MAHU BODEK BIARLAH ADA KELAS!

462
SHARES
2.7k
VIEWS

Sebagai pembaca akhbar Utusan Malaysia, saya perhatikan makin banyak penulisan di akhbar tersebut, yang membodek dan memuji-muji pemimpin Pakatan Harapan.

Terbaru tulisan Zulkifli Jalil dalam ruangan Tumpang Lalu siaran Selasa 20 November bertajuk “Menteri bergurulah dengan Tun M, Daim, Muhyiddin, Rais, Zeti…”

Tajuknya sahaja membuatkan saya agak geli. Inikah standard rencana utama Utusan Malaysia yang sepatutnya lebih kritis, tajam dan informatif. Membaca tulisan tersebut menyebabkan saya tertanya-tanya apakah penulis ini enggan membuat penyelidikan, seorang yang suka mengampu atau sekadar tangkap muat?

Sebenarnya dalam realiti hari ini dengan pelbagai isu yang menyerlahkan kepincangan dan kelemahan kerajaan Pakatan Harapan, mengapa sedikitpun Zulkifli tidak mengkritik Tun M, Daim, Muhyiddin, Rais dan Zeti?

Setidak-tidaknya Tun M (dan penasihatnya Tun Daim) harus dipertanggungjawabkan atas kelemahan dan kecelaruan menteri-menteri Kabinetnya. Adalah kurang bijak menyalahkan semata-mata menteri-menteri yang tidak berpengalaman selain angkuh dan sombong sedangkan “kapten” dan “pemain senior” tidak langsung ditegur malahan dipuja-puja.

Siapa yang melantik barisan kabinet, siapa yang mempengerusikan kabinet dan siapa yang berkuasa untuk membetulkan keadaan? Siapa pula yang ada pengaruh untuk memberi nasihat kepada Perdana Menteri sebagai ketua kerajaan dan peneraju parti?

Tun M dan Tun Daim tidak boleh lepas daripada memikul tanggungjawab dengan kehaprakan yang melanda pentadbiran negara sekarang. Rakyat semakin mengeluh dan merintih dalam kesusahan, pemimpin pula asyik bersandiwara.

Umpamanya isytihar gaji bulanan hanya menjadi bahan lawak kerana yang rakyat mahu tahu adalah harta keseluruhan pemimpin dan anggota Kabinet. Itu belum menyentuh banyak liabiliti yang membabitkan pemimpin pemimpin berkenaan sebelum ini.

Apakah kerana kerajaan Pakatan Harapan ini berkuasa, Zulkifli tiada keberanian mengkritik Tun M, Daim, Muhyiddin, Rais dan Zeti? Jika itulah keadaannya ia tidak ubah seperti membaca akhbar milik DAP Roket dan portal pro-DAP seperti Malaysiakini.

Untuk makluman Zulkifli, orang muda tidak lagi gemar penulisan yang membodek pemimpin kerajaan apatah lagi kerajaan yang ada sememangnya gagal melaksanakan banyak janji, berbohong dan dikuasai parti rasis seperti DAP.

Nasihat saya kepada Zulkifli, sekiranya mahu memuji-muji sila pastikan hujah-hujah yang mantap dan segar supaya tidak jadi bahan sinikal dan sindiran pembaca. Maksudnya, jika mahu bodek biarlah ada kelas dan boleh dikompromi oleh para pembaca.

Saya juga hairan mengapa ruangan itu dinamakan Tumpang Lalu kerana ia sama sekali tidak sesuai seolah-olah penulisnya kurang keyakinan dan punya perasaan rendah diri. Utusan bukan syarikat media kecil dan telah mempunyai sejarah yang panjang serta berliku. Untuk apa teragak-agak dalam menamakan ruangan yang sepatutnya mencerminkan keyakinan organisasinya.

Seperkara lagi, adalah tidak sesuai istilah Tumpang Lalu dijadikan kata pengganti diri dalam tulisan itu, yang bunyinya agak cacat. Kalau bantu kerja gotong-royong memasak di majlis kahwin bolehlah guna ungkapan Tumpang Lalu bagi menunjukkan kesopanan dan budi bahasa kita tetapi bukan untuk nama ruangan rencana utama di akhbar berjiwa besar seperti Utusan.

Apa yang saya dan ramai lagi pembaca harapkan selepas ini di Utusan adalah penulisan yang lebih berkualiti, kritis dan berani. Ketika rakyat makin matang dan terbuka, akhbar tidak boleh hanya menjadi tempat penulisnya syok sendiri dan memuji pemimpin secara dangkal.

Utamakanlah selera rakyat dan pembaca, bukannya selera beberapa kerat pemimpin.

Pensyarah Rakyat

Sintok, Kedah

(Artikel dihantar melalui Whatsapp)

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts