Oleh Anuar Shaari
1. Ikatan kerjasama secara rasmi UMNO-PAS telah menarik perhatian semua pihak di dalam negara. UMNO dan PAS telah menjelaskan ianya adalah kerjasama demi kekuatan dan kelangsungan ummah. Ia seharusnya khabar gembira buat semua rakyat Malaysia yang cintakan perpaduan dan kedamaian.
2. Namun khabar ini disambut sinis oleh sesetengah pihak yang tidak senang dengan kerjasama UMNO-PAS. Muncul pelbagai analogi negatif dan kecaman terhadap usaha memperkasa kekuatan Melayu-Islam. Paling ‘panas punggung’ dengan kerjasama ini ialah parti rasis DAP. Lim Guan Eng secara terbuka mengatakan kerjasama ini adalah ‘perang’ terhadap golongan bukan Melayu-Islam di Malaysia. Ini adalah satu pengkhianatan terhadap negara dari seorang menteri kerajaan yang konon memimpin parti ‘demokratik’ pelbagai kaum. Ia jelas menggambarkan pendirian DAP yang mahukan ‘perang’ walaupun Guan Eng telah membuat ‘u-turn‘ berkaitan kenyataannya.
3. Walaupun UMNO dan PAS adalah parti politik, kerjasama ini melangkaui batas politik. Sebagai dua buah parti politik Melayu-Islam terbesar, kerjasama UMNO-PAS adalah benteng pertahanan umat Islam yang kini dihina dan diasak teruk di era Pakatan Harapan. Tidak pernah terjadi dalam sejarah moden Malaysia, Melayu-Islam dihina dan diperlekeh sebegini rupa. Kenyataan menghina Allah, menghina Rasulullah, menghina Al-Quran dibuat secara terbuka dan berleluasa di media-media sosial.
4. Bangsa Melayu juga tidak terlepas dari penghinaan oleh mereka yang yang tidak bertamadun ini. Melayu dihina, dicaci, diusir serta dihentam. Mereka yang menghina dan mencaci Melayu-Islam bertindak tanpa takut dan berleluasa. Seolah-olah melepaskan dendam kesumat yang terpendam sekian lama. Saya percaya ramai juga dari kalangan bukan Melayu-Islam yang tidak bersetuju dengan tindakan segelintir dari mereka. Namun jika ini tidak dibendung dengan penguatkuasaan undang-undang sedia ada, ia bakal mengundang padah di masa hadapan.
5. Keadaan diburukkan lagi apabila muncul golongan Melayu-Islam yang seolah-olah mempertahankan penghinaan terhadap Melayu-Islam. Lihat sahaja apabila Nabi Muhammad dihina, muncul orang ‘agama’ yang mengatakan orang Islam pun ada yang menghina Nabi Muhammad. Jika benar ada umat Islam yang menghina Islam, hukumlah mereka sesuai syariat Islam. Jika ada bukan Islam menghina Nabi Muhammad, maka hukumlah mereka juga sesuai dengan undang-undang. Inilah keadilan sebenarnya, bukannya membela perlakuan mereka yang salah.
6. Dua tokoh utama Melayu dalam PH pula sangat ‘fobia’ dengan kerjasama UMNO-PAS. Kebimbangan mereka tentunya atas pertimbangan politik. UMNO-PAS tidak pernah bekerjasama sebaik sekarang di zaman PM ke-4. Mahathir telah lama ‘menjual’ Islam demi kelangsungan politik peribadi. PAS digambarkan sebagai ‘sesat’ dan punca perpecahan. PAS juga menjadi mangsa kebobrokan Anwar semasa beliau di dalam UMNO. Anwar adalah senjata utama Mahathir menyerang PAS. Anwar juga ‘menggadai’ Melayu demi meraih sokongan politik kepada beliau. Meneliti ucapan-ucapan Anwar semasa di dalam UMNO, Melayu UMNO lebih Islamik dari Melayu PAS! Kenyataan ini jelas memperbodoh masyarakat umum ketika itu.
7. Kini, apabila dua parti terbesar umat Melayu-Islam di Malaysia sanggup bermaafan dan melupakan kisah lalu lantas mahu bekerjasama, mengapa Mahathir dan Anwar yang menggelabah? Secara perbandingan, apa yang Mahathir tidak kata kepada DAP? Jika mereka boleh bekerjasama dan bermaafan atas kepentingan politik, mengapa UMNO-PAS tidak boleh bermaafan dan bekerjasama atas kepentingan ummah? Mahathir juga pernah mengeji Anwar sebagai peliwat dan macam-macam kejian lagi. Anwar telah memaafkan Mahathir walaupun Mahathir jauh sekali memohon maaf kepada Anwar. Kini boleh pula Mahathir bekerjasama dengan peliwat atas tuntutan politik. Bukankah kerjasama politik UMNO-PAS atas tuntutan agama, bangsa dan tanahair ini lebih mulia dari kerjasama Mahathir-Anwar atas kepentingan peribadi?
8. Jelas masyarakat Melayu-Islam di Malaysia mendambakan kerjasama ini sebagai benteng pertahanan menyelamatkan agama, bangsa dan tanahair. Ramai yang mengalu-alukan kerjasama ini termasuk dari kalangan bukan Melayu-Islam. Ini kerana mereka tahu kepimpinan Melayu-Islam menjamin hak semua warganegara Malaysia berdasarkan Perlembagaan, muafakat dan toleransi. Hanya Pakatan Harapan yang gerun dengan kerjasama UMNO-PAS ini. Ini adalah kerana pemimpin PH bertopengkan manusia prihatin, peduli rakyat, tidak korup sedangkan hakikatnya mereka menjual Islam dan Melayu demi kuasa untuk kepentingan peribadi.
Buat UMNO dan PAS, teruskan usaha murni ini. Buktikan kita boleh bersatu dan bekerjasama dengan baik tanpa Mahathir dan Anwar. Jauh sekali memerlukan restu Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng untuk bekerjasama. Usah dilayan pimpinan Pakatan Harapan yang berkokok bak ayam jantan, riuh sekampung namun ekor bergelumang tahi…