SIARAN MEDIA PENUBUHAN GABUNGAN BERSATU SABAH (GBS)

145
SHARES
428
VIEWS

SIARAN MEDIA PENUBUHAN GABUNGAN BERSATU SABAH (GBS)

Oleh Pengerusi Interim

Tan Sri Joseph Pairin Kitingan

Le Meridien Hotel, Kota Konabalu

24 OKTOBER 2018

Hari ini, saya mengumumkan penubuhan Gabungan Bersatu Sabah (GBS) dengan rasminya, dan akan dianggotai oleh empat parti politik, iaitu Parti Bersatu Sabah, UMNO Sabah, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR Sabah) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Penubuhan GBS tercetus berikutan keputusan Pilihanraya Umun ke-14 dan insiden-insiden susulan. Menyedari nadi rakyat yang dahagakan perpaduan dan kekuatan politik di kalangan parti-parti politik di Sabah, kami telah berbincang dan bersetuju untuk menubuhkan GBS untuk menggantikan rejim politik lama.

Dari segi strukturnya, keempat-empat parti politik dalam GBS telah bersetuju untuk melantik saya sebagai Pengerusi Interim, manakala presiden atau ketua-ketua komponen parti akan dilantik sebagai Timbalan Pengerusi bersama iaitu Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Dr Maximus Johnity Ongkili (Timbalan Presiden yang menjalankan tugas-tugas Presiden PBS), Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Mohd Noor (Pengerusi UMNO Sabah), Yang Berhormat Datuk Dr Jeffrey Kitingan (Presiden STAR Sabah) dan Yang Berbahagia Tan Sri Joseph Kurup (Presiden PBRS).

Y.B. Datuk Seri Panglima Masidi Manjun akan memegang jawatan Setiausaha Agung; manakala Yang Berbahagia Datuk Seri Panglima Salleh Said Keruak sebagai Bendahari dan Yang Berhormat Datuk Joniston Bangkuai sebagai Ketua Penerangan. Semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undang Negeri (ADUN) adalah secara automatik menjadi Ahli Jawatankuasa GBS.

GBS bersedia untuk mengambil alih dari tampuk kerajaan sedia ada yang sehingga ke hari ini belum disahkan statusnya, dan GBS akan memastikan Malaysia dan Sabah kekal harmoni dan bersatu, disamping meningkatkan pembangunan sosio-ekonomi negeri dan mewujudkan sebuah masyarakat yang adil dan saksama.

Selepas lima bulan ‘berkuasa’, Kerajaan Negeri pimpinan Parti Warisan bukan sahaja gagal menjalankan kerja seperti yang diamanatkan oleh rakyat, tetapi juga memperlihatkan kelemahan mereka. Antaranya ialah memperjuangkan hak-hak Sabah dalam Persekutuan Malaysia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutan dan Perjanjian Malaysia 1963; membantu pemohon yang tidak layak mendapatkan dokumen pengenalan diri; Empangan Kaiduan; Projek Tanjung Aru Eco-Development (TAED); dan lain-lain, seperti yang disenaraikan di dalam siaran akhbar.

GBS akan berkerja keras untuk memperbaiki keadaan kucar-kacir ini apabila kami mengambil alih tampuk pemerintahan kelak. Kami juga bersedia untuk menghadapi mereka dan memenangi pilihanraya umum pada bila masa.

GBS juga akan memberikan kerjasama penuh kepada Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan demi kesejahteraan MALAYSIA BAHARU dan SABAH.

Perkara-perkara khusus, penting dan serta merta yang akan diberi keutamaan oleh GBS adalah sepertimana dalam edaran media yang dikeluarkan.

Kami menjemput dan merayu semua rakyat tulin negara Malaysia di Negeri Sabah untuk mendokong dan menyertai perjuangan murni ini demi menyelamatkan Sabah dan memperjuangkan kemajuan, keselamatan, integriti wilayah serta kemakmuran Negri Sabah yang tercinta.

Sekian, terima kasih.

GABUNGAN BERSATU SABAH

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts