ANNUAR SHAARI: UNSTOPPABLE ANWAR: ROAD MAP KE PUTRAJAYA – 2

361
SHARES
2.1k
VIEWS

UNSTOPPABLE ANWAR : ROAD MAP KE PUTRAJAYA – 2

Anuar Shaari

18 Oktober 2018

1. DS Anwar telah bergerak meniti laluan ke Putrajaya sebaik sahaja memperolehi pengampunan serta dibebaskan dari penjara. Ketika dibebaskan, kunjungan ke rumah beliau di Bukit Segambut bagaikan pesta. Sehingga larut malam ada sahaja kunjungan dari penyokong-penyokong beliau yang datang dari seluruh negara.

2. Sejurus selepas itu, bagaikan lagak Perdana Menteri, DS Anwar memulakan kunjungan ke Jakarta, Indonesia (Indonesia secara tradisinya adalah negara luar pertama yang harus dilawati oleh seorang PM atau TPM Malaysia yang baharu dilantik). Di samping bertemu rakan-rakan lama, mungkin juga DS Anwar meninjau sokongan dan dokongan yang boleh beliau gunakan untuk melancarkan gerakan menentang Tun Mahathir.  Untuk rekod, Jakarta adalah pangkalan antarabangsa Anwar menentang Tun Mahathir suatu ketika dahulu.

3. DS Anwar juga telah mengadakan pertemuan dengan duta beberapa negara yang punya peranan besar di arena politik antarabangsa. Ketika ini beliau bukan siapa-siapapun di Malaysia, hanya suami kepada Timbalan Perdana Menteri. Adakah beliau meninjau sokongan antarabangsa yang tidak berpihak kepada Tun Mahathir? Umum mengetahui hubungan antarabangsa PM ke 7 bermula secara tidak baik selepas mengambil alih kuasa. Kunjungan Tun Mahathir ke beberapa negara luar kurang memberangsangkan dari segi politik dan ekonomi.

3. Manakala DS Anwar diketahui umum punya jaringan yang baik serta lunak di peringkat antarabangsa. Ucapan-ucapan DS Anwar di beberapa persidangan antarabangsa baru-baru ini juga bak ucapan Perdana Menteri. DS Anwar secara terbuka menyatakan bahawa beliau yang sepatutnya mengangkat sumpah sebagai PM bukannya Tun Mahathir. DS Wan Azizah juga menyatakan secara terbuka beliau yang mula-mula ditawarkan jawatan PM berdasarkan kedudukan sebagai Presiden PKR ketika itu. Namun secara sinis menyatakan memberi laluan kepada Tun Mahathir yang hanya mempunyai 13 MP PPBM.

4. Tidak cukup dengan itu, DS Anwar telah memohon sembah mengadap beberapa orang Sultan dan Gabenor. Para penyokong gegak gempita menyatakan DS Anwar beroleh sokongan dari Raja-raja Melayu dan gabenor-gabenor negeri. DS Anwar juga menjelajah ke seluruh negara mengadakan pertemuan dengan para penyokong dan rakyat jelata. Ini sesuatu yang tidak dilakukan oleh Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia. Sepanjang menjawat jawatan PM ke 7, Tun banyak menghabiskan masa di Putrajaya dan negeri Kedah sahaja. Tun Mahathir hanya menemui pimpinan PH dan PPBM sahaja.

5. DS Anwar juga menemui pelbagai NGO dan mengadakan pertemuan dengan mereka. Institut Darul Ehsan (IDE), ABIM, WADAH adalah antara NGO yang digunakan DS Anwar mengembangkan pengaruh beliau. DS Anwar mengutarakan pegangan politik dan sosial yang bertentangan dengan pegangan Tun Mahathir. Apabila ini keluar dari mulut orang politik seperti DS Anwar, mungkin sahaja ini menggambarkan beliau sudah bersedia mengambil alih pemerintahan dari Tun Mahathir dan kemaraan beliau tidak boleh dihentikan lagi. Biarpun diingatkan oleh DS Mukriz bahawa peralihan kuasa tetap 2 tahun seperti yang dinyatakan, DS Anwar seolah-olah tidak mengendahkannya.

6. Tiada respon dari DS Anwar dari kenyataan DS Mukriz. Mungkin saja terdetik dalam hati DS Anwar, kini aku sudah berada dalam Parlimen! Langkah pertama, adakah DS Anwar bakal menjadi Ketua Whip bagi PH? Seorang Ketua Whip punya pengaruh besar ke atas Ahli Parlimen di dalam gabungan mereka. Kedudukan tempat duduk di dalam Parlimen juga dilihat telah berubah. DS Anwar yang baru menyertai Parlimen diberi tempat antara barisan hadapan di blok kerajaan.

Mungkin kerana beliau Presiden PKR, namun DS Anwar tentunya mahukan lebih dari itu……

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts