Sekumpulan pelajar Cina yang memegang poster karikatur Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak dan pelbagai placard termasuk “Mana 2.6 bilion” dan yang tersalah tulis “Pulangkan duit RAYKAT” sepatutnya membuat demonstrasi tersebut di depan bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Jika demonstrasi dibuat di depan Najib yang belumpun dituduh dalam kes RM2.6 bilion yang kononnya dicuri dari 1MDB, beliau juga tidak mampu berbuat apa-apa untuk memuaskan hati para pelajar Cina tersebut kerana undang-undang menetapkan beban pembuktian perlu dibuktikan oleh penuduh.
Beban pembuktian inilah yang masih gagal dibuktikan oleh penuduhnya iaitu kerajaan Pakatan Harapan, yang siasatannya dilaksanakan oleh SPRM, dibantu oleh Pasukan Khas Penyiasat 1MDB, pihak polis, Kementerian Kewangan serta Bank Negara.
Walaupun kerajaan ketika ini mempunyai kelebihan dan akses terhadap seluruh dokumen perjanjian, transaksi kewangan, individu dan saksi terlibat serta pelbagai jentera kerajaan di bawah kawalan mereka sepenuhnya, namun masih gagal mengesan sebarang salah laku.
SPRM juga masih gagal melengkapkan siasatan walaupun sejak 2015 Pakatan Harapan mencanangkan bahawa kertas pertuduhan telahpun disediakan oleh Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Ghani Patail.
Ini dibuktikan dengan kenyataan media oleh Shukri Abdull pada 6 Julai, SPRM akui siasatan baru 50 peratus diselesaikan, selang hampir dua bulan kemudian iaitu pada 30 Ogos, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki pula membuat kenyataan bahawa siasatan baru 60 peratus lengkap.
Shukri Abdull kini berada dalam Pasukan Khas Penyiasat 1MDB bersama-sama bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed; Pengarah Cawangan Khas, Datuk Abdul Hamid Bador yang juga bakal Ketua Polis Negara serta Ghani Patail sendiri.
Bukankah dengan pelbagai jentera kerajaan dikerah dan diwujudkan, kerajaan sepatutnya dengan mudah dapat melengkapkan siasatan dan seterusnya Najib dapat dituduh di mahkamah, melainkan semua ini hanyalah penipuan dan fitnah semata-mata untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional.
Justeru, persoalan “Mana 2.6 bilion”, “Pulangkan duit rakyat” yang ditimbulkan oleh pelajar-pelajar Cina yang tidak berpuas hati dengan Program Santai Bossku yang diadakan di Restoran Amjal di Lembah Pantai ini tersalah tempat melakukan demonstrasi yang sepatutnya diadakan depan bangunan SPRM, bukannya di program Najib.
Mereka juga boleh juga membuat demonstrasi besar-besaran di Kementerian Kewangan kerana Lim Guan Eng dan DAP sebelum ini gigih menuduh Najib termasuk membuat sidang media bahawa kes 1MDB ini akan diselesaikan dalam 100 hari pemerintahan Pakatan Harapan.
Kini sudah melebihi 300 hari, yang menunjukkan beliau juga gagal menemukan sebarang bukti.
Jika masih tidak berpuas hati, pelajar-pelajar Cina ini juga boleh membuat demonstrasi di Pejabat Perdana Menteri kerana Tun Mahathir sehingga kini konsisten menuduh Najib sebagai pencuri dan mendakwa mempunyai bukti beliau mencuri duit 1MDB, namun tidak pernah menunjukkannya.
Adalah tidak adil Guan Eng dan Tun Mahathir berkomplot menyorokkan bukti untuk menyusahkan dan memalukan SPRM yang tidak mungkin berupaya melengkapkan siasatan tanpa bantuan mereka berdua yang ‘menyimpan’ bukti sejak sekian lama.
Peguam Negara Tommy Thomas pula sehingga kini masih menunggu siasatan SPRM dilengkapkan sebelum pihak beliau boleh menentukan jenis pertuduhan yang akan dikenakan terhadap Najib.
Walaupun Tommy sepatutnya dengan mudah boleh ‘cut and paste‘ sahaja daripada kertas pertuduhan yang telah disediakan oleh Ghani Patail pada 2015.
Ini juga akan memudahkan SPRM kerana jika kertas pertuduhan telah disediakan, bermakna satu siasatan telahpun dilengkapkan, yang juga boleh di-cut and paste sahaja oleh SPRM dari membuang masa menyiasat yang tidak berkesudahan.
Jika tidak, bukan sahaja pelajar Cina tersebut malah seluruh negara wajar berdemonstrasi menuntut pengakuan dari kerajaan sama ada selama ini mereka hanya menipu dan memfitnah Najib kerana sehingga kini gagal mendedahkan bukti beliau mencuri RM2.6 bilion daripada 1MDB.
Atau pelajar-pelajar Cina yang berdemonstrasi itu sudah boleh mula membuat poster dan menulis placard “Mana 30.1 bilion” dan “pulangkan duit rakyat” untuk berdemonstrasi di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya bagi menuntut Tun Mahathir dan mereka yang terlibat memulangkan jumlah wang yang rugi dalam skandal Forex yang berlaku pada awal 90an.
Jika 1MDB belum dibuktikan walaupun telah dicanang ke seluruh dunia, skandal Forex yang melibatkan jumlah yang jauh lebih besar ini telahpun disahkan oleh Suruhanjaya DiRaja (RCI) pada Ogos 2017.