RAMELI MUSA KAWAN RAPAT ANWAR IBRAHIM – EZAM

558
SHARES
1.8k
VIEWS

1.Beberapa hari ini nama Datuk Rameli Musa timbul atas isu yang semua sedia maklum hari ini.

2.Saya tidak berhajat mengulas mengenai isu tersebut kerana saya tidak terlibat dan tidak mengetahui hujung pangkal perkara.

3.Namun saya merasa bertanggungjawab atas prinsip keadilan dan kebenaran untuk membetulkan satu fakta yang jelas salah dan dipesongkan mungkin atas niat jahat terhadap seorang yang bernama Datuk Rameli Musa.

4.Saya kenal Datuk Rameli Musa kira-kira 20 tahun lalu diawal perjuangan Reformasi pada tahun 1998 menerusi Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pada masa itu merupakan bos saya (saya menjadi Setiausaha Politik DSAI pada tahun 1996 dan pada tahun 1999 diminta oleh DSAI membantu Datin Seri Wan Azizah menubuhkan Parti Keadilan Nasional).

5.Datuk Rameli Musa dikenalkan kepada saya oleh Datuk Seri Anwar sebagai kawan rapat beliau semenjak belajar satu batch di MCKK pada tahun 1960an. DSAI memberitahu saya bahawa Datuk Rameli Musa telah menyatakan kesediaan membantu keperluan keluarga dan perjuangan atas dasar persahabatan dan simpati beliau kepada nasib yang menimpa DSAI dan keluarga.

6.Setelah DSAI dipenjarakan saya diminta oleh Datuk Rameli Musa menyalurkan segala keperluan keluarga kepada Datin Seri Wan Azizah. Adakalanya Datin Seri Wan Azizah sendiri berjumpa Datuk Rameli bagi tujuan yang sama.

7.Dalam pengetahuan saya banyak sumbangan Datuk Rameli kepada keluarga dan perjuangan khususnya semasa DSAI di penjara antaranya;

i. Membiayai keperluan keluarga DSAI dan DSWA termasuk kos perubatan Allahyarham Mokhtar Ibrahim (abang DSAI) di luar negara pada ketika itu.
ii. Membiayai kos guaman DSAI khususnya peguam utama DSAI Mendiang Christopher Fernando dan lain-lain.
iii. Menyediakan wang jaminan ratusan reformis yang ditahan di era reformasi melalui seorang yang dikenali oleh para reformis sebagai Prince Reformasi.
iv. Menyediakan keperluan perbelanjaan Parti Keadilan Nasional dalam pelbagai aktiviti menerusi bekas Bendahari Agung Parti Allahyarham YB Ramli Ibrahim dan Bekas Setiausaha Agung Parti Datuk Sallehudin Hashim.
v. Membiayai wang deposit calon-calon parti dalam PRU-11 di tahun 2004 melalui Bendahari Agung parti pada ketika itu Datuk Kamarul Baharin.

(Sebahagian besar daripada pembiayaan di atas diterima oleh Datuk Seri Wan Azizah yang pada ketika itu merupakan Presiden Parti dan hari ini merupakan Timbalan Perdana Menteri)

8. Dalam pengetahuan saya juga Datuk Rameli membiayai kos sara hidup pimpinan ABIM yang kehilangan pekerjaan di era reformasi untuk beberapa tahun. Antara tokoh-tokoh itu adalah Ustaz Dr Mohd Nur Manuty dan Dr Mohd Nor Nawawi walaupun pernah dimarahi oleh DSAI dan diarah dihentikan atas sebab-sebab politik (atas rasa simpati dan persahabatan yang lama di dalam ABIM, Datuk Rameli Musa teruskan bantuan).

9. Dalam pengetahuan saya juga Datuk Rameli pernah membantu ramai tokoh-tokoh politik lain yang pada saat itu menghadapi kesukaran hidup antaranya tokoh-tokoh di dalam parti Amanah, PAS, PKR termasuk juga tokoh-tokoh di dalam UMNO.

10. Saya nyatakan secara terbuka hakikat ini atas prinsip kebenaran dan keadilan dan rasa terkilan kerana seorang yang budiman seperi Datuk Rameli ini difitnah tanpa pembelaan sewajarnya khususnya daripada mereka yang pernah mendapat bantuan ikhlas beliau.

11. Saya ingin mengingatkan kawan-kawan politik saya dahulu untuk menjunjung prinsip moral dan jangan keghairahan kepada kuasa menyebabkan kita menghumban prinsip moral dengan menfitnah seorang sahabat yang banyak menolong kita di dalam perjuangan, tanpa beliau mengharapkan apa-apa imbuhan.

12. Keikhlasan beliau jelas kerana beliau menolong sahabat-sahabat di saat sukar dan di saat mereka tidak mempunyai kuasa (justeru tidak timbul unsur rasuah).

13. Saya nasihatkan kepada Rafizi Ramli yang pada ketika awal perjuangan reformasi masih di bangku sekolah untuk berhati-hati dan jangan bermain dengan api.

14. Saya tidak mahu diheret di dalam perdebatan politik kerana saya bukan lagi ahli politik apatah lagi perdebatan politik hari ini hanya penuh dengan sampah kerakusan harta dan kuasa tanpa pertimbagan moral dan akhlak.

Saya hanya ingin memberikan keadilan kepada seorang insan yang banyak berjasa kepada saya dan perjuangan.

Oleh Mohamad Ezam Mohd Nor

Setiausaha politik DSAI 1996-98

Pengasas Parti Keadilan Nasional 1999

Ketua Pemuda 1999-2006

Tahanan ISA dan OSA 2001-03

3 Mac 2019/ 25 Jamadil Akhir 1440H

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts