DBKL AKAN TUTUP PUSAT TAHFIZ DI KUALA LUMPUR YANG TIDAK BERDAFTAR

508
SHARES
1.6k
VIEWS

Menteri Wilayah Khalid Abdul Samad berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menutup semua pusat tahfiz yang didapati tidak berdaftar dengan pihak berkuasa dan beroperasi secara haram.

Ini bagi memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar terjamin serta imej institusi keagamaan Islam terpelihara.

“Kami tidak mahu pusat tahfiz ini diberi kelonggaran hanya kerana ia institusi keagamaan, ia tetap juga perlu berdaftar dengan DBKL dan JAWI (Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan).”

“Kami juga akan mengetatkan syarat kepada sekolah berasrama khususnya sekolah tahfiz bagi menjaga kualiti daripada aspek keselesaan dan keselamatan.”

Khalid dipetik berkata kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Mediasi Komuniti Strata Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PMKS WPKL) di sini, semalam.

Tambah beliau, adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memeriksa status pusat tahfiz sekiranya berhasrat untuk menghantar anak mereka ke institusi itu.

“Selain itu, DBKL turut akan bekerjasama dengan JAWI memantau kesemua pusat tahfiz yang masih beroperasi di sekitar ibu kota.”

“Sekiranya didapati tidak berdaftar, kami tidak akan teragak-agak untuk menutupnya.”

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata pihaknya tiada kuasa untuk menutup tahfiz haram di Kuala Lumpur kerana ia di bawah kuasa DBKL.

Ia susulan sebuah pusat tahfiz di Kepong yang mana pengetuanya didakwa di mahkamah kerana dipercayai meliwat sembilan pelajarnya berusia 11 hingga 16 tahun dan pusat tahfiz itu didapati beroperasi secara haram.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts