PUAD: PENJAWAT AWAM DAN EKSEKUTIF GLC JUGA PERLU DISEKOLAHKAN

353
SHARES
2k
VIEWS

PENJAWAT AWAM DAN EKSEKUTIF GLC JUGA PERLU DISEKOLAHKAN

Oleh Mohd Puad Zarkashi
21 Oktober 2018

Ini adalah lanjutan kepada komen saya semalam mengenai Menteri Kabinet perlu disekolahkan kerana mereka adalah Menteri half past six. Kadir Jasin juga mencadangkan penjawat awam dan para eksekutif GLC/GLIC perlu disekolahkan.

Kadir menuduh mereka adalah sumber yang boleh mensabotaj Kerajaan PH jika tidak disekolahkan lebih awal. Beliau mengaitkan golongan kedua ini dengan isu ketidakcekapan, pengaruh ideologi dan rasuah.

Sudah pasti penjawat awam dan eksekutif GLC/GLIC sakit hati dengan komen Kadir Jasin. Mungkin Kadir cuba mengalihkan kegagalan Kerajaan PH yang sekarang ini teruk dikritik rakyat kepada kegagalan penjawat awam dan GLC.

Tun Mahathir sendiri menawarkan diri untuk meletak jawatan apabila terkejut dengan sikap pemandu teksi di kawasan Parlimen beliau yang hilang hormat kepadanya. Tetapi siapa yang akan percaya cakap Mahathir untuk letak jawatan?

Kadir menyalahkan 60 tahun BN memerintah sebagai punca budaya feudalistik dan rasuah sukar dihapuskan. Pada beliau penjawat awam dan eksekutif GLC ini masih ada DNA, inprint, acuan dan template UMNO/BN. Sebab itu mereka perlu disekolahkan secara sistematik supaya golongan ini lebih profesional, berkecuali dan bebas rasuah.

Kadir Jasin mungkin lupa lagi, kerana daripada 60 tahun itu, 22 tahun daripadanya adalah zaman pemerintahan rejim Mahathir yang autokratik. Itu sebabnya lahir gerakan ‘Reformasi’ pimpinan Anwar yang menentang tiga isu utama iaitu kolusi, kroni dan nepotisme (KA KA AN)

Di zaman itulah Daim menjadi Menteri Kewangan dan dasar penswastaan diperkenalkan dan menggila. Siapa yang untung kalau bukan kroni dan nepotisme? Sebab itu apabila wujud GLC/GLIC sekurang kurangnya aset dan kekayaan negara diurus oleh profesional berkelayakan bukan monopoli individu dan kroni.

Tetapi apabila ada ura-ura untuk menjual aset GLC khususnya aset PNB dan Khazanah tidakkah itu bermakna penswataan berskala besar mahu diaktifkan balik supaya aset negara boleh difaraidkan semula oleh kroni melalui amalan nepotisme?

Hairan juga kerana antara hujah Kadir kenapa mereka perlu disekolahkan, supaya mereka ini sentiasa mengamalkan sikap berkecuali. Tetapi bagaimana lantikan politik yang dibuat oleh Kerajaan PH? Ini contradict dengan manifesto PH sendiri. Contohnya perlantikan Tun Mahathir dan Azmin Ali sebagai Pengarah Khazanah Nasional, Mazlan Aliman Pengerusi LPP, Wan Saiful PTPTN, Dr. Mohd Nor Manuty Pengerusi UNISZA, YB Mohd Faiz B Fadzil Nor (ADUN Permatang Pasir/anak bekas Presiden PAS) sebagai Pengerusi LKIM dan lain-lain.

Kadir juga mendakwa ada beberapa Menteri yang terlalu protective terhadap KSU dan pegawai kanan mereka. Pandangan parti tidak mahu didengar. Apa pandangan parti yang dimaksudkan oleh Kadir? Pandangan bagaimana janji 100 hari mahu dilaksanakan atau siapa yang sepatutnya dapat kontrak atau tender? Justeru alasan berkecuali yang dibangkitkan oleh Kadir ada udang di sebalik batu.

Akhirnya Kadir mendesak supaya SPRM dan GIACC menyiasat dan memantau mana-mana pegawai kanan kerajaan dan Eksekutif GLC/GLIC yang berpotensi untuk mensabotaj kerajaan. Sudah tentu AMLA akan digunakan untuk menyiasat, menakutkan dan mengawal mereka tersebut. Nampaknya AMLA kini setaraf dengan ISA. Alat pemerintah untuk menutup mulut pengkritik.

Kerajaan PH sebenarnya semakin takut kepada bayang-bayang sendiri.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts