1. Pergerakan Pemuda UMNO melahirkan rasa amat sedih dan simpati dengan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim setelah mengalami cedera parah akibat dipukul dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 26 dan 27 November lalu.
Pemuda UMNO turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.
2. Demi keadilan buat Adib, Pemuda UMNO mendesak agar pendakwaan segera dilakukan terhadap mereka yang bertanggungjawab di atas kematian anggota bomba yang hanya cuba menjalankan tugas pada malam kedua rusuhan berlaku.
3. Pemuda UMNO juga mendesak agar pihak Peguam Negara segera mengambil tindakan tegas terhadap Exco Kerajaan Negeri Selangor V. Ganabatirau dan empat orang Menteri lain termasuk Menteri Perpaduan P Waytha Moorthy, M Kulasegaran, Gobind Singh Deo dan Dr Xavier Jaykumar, dengan mendakwa di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengeluarkan kenyataan dengan niat mengaibkan dan membangkitkan pecah keamanan.
4. Sebagaimana yang telah dilaporkan oleh Menteri Dalam Negeri di Parlimen, serangan pada 26 November ke atas Kuil Sri Maha Mariamman tiada kaitan agama mahupun kaum. Sebaliknya pertelingkahan antara kumpulan samseng yang diupah pemaju dengan penganut Hindu kuil berkenaan.
5. Walaubagaimanapun, akibat daripada status Facebook yang dimuat naik pada siang 27 November oleh Exco Selangor V Ganabitirau yang mendakwa serangan ke atas kuil dilakukan oleh orang Islam, ditambah dengan kenyataan bertulis 4 orang Menteri India diketuai Menteri Perpaduan P. Waytha Moorthy yang menyalahkan Polis DiRaja Malaysia yang didakwa gagal menangani insiden rusuhan pada malam pertama, telah membangkitkan kemarahan 10,000 kaum India yang keluar beramai-ramai pada malam kedua dengan melakukan rusuhan, mencedera dan seterusnya menyebabkan kematian anggota bomba yang tidak berdosa.
6. Pemuda UMNO mahu siasatan dan pendakwaan dilakukan secara telus, adil dan tidak pilih kasih. Keadilan mesti dilihat ditegakkan lantaran melibatkan nyawa seorang penjawat awam yang tidak berdosa.
“Not only must justice be done, it must also be seen to be done.”
7. Pemuda UMNO sekali lagi mendesak P. Waytha Moorthy untuk meletak jawatan selaku Menteri Perpaduan kerana bukan sahaja ternyata GAGAL menjernihkan ketegangan kaum yang tercetus tetapi sebaliknya turut menyalakan api kemarahan kaum India dengan menyalahkan polis sehingga tercetusnya rusuhan lebih dahsyat pada malam kedua di Kuil Sri Maha Mariamman.
8. Selaku anggota Pentadbiran Kerajaan, mereka seharusnya mengelak dari menggunakan sentimen perkauman dalam mengeluarkan kenyataan.
9. Sehubungan dengan ini juga, Pemuda UMNO meminta orang ramai agar sentiasa bertenang dan mengelakkan daripada mencetuskan apa jua bentuk sentimen perkauman mahupun agama daripada tragedi ini yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.
#Justice4Adib
#KeadilanUntukAdib
Oleh Dr. Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
18 Disember 2018