MAHDZIR KHALID: UMNO YANG TIDAK BERTANDING, MENGAPA GUAN ENG YANG GUNDAH GULANA?

163
SHARES
527
VIEWS

UMNO YANG TIDAK BERTANDING, MENGAPA GUAN ENG YANG GUNDAH GULANA?

1. Saya berasa sangat hairan mengapa Setiausaha Agung DAP, YB Lim Guan Eng, melompat sakan apabila UMNO mengumumkan tidak akan menggantikan MIC bagi PRK Port Dickson.

2. Lim Guan Eng mendakwa keputusan BN untuk memboikot PRK Port Dickson kerana tahu mereka tidak akan menang, bukan kerana merasakan ia satu pembaziran. Menurut Guan Eng lagi, “seluruh perjuangan mereka (Umno dan BN) bukan kerana prinsip dan idealisme tetapi lebih kepada keuntungan, untuk kuasa.”

3. Kenyataan ini sangat aneh kerana UMNO telah pun bertanding di PRK Sungai Kandis walaupun tahu ia kawasan tradisi PKR yang sukar ditembusi.

4. MCA pula bertanding di PRK DUN Balakong walaupun tahu ia kubu kuat DAP sejak berpenggal-penggal. Barisan Nasional turut turun membantu Pas di DUN Seri Setia walaupun tahu akan kalah.

5. Jadi tuduhan Lim Guan Eng bahawa UMNO takut kalah, hilang semangat dan ideologi perjuangan sebenar adalah satu hujah lekeh yang tidak boleh beliau pertahankan.

6. UMNO membuat keputusan untuk tidak bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson kerana merasakan PRK ini satu agenda politik Pakatan Harapan (PH) bukannya untuk kepentingan rakyat.

7. PRK ini adalah permainan politik dalaman PH. Yang meletak jawatan wakil rakyat PKR, yang bernada protes juga di kalangan sesama mereka. Yang akan bertanding sebagai bakal Perdana Menteri ke-8 juga adalah di kalangan mereka.

8. Maka kita di pihak UMNO tidak perlu terbabit dengan permainan politik dalaman mereka. In sha Allah jika ada PRK lain atas sebab yang tidak dapat dielakkan seperti kematian atau meletak jawatan kerana sakit, UMNO dan pembangkang lain pasti akan bertanding.

9. Cuma yang menjadi tanda tanya kepada saya, mengapa Lim Guan Eng begitu marah kerana UMNO tidak mahu bertanding? Apakah beliau tidak mahu Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri ke-8?

10. Sepatutnya Lim Guan Englah orang paling gembira bila Anwar mendapat laluan mudah dalam PRK kali ini. Malangnya, beliau begitu terkesan dengan keputusan ini sehingga perlu mengadakan wawancara dengan Malaysiakini untuk menyerang UMNO.

11. Pelantikan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dua tahun selepas PH memerintah adalah sebahagian dari manifesto mereka. Banyak janji manifesto mereka tidak dapat ditunaikan.

12. Justeru tindakan UMNO tidak bertanding ini bolehlah dilihat sebagai membantu PH melaksanakan salah satu manifesto mereka. Sekurang-kurangnya mereka tidak akan menyalahkan UMNO jika mahu memungkiri janji manifesto yang satu ini.

13. Rakyat pasti tertanya-tanya mengapa Lim Guan Eng tidak mahu Anwar Ibrahim mendapat laluan mudah. Apakah DAP ada agenda lain yang bertentangan dengan kehendak Anwar Ibrahim?

Dato’ Seri Mahdzir Khalid
Naib Presiden UMNO
Ahli Parlimen Padang Terap
25 September 2018

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts