RAZLAN DAN DAP, TUN MEMILIH RULE OF LAW ATAU RULE OF LAWAK?

253
SHARES
652
VIEWS

Adakah kenyataan Datuk Mohd. Razlan Rafii di Twitter-nya untuk “tembak ‘puak-puak’ DAP” boleh diandaikan sebagai tidak wajar?

Adakah kenyataan tersebut boleh mendatangkan kemudaratan, menyemai kebencian dan mengundang ketidakselesaan?

Bagaimana pula dengan kenyataan-kenyataan melampau oleh beberapa pemimpin utama DAP iaitu Lim Guan Eng, Nga Kor Ming, Liew Chin Tong dan Chew Chong Sin, dalam melampiaskan kebencian dan ketakutan mereka terhadap kerjasama antara UMNO dan PAS?

Guan Eng mengatakan penyatuan UMNO-PAS adalah sebagai ancaman terhadap kaum bukan Melayu di Malaysia dan beliau menggunakan istilah “perang ke atas bukan Melayu”.

Kor Ming pula lebih memalukan apabila mengatakan penyatuan atau kerjasama tersebut seolah-olah satu tindakan mewujudkan keganasan apabila berkata bahawa “Malaysia akan menjadi ganas seperti Afghanistan di bawah Taliban”.

Liew Chin Tong pula menyerang kerjasama UMNO dan PAS dengan berkata mereka akan membuat apa sahaja seperti strategi Dasar Bumi Hangus, yang sebenarnya diamalkan oleh DAP sendiri.

Chew Chong Sin melengkapkan siri serangan DAP terhadap kerjasama antara dua parti Melayu Islam terbesar ini apabila mengaitkan tragedi pembunuhan di Christchurch oleh ekstremis kulit putih Brenton Tarrant, yang beliau khuatir akan berulang jika UMNO dan PAS bergabung.

Jika kita bersetuju Razlan wajar dikenakan tindakan, maka Guan Eng, Kor Ming, Chin Tong dan Chong Sin juga sepatutnya dikenakan tindakan yang sama kerana mereka juga mengeluarkan kenyataan yang jauh lebih tidak wajar, malah biadap dan melampau.

Helen Ang dalam blog beliau juga secara sarkastik menyindir DAP dalam isu Razlan kerana dari dahulu lagi DAP sentiasa menganggap diri mereka suci, bersih dan menampakkan mereka sebagai sentiasa teraniaya.

Jika ada pihak ‘menyentuh’ DAP, cepat sahaja mereka ‘menyalak’ dan menyerang secara melampau serta biadap tetapi terlepas dari sebarang tindakan.

Perkara ini wajar diubah sekiranya kerajaan benar-benar ingin menegakkan prinsip Rule of Law yang diagung-agungkan oleh Perdana Menteri sendiri.

Malah Tun Mahathir wajar memainkan peranan utama demi menegakkan prinsip yang diyakininya ini, tanpa memilih kasih walaupun kesalahan dilakukan oleh anaknya sendiri, apatah lagi dilakukan DAP yang beliau sendiri musuhi sejak sekian lama dan DAP juga membenci beliau.

Jika tidak, prinsip Rule of Law ini bukan sahaja boleh diistilahkan sebagai retorik semata-mata tetapi boleh juga dikatakan sebagai mempermainkan undang-undang, kerana dilaksanakan secara terpilih dan tidak adil.

Banyak bukti sebelum ini yang melibatkan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan, aduan atau laporan polis terhadap mereka hanya akan dipandang sepi dan tidak disiasat.

Jika dipanggil untuk disiasat sekalipun, tindakan selepas itu langsung tidak diketahui atau lebih tepat lagi tiada tindakan selanjutnya oleh pihak Peguam Negara.

Ini menunjukkan prinsip Rule of Law yang diagung-agungkan oleh Perdana Menteri dan Pakatan Harapan gagal ditegakkan, diburukkan lagi dengan perbuatan mempergunakan undang-undang untuk kepentingan mereka sendiri.

Justeru selaku Perdana Menteri, Tun Mahathir perlu bersungguh dan bukan hanya asyik berkata “Saya mahu tegakkan Rule of Law“, tanpa ada sebarang tindakan menghentikan ketidakadilan.

Walau sesibuk manapun beliau dalam “menguruskan’ negara dan mencari jalan menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, tidak patut dijadikan sebagai alasan.

Beliau perlu mengambil tindakan tegas demi menegakkan prinsipnya sendiri, pihak yang melindungi mereka wajar dipecat dan digantikan dengan individu yang lebih adil, tidak memihak dan berwibawa.

Jika tidak prinsip Rule of Law yang diagung-agungkan oleh beliau sejak menjadi Perdana Menteri ke-7 ini akan bertukar menjadi Rule of Lawak, yang akan menghantuinya sehingga ke akhir hayat.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts