjelajah ke setiap negeri di seluruh Semenanjung pula. Berilah peluang kepada kami yang berada di Semenanjung ini untuk menunjukkan rasa kecintaan kami yang mendalam kepada Istana Negara.

Saya yakin pasti ramai yang di Semenanjung ini cemburu menyaksikan apa yang berlaku di Pulau Borneo. Kami juga ingin memberitahu kepada para elit politik bahawa kami juga sudah muak dengan kerenah para elit politik yang terus bertelagah tanpa memikirkan kepentingan dan kesejahteraan kami.

Taat kepada Raja atau Ulil Amri adalah perintah Allah SWT. Tetapi taat kepada para elit politik atas perintah siapa? Jelas di depan mata bahawa rakyat jelata mencintai dan menjunjung tinggi Institusi Raja-raja Melayu. Elit politik bila lagi?

Semoga Ekspedisi DiRaja Kembara Kenali Borneo ini menjadi asbab turunnya rahmat dari Allah SWT bukan sahaja ke atas Pulau Borneo dan seluruh penduduknya bahkan juga di tanah Semenanjung ini.

Daulat Tuanku!

Dato’ Dr Ramalan Yunus

Penganalisis politik & ekonomi bebas

Facebook
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts