ANUAR SHAARI: KERAJAAN PAKATAN HARAPAN DISABOTAJ DARI DALAM?

515
SHARES
1.7k
VIEWS

KERAJAAN PAKATAN HARAPAN DISABOTAJ DARI DALAM?

Oleh Anuar Shaari

22 Oktober 2018

1. Mutakhir ini ketidakpuasan terhadap kerajaan pimpinan PH semakin ketara. Kita bicara isu yang berkait langsung dengan kepentingan golongan marhaen. Bermula dengan bantahan sekumpulan pemandu teksi di Putrajaya, diikuti dengan perhimpunan menuntut tambahan jumlah gaji minima dan terkini insiden ketidakpuasan hati semasa dialog di Langkawi.

2. Bait lirik lagu ‘Perjuangan’ nyanyian kumpulan Kembara pernah menyebut;

“Rintangan yang harus kutempuhi,
bukan hanya yang berada di luar,
apa lebih aku takuti,
adalah rintangan yang ada di dalam”

Membawa maksud yang cukup mendalam. Musuh sebenar kerajaan yang ada pada hari ini adalah musuh yang wujud dari kalangan mereka sendiri.

3. Bertempiklah menyalahkan pihak di luar kerajaan hari ini, namun umum mengetahui kerajaan ada kuasa untuk melakukan sesuatu yang mereka mahu. Mereka juga ada kuasa untuk tidak melakukannya sekiranya mereka tidak mahu. Yang membolehkan mereka berjaya melakukan sesuatu adalah dari kalangan mereka. Yang akan menggagalkannya juga datang dari kalangan mereka. Mereka yang berada di luar hanya bisa melihat dan bercakap.

4. Ini kerana mereka di luar kerajaan hari ini tidak punya kuasa menggagalkan sesuatu yang mahu dilakukan oleh kerajaan. Habis kuat pihak di luar kerajaan akan bertepuk tangan tanda gembira atau berkata-kata tanda simpati. Kesimpulannya, luahan atau protes dari sebilangan rakyat Malaysia ini kemungkinan besar didorong dari kelompok yang ada dalam kerajaan hari ini. Jika rakyat marahpun, pembangkang tidak akan terkesan. Yang menerima akibatnya adalah kerajaan.

5. Mengikut sifir yang mudah, apabila wujud tekanan terhadap Perdana Menteri kerajaan, yang bakal menggantikannya juga seharusnya mereka yang dari kalangan kelompok kerajaan. Sudah pasti wujud prosedur tertentu seperti menjadi Ahli Parlimen dan mendapat sokongan dari majoriti Ahli Parlimen atau parti politik yang diwakili. Pembangkang atau mereka yang di luar kerajaan hanya menjadi penambah atau penguat sekiranya Perdana Menteri kerajaan mahu digulingkan.

6. Penama yang ditunjuk sebagai pengganti perlu berusaha gigih menempatkan dirinya di persada politik tanahair kerana ditunjuk sebagai pengganti Perdana Menteri bukanlah tiket mutlak mendapat jawatan tersebut. Strategi pendakian ke puncak kuasa perlu agresif serta teliti. Pertemuan di kalangan ahli politik kerajaan dan pembangkang perlu diadakan bagi meningkatkan sokongan. Pengganti perlu menunjukkan imej demokrat jika mahu bosnya dilihat bersikap diktator.

7. Keadaan politik semasa perlu dimanipulasi bagi menonjolkan dirinya. Lagaknya juga perlu dilihat “PM material”. Imej ‘penyelamat’ harus terapkan kepada rakyat dan pimpinan bagi meningkatkan keyakinan beliaulah pengganti yang tepat. Mewujudkan ketidakstabilan situasi dari dalam adalah langkah mempercepatkan perjalanan meniti puncak kuasa. Hanya orang dalam sahaja boleh melakukan dengan cepat dan senyap.

Berhentilah menyalahkan pihak luar…

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts