NASIB MELAYU DI BUMI SENDIRI

347
SHARES
1.1k
VIEWS

Oleh Anuar Shaari

8 Januari 2019

Langkah demi langkah aku teruskan jua

Masa demi masa sampai akhirya
Terima kasih atas penghinaan
Yang kau lemparkan

Tangga demi tangga kita daki bersama
Jatuh terluka bangun semula
Terima kasih atas kesakitan
Yang telah kau berikan

Kerana itu penghinaan
Juga cemuhan
Diganti dengan kepujian
Dan kemuliaan

Airmata menjadi permata
Kebencian menjadi cinta
Inilah hidup di dalam dunia
Bak sandiwara

Selamat tinggal kesengsaraan
Selamat tinggal penderitaan
Terima kasih atas pengalaman
Yang kau berikan

Karya : S. Amin Shahab

Puisi ini nukilan Al Marhum S. Amin Shahab dan dilagukan dengan lontaran suara oleh Al Marhum Saleem dari kumpulan Iklim dengan judul Selamat Tinggal Penderitaan.

Puisi ini ibarat nasib orang Melayu di bumi mereka sendiri. Mutakhir ini nasib bangsa Melayu-Islam jelas tidak menentu. Segala hak dan keistimewaannya dicabar secara terbuka. Segala apa yang dimiliki oleh kerajaan terdahulu yang ditunjangi oleh orang Melayu-Islam mahu dijual oleh penguasa terkini. Jika tidak boleh dijual, maka akan dipaksa penukaran pemilikan bagi membolehkan mereka mengawal.

Bangsa Melayu-Islam pula ditonjolkan sebagai bangsa yang hina di bumi sendiri, oleh orang Melayu sendiri. Menurut ‘orang itu’ Melayu adalah bangsa pemalas, bangsa subsidi, sentiasa perlukan tongkat untuk berjalan dan macam-macam lagi penghinaan dari ‘orang itu’, orang yang suatu masa dahulu sangat kuat kemelayuannya hingga pernah digelar ‘ultra malay‘ oleh kawannya sekarang.

Terima kasih kepada ‘orang itu’ kerana telah memberi kesakitan kepada orang Melayu-Islam di Malaysia ini. Bantuan kepada kepada petani, penoreh, nelayan dan orang kampung yang majoritinya Melayu telah dipotong. Subjek agama Islam dipersalahkan. Konon sekolah kebangsaan sekarang telah menjadi sekolah agama. Sebaliknya dalam diam-diam, sekolah Cina mendapat peruntukan jutaan ringgit dari kerajaan. Kenyataan mengenainya boleh pula dikeluarkan dalam bahasa Mandarin.

Apa sudah jadi dengan bahasa Melayu di buminya sendiri?

‘Orang itu’ juga memerah limau di luka orang Melayu-Islam kini. Jika dahulu beliau naik kerana orang Melayu, kini tidak lagi. ‘Orang itu’ penuh bangga mengaku DAP lah mencaturkan segalanya dan meletakkan beliau sebagai PM. DAP yang dulu beliau caci dan hina, kini diganti dengan kata-kata pujian setinggi langit. Jika dahulu Lim Kit Siang itu ‘rasis’, kini ‘orang itu’ melabelkan bangsanya sendiri (Melayu) pula yang rasis bila bercakap tentang kepentingan Melayu. Jika dahulu Lim Guan Eng itu anti Melayu, kini bagi ‘orang itu’, Lim Guan Eng menjadi pilihannya (sebagai Menteri Kewangan) yang berkuasa ke atas Tabung Haji.

Jika dahulu ‘orang itu’ mengajak orang Melayu membenci DAP, kini beliau mengajak orang Melayu menerima DAP. Sesekali ‘orang itu’ akan menitiskan airmatanya konon menyesali nasib yang menimpa bangsanya. Namun nasib bangsanya tidak banyak berubah, malah ditekan lagi. Yang banyak berubah hanyalah nasib anak-anak ‘orang itu’ dan sebilangan kecil kroni-kroni Melayu beliau.

Kini semuanya terbentang di hadapan mata kita. Jika dahulu orang bercakap “kalau DAP memerintah, tahulah nasib kita”, kini kita menyaksikannya sendiri. Terlalu banyak bukti Melayu-Islam-Bumiputera dicaci, dihina dan direndahkan martabatnya oleh DAP. DAP mencapai cita-cita mereka dengan sokongan ‘orang itu’. Bakal pengganti ‘orang itu’ juga telah sekian lama tunduk kepada DAP. Sampai bila lagi kita mahu terus dicaci dan dihina oleh bangsa DAP?

Apapun, kita ucapkan terima kasih atas pengalaman yang diberikan ini. Masa yang lepas takkan berulang lagi. Tapi kita masih boleh mendapatkan kembali apa yang kita telah terlepas masa lalu, di masa hadapan. Betulkan nawaitu, rapatkan saf, kukuhkan perpaduan dan dengan izin Allah, kita boleh mengucapkan “Selamat Tinggal Penderitaan” di bawah kerajaan PH yang didominasi DAP…

Facebook
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts