PERKASA MENGALU-ALUKAN USAHA KERJASAMA KE ARAH PERPADUAN UMMAH

481
SHARES
2.1k
VIEWS

KENYATAAN MEDIA KETUA PENERANGAN PERKASA MALAYSIA

Oleh Nasrul Ali Hasan Abdul Latif

Ketua Penerangan Perkasa Malaysia

6 Mac 2019

1. Sesebuah negara tidak hanya ditegakkan atas asas perundangan dan Perlembagaan semata-mata, tetapi perlu berteraskan kepada beberapa prinsip antaranya ialah perpaduan ummah. Senario Malaysia hari ini melahirkan satu per satu kesedaran apabila banyak perkara yang melindungi rakyat khususnya orang Melayu dan Bumiputera serta agama Islam mula dicalar. Akibatnya, pemimpin rakyat mula bangkit dan berusaha menyatukan hati-hati mereka walaupun mempunyai ideologi yang berbeza.

2. PERKASA sebagai sebuah NGO yang memperjuangkan hak Islam dan Peribumi amat gembira apabila usaha murni ini mula dijadikan satu agenda dan gerak kerja. Kerjasama ini masih belum terlambat dan tidak pernah terlambat kerana sesuatu hikmah yang ditunjukkan berdasarkan sesuatu peristiwa serta hidayah itu adalah milik Allah S.W.T. hingga terbukanya pintu hati untuk bersama-sama menegakkan syiar Islam.

Seperti firman Allah S.W.T dalam surah Ali Imran ayat 103 yang bermaksud, “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.”

3. Penyatuan ummah yang berlangsung kali ini bukan sekadar gabungan kerjasama dari NGO-NGO malah badan politik juga turut bersatu demi memperkasakan perjuangan membela agama, bangsa dan negara iaitu dengan usaha mengembalikan kuasa politik Melayu dan Islam. Sebelum ini, pemimpin-pemimpin parti tersebut tidak dapat disatukan kerana agenda perjuangan politik masing-masing, namun pada masa yang sama kedua-duanya mendoakan perkara yang sama iaitu demi kebaikan Islam dan bangsa Melayu hingga akhirnya kini, dipertemu serta diperkenankan oleh Allah S.W.T doa mereka dan seterusnya mencetus idea gabungan menyatukan ummah di Malaysia.

4. Atas sebab itulah, kerjasama politik antara kedua-dua parti itu tidak boleh dilihat dari sudut sempit apatah lagi diselubungi dengan politik kebencian mahupun permusuhan yang sudah terbentuk sekian lama. Sampai bila orang Melayu khususnya dalam dua parti induk itu mahu bertelagah sesama sendiri kaum lain bijak mengambil kesempatan untuk memperkukuhkan kuasa politik mereka. Penyatuan ini lebih jelas perjuangannya jika nak dibandingkan kerjasama yang berteraskan agenda politik saling mengguna demi kepentingan dan perjuangan yang langsung tidak membawa kebaikan kepada Melayu, Bumiputera dan Islam.

5. Oleh itu, marilah sama-sama kita mengikat tali perpaduan dalam semua perkara dan janganlah kita melampaui batas. Sikap melampau sebenarnya akan menjadi pemangkin terhadap ketidaksepaduan masyarakat dan seterusnya akan melemahkan kestabilan sosio-politik negara.

Usahlah kerana kepentingan diri yang sempit, kita sanggup meruntuhkan perpaduan yang telah lama terbina dan menggadai kuasa serta maruah yang ada. Demi Islam dan masa depan ummah, inilah masanya kita bersatu tanpa mengira fahaman politik dengan mengenepikan segala muslihat yang cuba mencabar Perlembagaan negara dan berusaha untuk memesongkan fikiran kita.

Fikirkanlah dengan akal yang bijaksana dan hentikanlah sikap yang terlalu mudah mempercayai khabar angin dan hasutan pihak-pihak musuh tanpa mengambil kira baik buruk kesannya kepada agama, bangsa dan negara kita.

6. Ambillah iktibar dan pengajaran daripada penindasan yang sedang berlaku kepada umat Islam di luar negara sebelum ia berlaku juga kepada kita. Ingatlah pesanan dari Raja kita bahawa “rakyat perlu diinsafkan supaya jangan cepat membuang pelita kerana riang melihatkan fajar yang akan menyingsing kerana siang hari juga akan berakhir, jangan nanti bila malam mendakap senja, warga dan bangsa akan hidup teraba-raba.”

Sekian.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts