KENYATAAN “HENTIKAN KETUANAN BANGSA” AMAT MALANG BAGI MELAYU – PERKASA

409
SHARES
2.3k
VIEWS

KENYATAAN MEDIA PERTUBUHAN PERIBUMI PERKASA ( PERKASA ) MALAYSIA

KENYATAAN” HENTIKAN KETUANAN BANGSA” AMAT MALANG BAGI MELAYU

24 Oktober 2018

Tan Sri Rafidah Aziz (Sinar 23/10/2018) dilapor menyarankan supaya “Ketuanan Bangsa” dihentikan agar semua rakyat Malaysia dilayan secara sama rata. Jelas maksud kenyataan beliau, “Ketuanan Melayu” juga hendaklah dihentikan. Beliau juga menyebut tentang pentingnya negara meletakkan pancapaian individu berdasarkan kecemerlangan dan meritokrasi dijadikan kayu pengukur yang lebih adil.

2. Ketuanan bangsa merugikan dan tidak produktif kepada negara, jelas beliau. Ketuanan seharusnya milik rakyat Malaysia bukan untuk sesuatu kaum. Beliau menambah, Malaysia sepatutnya meletakkan kecemerlangan individu berdasarkan kemampuan dan kemahiran individu dengan tidak merujuk kepada warna kulit, jantina dan warisan. Untuk mengelakkan perpecahan dan berpuak-puak antara kaum yang menghakis perpaduan maka ketuanan bangsa mesti dihentikan demi perpaduan dan pembangunan negara.

3. Kenyataan yang dibuat oleh Tan Sri Rafidah Aziz jelas menggambarkan beliau tidak menghormati Raja-Raja Melayu, bangsa Melayu, sejarah dan Perlembagaan Persekutuan. Ini sesuatu yang sangat malang dan mengecewakan kerana beliau adalah mantan menteri kabinet dan mantan ahli akademik.

4. PERKASA ingin menegur dan mengingatkan beliau bahawa ketuanan bangsa yang dimaksudkan itu ialah ketuanan bangsa Melayu. Dalam lain perkataan, ketuanan Melayu juga sama sebagai hak keistimewaan Melayu di bumi Melayu. Hak keistimewaan bangsa Melayu termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Apakah Tan Sri Rafidah lupa asal usul sendiri dan negara ini? Lupakah beliau akan Semenanjung Tanah Melayu, gugusan Kepulauan Melayu, Raja-Raja Melayu dan Yang DiPertuan Agong? Lupakah beliau akan Wasiat Raja-Raja Melayu, Kontrak Sosial, Perkara 153 dan Perlembagaan Malaysia?

5. PERKASA juga ingin mengingatkan Tan Sri Rafidah bahawa walaupun hak keistimewaan Melayu termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang didukungi semangat Ketuanan Melayu, Dasar Ekonomi Baru dan lain lain langkah preemptif, masyarakat Melayu masih jauh ketinggalan dari bangsa-bangsa lain. Dari aspek ekonomi, pendidikan, kesihatan, sosial dan lain-lain bidang.

6. PERKASA juga mengingatkan tentang kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh semua kaum untuk menjadi warganegara Malaysia. Keistimewaan Melayu tidak bermakna orang Melayu diberikan segala kemudahan dan bantuan tanpa usaha dan pengorbanan. Untuk menjadi seorang doktor atau jurutera atau peguam seseorang itu mesti mempunyai kelayakan yang diperlukan oleh profesion tersebut dan orang Melayu tidak terkecuali. Di mana ketuanan yang dimaksudkan oleh Tan Sri? Oleh itu PERKASA mahu agar matlamat Ketuanan Melayu dihidupkan semula di bumi ini. Semua pemimpin-pemimpin Melayu mestilah memperjuangkan matlamat ini sebelum nasi menjadi bubur

7. PERKASA juga terfikir apakah Tan Sri Rafidah sudah diperalatkan oleh puak-puak tertentu untuk merobek hak-hak Melayu sebegini rupa? Dengan ini kami mengingatkan kepada semua pemimpin khususnya dan rakyat Malaysia amnya supaya lebih berhati-hati apabila memberi komen dan pandangan yang melibatkan kaum dan Perlembagaan Persekutuan. Tafsirlah kandungannya dengan ikhlas bukan dengan membawa agenda politik munafik.

Sekian, terima kasih.

Dato’ Sirajuddin H Salleh

Timbalan Presiden

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts