ULASAN KES MENGENAI UCAPAN ‘SERANG’ DATO’ AZWANDDIN

811
SHARES
3.8k
VIEWS

Ulasan kes mengenai ucapan dari Dato’ Azwanddin Hamzah semasa perhimpunan Keadilan di Klang

Dalam ucapannya, Dato’ Azwanddin Hamzah telah membuat kenyataan berikut:

i) Akan serang balai polis jika polis tidak menangkap pemaju dan peguam dalam kes kuil; dan
ii) Mendakwa Senator P. Waythamoorthy sebagai ‘Paria Waythamoorthy’

Berikutan itu, pihak polis telah membuka kertas siasatan terhadap Dato’ Azwanddin di bawah seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah & seksyen 504 KK kerana menghina seseorang. Dato’ Azwanddin telah ditahan reman empat (4) hari bermula 27/12/2018.

Klasifikasi Kes

Seksyen 506 Kanun Keseksaan

“Melakukan kesalahan menakutkan secara jenayah dan jika ugutannya itu ialah ugutan hendak menyebabkan kematian atau cedera parah, atau hendak menyebabkan kebinasaan apa-apa harta dengan api”

Hukuman: Pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai dua tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya.

Seksyen 504 Kanun Keseksaan

“Dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan”

Hukuman: Penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Elemen-elemen kesalahan

Seksyen 506 KK

i) Sama ada ucapan “kita serang balai polis” yang diucapkan Dato’ Azwanddin bermaksud serang balai polis dengan kekerasan, senjata, kebakaran, kebinasaan?

ii) Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, ‘serang’ mempunyai pelbagai maksud iaitu:
a) langgar, serbuan; menyerang 1. mendatangi untuk melawan (mengalahkan, menaklukkan, dll), melanggar, menyerbu:
b) menentang (seperti mengkritik dll), mencela, mencerca
c) kecaman keras secara lisan atau bertulis.

iii) Oleh yang demikian, konteks ucapan Dato’ Azwanddin perlu dilihat secara keseluruhan dan subject matter ucapan tersebut hanyalah bertujuan supaya mereka yang bertanggungjawab dalam kejadian yang menyebabkan kematian arwah Muhammad Adib dibawa ke muka pengadilan dengan segera termasuk terhadap pemaju & peguam.

iv) Perhimpunan tersebut berlaku dalam keadaan aman dan tiada mana-mana individu/pihak yang terkesan dengan ucapan Dato’ Azwanddin lalu membuat ‘serangan’ ke atas balai polis.

v) Adalah tidak rasional untuk mana-mana pihak terkesan dengan ucapan tersebut seterusnya melakukan ‘serangan’ secara kekerasan terhadap balai polis yang dilengkapi dengan senjata dan kawalan keselamatan.

vi) Oleh itu, maksud ‘kita serang’ dalam ucapan Dato’ Azwanddin bukan bersifat ugutan jenayah tetapi hanya besifat kecaman/kritikan secara lisan sahaja lebih-lebih lagi Dato’ Azwanddin merupakan pemimpin masyarakat yang sering memberi ucapan/pidato kepada orang ramai.

vii) Kenyataan ‘kita serang balai polis’ dalam ucapan Dato’ Azwanddin juga tidak spesifik ditanyakan balai polis mana yang hendak diserang justeru ucapan tersebut tiada kecenderungan untuk melakukan kekerasan/jenayah kerana sekiranya beliau berniat untuk mengajak serangan tersebut secara kekerasan, sudah tentulah beliau perlu menyatakan balai polis mana, bila dan bagaimana kaedah serangan.

Seksyen 504 KK

i) Maksud ‘Paria’ menurut Kamus Dewan Bahasa & Pustaka ialah golongan orang atau kasta yg paling rendah martabatnya dalam masyarakat Hindu.

ii) Maksud ucapan tersebut bukan bermaksud penghinaan dengan kata-kata jijik, kesat atau jelik kerana ia hanyalah salah satu golongan/suku/kasta dalam masyarakat Hindu sahaja. Sekiranya perkataan ‘paria’ membawa maksud hina/jelik, sudah tentulah dari zaman dahulu lagi golongan-golongan yang berkasta ‘paria’ ini yang sepatutnya terkesan dan menukar nama kasta (paria) mereka kepada nama yang lain.

iii) Adakah pengadu dalam kes ini ialah Senator P. Waythamoorthy? Ini kerana ucapan Dato’ Azwanddin secara jelas menyebut nama beliau sebagai ‘Paria Waythamoorthy’. Oleh itu, beliaulah yang patut berasa sakit hati dan berasa aib dengan ucapan tersebut, bukannya orang lain yang tidak sepatutnya terkesan dengan perkara tersebut.

iv) Ucapan Dato’ Azwanddin yang mengatakan ‘Paria Waythamoorthy’ bukanlah untuk memecahkan keamanan kerana hanya ucapan ‘Paria Waythamoorthy’ tidak akan menjejaskan keamanan di negara ini. Tiada juga apa-apa insiden yang berlaku selepas dari ucapan tersebut.

Berbanding tindakan P. Waythamoorthy yang telah memburukkan imej negara Malaysia di peringkat antarabangsa dalam wawancara beliau dengan stesen televisyen di Belanda 10 tahun yang telah memecahkan keamanan.

v) Oleh itu, ucapan ‘Paria Waythamoorthy’ hanyalah manifestasi kemarahan ke atas segala perbuatan P. Waythamoorthy dalam wawancaranya di Belanda, tindakan Menteri itu ingin meratifikasi ICERD dan membuat kenyataan mengkritik polis susulan respon lambat dan tidak tidak efektif polis Subang Jaya dalam mengendalikan isu serangan kuil di Subang Jaya.

Rumusan/ Kesimpulan

Berdasarkan kepada elemen-elemen kesalahan di bawah seksyen 506 dan 504 KK, mendapati keterangan adalah lemah dan longgar untuk membentuk suatu kes pendakwaan terhadap Dato’ Azwanddin Hamzah.

Sehubungan itu, dicadangkan agar pihak siasatan polis tidak meneruskan kes ini dan tiada tindakan lanjut (NFA).

Oleh Lawyer Prihatin

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts