SKIM MYSALAM PELINDUNG PERUBATAN DARI NEGARA ASING

212
SHARES
631
VIEWS

KENYATAAN MEDIA KETUA PENERANGAN PERKASA MALAYSIA

Oleh: Nasrul Ali Hasan Abdul Latif

Ketua Penerangan PERKASA Malaysia

6 Februari 2019

1. Sehingga pagi ini PERKASA menerima banyak pertanyaan berkenaan skim MySalam yang dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri Januari lalu. Skim ini kedengarannya sangat baik akan tetapi tidak padan dengan hakikat sebenar yang barangkali terjadi.

Adakah ia akan menguntungkan negara untuk jangka masa yang panjang? Apakah kesannya kepada syarikat-syarikat insurans takaful tempatan lain yang tidak dipilih sebagai pengendali skim ini?

2. Penerimaan sumbangan RM2 billion daripada Great Eastern Takaful ini masih kabur statusnya sama ada ianya sumbangan bebas cukai atau mendapat pengecualian cukai.

Lebih menjengkelkan lagi apabila syarikat insurans yang tidak mematuhi syarat-syarat had pemilikan asing BNM itu dilantik sebagai syarikat pengendali projek insurans MySalam.

Ibaratnya Great Eastern Takaful menyumbang RM2 billion untuk membayar RM2 billion premium insurans MySalam kepada Great Eastern Takaful. Sumbangan ini telah melahirkan keresahan dan tanda tanya pada banyak pihak. Persoalan utama yang menganggu fikiran rakyat adalah;

Mengapa Great Eastern Takaful dipilih bagi mengendalikan skim ini?

Apa kurangnya syarikat insurans lain seperti AIA, Zurich, Prudential dan lain-lain yang telah mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan BNM?

Adakah sumbangan ini menjadi prasyarat bagi Great Eastern Takaful memenangi perjanjian ini atau adakah ia sekadar laluan untuk sebuah syarikat yang tidak patuh arahan kerajaan mengenai pemegang saham lokal sebanyak 30% itu melalui MOF dan BNM untuk mencuci duit secara sah di sisi undang-undang Malaysia?

Apakah perbezaan sumbangan ini yang memungkinkan ia terkait dengan amalan rasuah secara terbuka bagi mendapatkan projek kerajaan?

3. Malaysia sehingga hari ini dikenali sebagai antara negara penyedia rawatan kesihatan yang terbaik di dunia. Oleh itu, pelaksanaan Skim MySalam ini seharusnya dilakukan kajian menyeluruh dan lebih dalam sebelum diwujudkan supaya manfaatnya benar-benar dapat mengurangkan beban B40 seperti yang telah didendang.

Ini kerana pada ketika ini, tindakan mewujudkan MySalam ini kelihatan lebih menguntungkan syarikat insurans Singapura kerana mendapat pelanggan tetap seramai 3.69 juta orang selama 5 tahun.

RM8,000 yang akan diberi bagi mereka yang dikenalpasti menghidapi 1 daripada 36 penyakit kritikal itu juga masih tidak jelas. Kerajaan sekurang-kurangnya perlu menyediakan Standard Claim Procedure supaya penerima skim ini jelas dengan segala terma dan syarat. Sehingga kini ia menjadi tanda tanya adakah RM8,000 itu akan dapat sekaligus atau berdasarkan bayaran balik tuntutan?

Rakyat mengharapkan skim insurans kerajaan ini telus dan tidak terselindung seperti semua sedia maklum banyak perkara berkaitan tuntutan insurans yang kebiasaannya diputar belit dan akhirnya pesakit tidak menerima jumlah penuh seperti yang dijanjikan. Ini kerana syarikat ini adalah berteraskan perniagaan dan pastinya banyak helah yang digunakan bagi mengelak kerugian.

4. Siapakah yang akan memperoleh manfaat dalam skim ini? Atas dasar pemerhatian saya berdasarkan pengetahuan Big Data Analytics, skim ini akan membuka ruang pencerobohan data setiap individu secara terbuka oleh syarikat negara asing yang memungkinkan penyalahgunaannya. Ini menimbulkan persoalan privasi data dan kerahsiaan data.

Atas alasan undang-undang dan moral apakah Kementerian Kewangan dan Bank Negara membenarkan Great Eastern Takaful untuk mendapatkan pangkalan data penduduk B40?

Data 3.69 juta orang itu adalah data yang sangat lengkap yang mengandungi butiran peribadi, alamat rumah dan tempat kerja, tanggungan, pendapatan bulanan, kekerapan menggunakan skim ini dan selebihnya berkaitan kesihatan. Dengan data-data lengkap itu, syarikat Singapura ini bukan sahaja boleh melakukan Market Study untuk memastikan kestabilan syarikatnya di dalam Malaysia, malah ia boleh menggunakan data tersebut sebagai sasaran agenda parti politik tertentu di Malaysia dengan kerjasama parti politik di Singapura seperti terang-terangan cuba mengambil alih kepimpinan Malaysia dari dulu lagi.

Hal ini juga sudah tentu akan menggadaikan masa depan negara serta industri dan pasaran insuran syarikat-syarikat Takaful dan insuran negara dan kita akan terus didominasi oleh syarikat-syarikat asing yang besar serta berkepentingan.

5. Banyak perkara yang meragukan bagi projek MySalam ini sejak ia dilancarkan Januari lalu. Kerajaan PH seharusnya memberi keterangan yang jelas akan tindakan memilih Great Eastern Takaful sebagai pengendali program ini. Pemimpin-pemimpin parti komponen PH yang lain janganlah terus diam seribu bahasa sehingga mengakibatkan negara tergadai. Jika ia tidak jelas dan lebih ke arah merugikan negara, maka undi dan cadanglah agar perjanjian ini dibatalkan atau ditangguhkan dan seterusnya lakukan kajian lebih terperinci serta siapkan prosedur standard yang jelas agar segala persoalan dapat dijawab dengan baik sebelum ia dilaksanakan sepenuhnya. Jangan biarkan keputusan yang diragui ketelusannya dan apakah syarikat-syarikat lain dijemput sama untuk mengemukakan cadangan serta tanpa perbincangan dan kajian lengkap.

PERKASA menggesa agar pihak kerajaan dapat menghurai dengan jelas segala persoalan dan lebih telus dalam tindakan pemilihan supaya ia tidak menjejaskan keselamatan dan ekonomi negara.

Pertalian yang erat dua parti politik Malaysia dan Singapura juga boleh menimbulkan berbagai andaian dan persepsi.

Sekian.

Facebook
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts