Kenapa saya begitu senang sekali dengan sambutan luar biasa rakyat di Pulau Borneo kepada rombongan dari Istana Negara dalam Ekspedisi DiRaja Kembara Kenali Borneo? Ini kerana ia adalah manifestasi dari rasa kecintaan yang mendalam dari rakyat jelata kepada Raja-raja Melayu.
Tanpa rasa cinta yang mendalam kepada Raja mana mungkin kita akan berupaya untuk memegang prinsip yang kedua dalam Rukun Negara iaitu Kesetiaan kepada Raja dan negara. Tanpa rasa cinta maka tanggungjawab dan kewajipan untuk taat dan setia kepada Raja dan negara itu akan terasa sebagai satu bebanan yang sangat berat.
Seperti mana seorang isteri, dia akan merasakan bahawa tanggungjawab dan kewajipannya untuk melakukan segala kerja dalam rumahtangga itu sebagai satu bebanan sekiranya dia tidak mencintai suami dan anak-anaknya.
Jadi taat dan setia kepada Raja dan negara itu bukan sekadar taklik kepada perintah Allah SWT semata-mata bahkan ia harus disertai dengan rasa cinta yang mendalam kepada Raja dan negara agar ia terasa nikmat.
Bukankah tidak ada lagi yang lebih indah dan nikmat di dunia ini selain dari rasa cinta, kasih dan sayang? Apabila sudah ada rasa cinta yang mendalam kepada Raja maka akan tumbuh semangat nasionalisme dan patriotisme di dalam diri kita sebagai rakyat jelata.
Tanpa semangat nasionalisme dan patriotisme yang tinggi mana mungkin kita mampu membina sebuah negara bangsa yang Madani.
Rasa kecintaan ini tidak mungkin datang hanya dari proses tafakur. Ia datang dari proses tadabbur ke dalam diri. Ini kerana hanya proses tadabbur sahaja yang akan mampu membawa kita ke wilayah atau ke peringkat kesedaran.
Hanya dengan kesedaran sejati sahaja yang akan dapat menumbuhkan rasa cinta. Tadabbur ini adalah pekerjaan ahli-ahli zikir. Bukan ahli-ahli fikir.
Kemampuan akal hanya sekadar dapat mengamati tanda-tanda kebesaran Allah SWT tetapi tidak akan dapat mencapai makrifat kepada Allah SWT. Makrifat kepada Allah SWT itu hanya akan dapat dicapai dengan rasa cinta yang diperolehi hasil dari proses tadabbur ke dalam diri sendiri.
Jadi proses tadabbur ini yang perlu diberikan perhatian oleh semua pihak khususnya pihak kerajaan, para ulama dan cendekiawan sekiranya benar kita ingin membina Malaysia Madani.
Jadi ada perbezaan yang besar antara proses tafakur dan tadabbur. Oleh itu marilah kita semua bertadabbur demi mencapai kestabilan dan kemakmuran buat diri kita dan juga negara.
Dan dalam masa yang sama, wajar juga untuk kita berikan perhatian kepada buah fikiran dan saranan dari Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Prof Emeritus Datuk Dr Teoh Kok Seong dan juga Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Noor.
Saya sependapat dengan mereka bahawa sudah sampai masanya bagi kita semua khususnya Jemaah Menteri untuk memohon kepada pihak Istana Negara dan Majlis Raja-raja Melayu agar berkenan untuk campur tangan bagi menyelesaikan kemelut politik yang terus berlanjutan dan semakin parah dari hari ke hari.
Raja-raja Melayu sudah wajar dipohon untuk bertindak bagi melindungi rakyat dan negara ini daripada tindakan luar batasan oleh sesetengah ahli politik. Ini kerana isu sensitif seperti agama dan bangsa terus ‘ditunggangi’ untuk mencapai tujuan politik.
Malah ia sudah sampai ke peringkat sanggup memperleceh dan menghina Raja-raja Melayu. Perbuatan dan tindakan seperti itu jelas membimbangkan banyak pihak.
Hanya Raja-raja Melayu sahaja yang berupaya untuk memayungi proses damai antara parti-parti politik yang bertelagah.
Sekiranya sambutan luar biasa dari rakyat di Pulau Borneo boleh dijadikan ukuran rasa kecintaan rakyat jelata kepada Raja-raja Melayu saya kira titah dan perkenan Raja-raja Melayu nanti pasti akan mendapat sokongan moral yang padu dari seluruh rakyat jelata.
Ini kerana rakyat sendiri sudah muak dengan kerenah para pemimpin politik yang terus menerus berpolitik untuk kepentingan parti atau peribadi mereka sahaja. Bagaimana kita akan berupaya memulihkan keadaan ekonomi negara sekiranya kestabilan politik tidak dapat kita capai terlebih dahulu?
Oleh itu cintailah Raja dan cintailah negara demi kestabilan dan kemakmuran kita bersama.
Hidup adalah satu ibadah atau pengabdian yang panjang. Pengabdian itu sangat melelahkan. Tanpa rasa cinta tidak akan ada rasa nikmat. Tanpa ada rasa nikmat, pengabdian akan menjadi satu bebanan yang sangat berat.
Dato’ Dr Ramalan Yunus
Penganalisis politik & ekonomi