MAPIM – CEO BERNAMA PERLU BEBAS POLITIK

354
SHARES
2.1k
VIEWS

Siaran Media

5 Oktober 2018

CEO BERNAMA PERLU BEBAS POLITIK

Kami memandang serius bila mendapat tahu Menteri Komunikasi dan Multimedia, YB Gobind Deo membayangkan akan melantik seorang yang rapat dalam kepimpinan DAP, Wan Hamidi Abdul Hamid untuk menerajui sebagai CEO Bernama, sebuah agensi berita nasional milik kerajaan.

Wan Hamidi adalah bekas Ketua Editor akhbar DAP iaitu The Rocket dan kini Timbalan Pengarah Institusi Pemikir DAP iaitu Research for Social Advancement (Refsa).

Beliau dikatakan bakal menerajui Bernama, selepas persaraan Datuk Zulkefli Salleh pada Oktober ini.

Kami menegaskan pelantikan di kalangan orang politik yang mempunyai kepentingan langsung dengan parti politik adalah tidak wajar dan tidak melambangkan neutraliti yang seharusnya dimilliki oleh seorang ketua media berita seperti Bernama.

Kami membantah cadangan untuk melantik individu yang memegang jawatan dan berkait secara langsung dengan parti politik. Parti politik tidak sepatutnya menerajui agensi berita awam. Bukan sahaja ia akan mencemar imej dan membina persepsi negatif rakyat terhadap agensi tersebut, malah boleh mengundang isu salah guna kuasa dan kemudahan oleh parti politik.

Kerajaan Pakatan Harapan sering mengangkat isu kebebasan media dan mahukan media yang tidak dipengaruhi oleh parti politik. Soalnya kenapa kali ini pendirian itu berubah? Adakah Menteri berkenaan menunjukkan ada perubahan pendirian demi memenuhi agenda politik kepartian dalam agensi awam seperti Bernama?

Kami berpendirian bahawa nuetraliti media awam sangat perlu dipertahankan. Jika kerajaan terdahulu sering didakwa menyalahgunakan media awam untuk kepentingan parti politik pihak yang memerintah, kenapa sekarang hal yang sama mahu dilakukan oleh kerajaan baharu?

Kami berpendapat CEO Bernama harus dilantik di kalangan individu yang bebas dari parti politik. Kakitangan senior dalam Bernama yang berpengalaman dan berkelayakan boleh menjadi pilihan. Mereka yang sudah lama bertugas dengan Bernama boleh menjalankan tanggungjawab secara bebas dari pengaruh parti politik.

Kami kesal kebelakangan ini ada pelantikan politik untuk agensi awam yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan yang tidak selari dengan slogan mengasingkan parti politik dari pentadbiran agensi-agensi awam yang penting.

Pakatan Harapan harus menjaga sensitiviti awam dalam semua pelantikan agensi-agensi yang berkaitan dengan kerajaan. Wibawa kerajaan akan dipersoalkan rakyat kerana prinsip media awam yang bebas dari parti politik dilihat tidak menjadi agenda kerajaan Pakatan Harapan.

Kami menggesa supaya cadangan pelantikan Wan Hamidi ditarik balik dan calon yang tidak dari parti politik dipilih.

Mohd Azmi Abdul Hamid

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM)

Disokong:

  • Teras Pengupayaan Melayu
  • Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia
  • Yayasan Pendidikan Orang Asli
  • Persatuan Peduli Dhuaafa dan Pengupayaan Masyarakat

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts