Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terkenal dengan retorik politik dan kelicikannya mencatur politik, mengakui sesiapa yang kini memegang jawatan nombor satu negara akan berhadapan dengan cabaran dan kesukaran termasuklah beliau sendiri.
Walaupun kelihatan senada dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan barisan menteri kabinetnya yang sentiasa memberi alasan, namun beliau terlihat cuba merendah diri dalam memberikan alasan tidak akan mampu mentadbir negara dengan berkesan.
Anwar mencipta alasan awal dengan mengatakan beliau sendiri akan berdepan dengan kesukaran mengurus dan memulihkan ekonomi negara sekiranya memegang jawatan Perdana Menteri pada ketika ini.
Beliau juga menggunakan alasan klise kerajaan Pakatan Harapan apabila gagal mentadbir urus negara dengan baik iaitu mengalihkan perhatian kepada skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), hutang negara yang tinggi dan ekonomi negara yang teruk.
Selaku bekas Menteri Kewangan tentunya beliau sendiri tahu perkara tersebut adalah penipuan semata-mata dan ditimbulkan hanya untuk menimbulkan persepsi.
Beliau juga tentunya sedia maklum bagaimana tidak cekapnya Menteri Kewangan Lim Guan Eng menangani isu di kementeriannya kerana kerap tersalah angka dan fakta serta membuang masa menyiasat skandal kerajaan terdahulu.
“Kerajaan baharu memang banyak cabaran, kalau saya jadi Perdana Menteri pun tidak mudah, tiada siapa boleh jangka ekonomi negara kita teruk macam ini dengan masalah Felda dan 1MDB.”
Tambah beliau, apa yang menghairankan ketika ini adalah apabila ada dalam kalangan pemimpin UMNO yang mengkritik kerajaan baharu dengan pelbagai modal sedangkan ‘kerosakan’ negara itu adalah berpunca daripada mereka.
Kenyataan Anwar dipetik ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang PKR Kedah dan Perlis yang dibuat di Alor Setar semalam.