TOMMY THOMAS DILANTIK SEBAGAI KETUA PENARI NEGARA

680
SHARES
2.5k
VIEWS

Oleh Anuar Shaari

20 Januari 2019

Saya amat ‘kagum’ dan terkesima meneliti jawapan balas pendukung PH berhubung klip video yang tular memaparkan Menteri JPM, Ketua Hakim Negara, Peguam Negara dan beberapa personaliti lain yang cukup dikenali sedang menari dengan asyiknya.

Menteri di JPM kata ia bukan majlis untuk bersuka ria. Tarian itu hanya untuk meraikan harijadi beliau. Pertubuhan Undang-undang Sabah mengatakan mereka yang terlibat tahu membezakan antara peribadi dan profesional.

Akan tetapi, kenyataan terbaik PH mempertahankan majlis tari-menari itu datangnya dari Hanifa Maidin yang mengatakan tari-menari itu adalah tradisi para peguam! Hanifa Maidin memang bijak, kerana itulah sebagai ketua dalam profesyen guaman, Peguam Negara ‘dilihat’ mengetuai slot tarian pada malam tersebut.

Sebagai Peguam Negara yang mewakili kerajaan PH, tentunya beliau perlu membuktikan beliau lebih baik dari para peguam swasta. Nyata kepakaran beliau dalam bidang tarian tiada tolok bandingnya. Beliau menari dengan baik sekali serta tidak kekok menguasai pentas.

Dari klip video yang tular juga, Peguam Negara dilihat sangat insaf dan telah menari dengan bersungguh-sungguh seperti melepaskan ‘gian’. Mungkin ini disebabkan semasa pemerintahan BN, acara sebegitu tidak dibenarkan sama sekali. Peguam Negara dilihat sangat menghargai detik (tarian) itu.

Goyangan Peguam Negara amat asyik sekali. Beliau dilihat sentiasa memperbaiki skilnya sepanjang tarian tersebut. Tidak cukup menari berpasangan, beliau juga amat bersungguh-sungguh menunjukkan kebolehannya menari secara solo. Tidak mahu dibayangi kehebatan pasangannya barangkali.

Jika ada anugerah tarian terbaik pada malam tersebut, saya jangka ia akan dimenangi oleh Peguam Negara kerajaan PH ini.

Tariannya cukup sempurna, gelekannya dibuai dengan lembut sekali.

Hayunan kepalanya sangat berseni. Lentik tangannya cukup membakar semangat untuk terus beraksi.

Dari klip video tersebut, terbukti Peguam Negara amat komited menjalankan tugas sebagai ketua penari di majlis tari menari itu.

Ketua Hakim Negara juga tidak dapat mengawal perasaan dan dilihat menaiki pentas untuk sama-sama menari, diiringi dengan sorakan gembira para tetamu lain.

Mungkin dalam acara-acara kehakiman dan perundangan selepas ini, Peguam Negara dan Ketua Hakim Negara boleh membandingkan skil siapa yang lebih hebat pada malam tersebut.

Dari pandangan mata kasar, nyata Peguam Negara lebih hebat.

Seperti kenyataan Hanifa Maidin dari parti PAN, tari-menari adalah tradisi para peguam. Seseorang ketua dalam profesyen guaman perlu mahir dalam tradisi ini. Bukan sahaja mahir, malah perlu mempertahankan tradisi ini.

Kerana itulah barangkali kebanyakan peguam PH mempertahan pesta tarian pada malam tersebut!

Mungkin juga inilah kriteria utama mengapa Peguam Negara sekarang Tommy Thomas dipilih mengisi jawatan tersebut. Tradisinya adalah menari dan harus pandai menari.

Barangkali Tan Sri Apandi Ali digugurkan dari jawatan Peguam Negara sebelum ini kerana tidak punya skil menari sehebat Tommy Thomas…

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts