PRK SEMENYIH: KISAH DS NAJIB DAN KUNG FU PANDA

1.4k
SHARES
1.6k
VIEWS

Oleh Anuar Shaari

1. Saya amat tertarik mengulas mengenai filem animasi Kung Fu Panda 2 yang ditonton bersama keluarga hujung minggu lepas. Sebuah naratif watak antagonis ‘Shen’, seekor burung merak yang punya cita-cita besar hingga lupa nilai-nilai positif dalam hidupnya. Sanggup membunuh untuk berkuasa dan memenjarakan saingannya untuk terus berkuasa. Namun cita-citanya tidak kesampaian lalu mati akibat dendam amarahnya yang terlalu tinggi hinggakan tidak lagi boleh berfikir secara rasional.

2. Dialog menarik di penghujung cerita semasa pertempuran terakhir di antara ‘Shen’ dan Pahlawan Naga ‘Po’ membuat saya terfikir ianya berkait rapat dengan kehidupan kita seharian. Shen bertanya kepada Po bagaimana Po beroleh ketenangan serta mampu bertarung dengan baik walaupun Po dibebani luka lama yang menyedihkan. Po mengatakan “parut akan sembuh”. Shen yang dibebani perasaan amarah serta dendam terlampau tidak bersetuju lalu mengatakan “tidak, hanya luka yang akan sembuh tetapi parut tidak akan hilang”. Shen menjawab “kita sendiri yang tentukan yang terbaik untuk diri kita”.

3. Maksudnya, jika kita mahu, kita boleh sahaja memandang ke hadapan dan meneruskan kehidupan dengan positif tanpa menoleh ke belakang dan dibebani masalah silam. Kita juga boleh teruskan kehidupan dengan dibebani dendam kesumat lantaran kehidupan silam yang tidak menepati kemahuan kita kita.

4. Dalam konteks ini, gerak kerja kempen Pakatan Harapan di PRK Semenyih menyamai cara kehidupan Shen di dalam cerita Kung Fu Panda 2. Penuh dendam kesumat serta tidak henti-henti menyerang Datuk Seri Najib. Tidak cukup dengan dasar-dasar Najib semasa menjadi Perdana Menteri, keluarga Najib juga menjadi sasaran dalam kempen penuh dendam PH. Datin Seri Rosmah Mansur ‘diusik’ dalam ceramah-ceramah PH. Nama Tun Razak juga tidak terlepas dari ungkitan mereka walaupun Tun Razak telah lama meninggal dunia. Manusia bernama Najib Razak terus-terusan menjadi cacian Pakatan Harapan. Hingga ada cubaan menghalang Najib melawat pasar pagi di Semenyih!

5. Begitu hebat dan banyak sekali kata-kata yang memperlekehkan ‘tagline‘ bosku dari para pemimpin PH. Barangkali mereka terlupa menjual produk-produk dari PH sebagai bahan kempen mereka. Atau apakah PH tidak ada produk-produk baru yang boleh dijual sebagai bahan kempen bagi menarik pengundi? Mungkin produk ‘salin kulit’ atau tukar nama PH tidak mendapat sambutan dari orang ramai.

6. Berbeza dengan Najib, beliau dilihat meneruskan kehidupan dengan tenang dan terus memandang ke hadapan. Walaupun PH menekan beliau dengan hebat dari semua segi, beliau dilihat tidak tertekan dan terkesan dari tindakan ini. Mungkin beliau tidak menzahirkan kerisauan beliau di khalayak ramai. Beliau juga tidak panik dan agresif menghasut rakyat turun ke jalanan bagi membela beliau. Beliau dilihat ‘enjoy‘ dengan kehidupannya sekarang. Menaiki motosikal, makan di food court, busking di jalanan, berswafoto serta beramah mesra dengan segenap lapisan masyarakat. Segalanya dilakukan dengan penuh rasa teruja.

7. Dalam masa yang sama, Najib juga dilihat menerima kenyataan dan telah menjadi pembangkang yang berwibawa. Semua dasar-dasar kerajaan PH di ulas dengan fakta dan kritikan berhemah. Begitu juga dengan serangan terhadap dasar-dasar negara semasa beliau menjadi PM, dijawabnya dengan penuh tertib, berfakta serta berhemah. Najib telah menentukan arah mana beliau mahu berperanan sekarang. Beliau tenang meneruskan kehidupan dan dilihat tidak terbeban dengan masa silam walaupun PH tetap mengecam dan menghina beliau.

8. Dendam hanya menyemarakkan kemarahan dan kemarahan akan membinasakan. Itulah yang terjadi kepada PH sekarang. ‘Luka’ mereka telah bercantum dengan kemenangan di PRU-14, namun ‘parut’ yang ditinggalkan timbul besar di kulit mereka. Tiada cara mahu membuang parut tersebut. Kerana itulah mereka ‘galak’ melempiaskan dendam mereka dengan menghina, mengeji serta melekehkan Najib. Namun Najib dilihat tidak terkesan dengan perlakuan PH ini. Yang mana patut beliau ulas, beliau ulas dengan tertib. Yang mana patut beliau ‘troll‘, beliau buat dengan tajam sekali. Yang mana patut beliau puji, beliau puji tanpa mengira fahaman politik. Yang penting ‘enjoy’ kehidupan kita dan senyum selalu.

Buat Datuk Seri Najib, “Ular menyusur akar takkan hilang bisanya”…

Facebook
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts