SEMAKIN HARI DAP SEMAKIN GELABAH DENGAN KEMARAAN DATO SRI NAJIB RAZAK

394
SHARES
2.3k
VIEWS

Bermula dengan 5 laporan polis di Langkawi ketika Dato Sri Najib bercuti, diikuti dengan larangan Dato Sri Najib dari menghadiri forum di UKM, seterusnya dengan larangan dari menunaikan solat Jumaat di UTHM, larangan masuk Felda dan hari ini laporan polis dibuat apabila Dato Sri Najib mahu menunaikan solat Jumaat di Masjid Ar Rahman berhampiran Universiti Malaya, ini semua jelas membuktikan bahawa negara ini sudah tidak lagi mempunyai kebebasan bersuara dan berhimpun.

Bagi mengelakkan tindakan diambil ke atas Persatuan Pelajar yang menjemput Dato Sri Najib ke Universiti Malaya bagi menghadiri pengagihan bantuan makanan percuma untuk pelajar, Dato Sri Najib telah mengambil keputusan untuk menunaikan Solat Jumaat di Masjid Ar Rahah Kampung Kerinchi dan mengadakan Sembang Santai Bersama Mahasiswa UM di Restoran Amjal. Walau bagaimanapun, amat mendukacitakan apabila 6 orang pelajar yang difahamkan merupakan penyokong DAP UM telah melakukan provokasi di hadapan lokasi program santai kami.

Sekiranya provokasi tersebut dilakukan tanpa menggunakan gambar jelek Dato Sri Najib Razak, saya akan membiarkan sahaja mereka menggunakan hak mereka untuk berhimpun. Namun, bacullah kami jika membiarkan bangsa DAP yang biadap ini meneruskan kebiadapan mereka terhadap pemimpin kami.

Melihat provokasi tersebut, saya telah mendekati pelajar tersebut dan bertanya dengan beliau sama ada gambar jelek yang dipegang adalah gambar beliau. Maka bila beliau tidak menjawab, saya telah menegaskan kepada beliau bahawa ini gambar menghina Dato Sri Najib, lalu saya merampas dan mengoyakkannya.

Ketika saya mengoyakkan gambar tersebut, penyokong DAP tadi cuba menghalang saya. Beliau kemudiannya dihalang dan ditarik oleh beberapa individu yang berada di tempat kejadian. Pelajar tersebut sepatutnya bersyukur kerana beberapa orang pemimpin UMNO berada di tempat kejadian dan menghalang beliau dari dipukul oleh orang ramai yang ‘menyirap’ melihat kebiadapan mereka.

Jika AMK PKR mahu membicarakan soal kebebasan pelajar tersebut mempertikai soal 2.6 bilion, kenapa tidak tanya dengan 6 penyokong DAP tersebut mengapa mereka tidak menyertai sembang santai bersama Dato Sri Najib dan tanya Dato Sri Najib sendiri tentang 2.6 bilion yang sudahpun Dato Sri Najib jawab berpuluh kali.

Kenapa tindakan saya merampas dan mengoyakkan gambar jelek pemimpin kami hendak dipertikai, bukankah negara ini mempunyai undang-undang yang mencegah rakyatnya dari mempamerkan gambar jelek mana-mana pemimpin. Saya tidak akan merampas poster tersebut jika beliau mempamerkan gambar Lim Guan Eng dengan terowongnya, kerana itu gambar pemimpin mereka. Namun, sekiranya mereka mempamerkan gambar jelek pemimpin kami, kami tidak akan mendiamkan diri.

Kenapa tidak ada sebarang tindakan diambil terhadap pelajar terbabit sama seperti tiada tindakan diambil ketika banner provokasi dengan gambar Datin Sri Rosmah digantung ketika hari mengundi di Semenyih? Adakah penguatkuasaan undang-undang hanya dilaksanakan ke atas penyokong Barisan Nasional dan PAS? Manakala kebebasan mutlak untuk melanggar undang-undang diberikan kepada Penyokong Pakatan Harapan?

Inilah rule of law acuan Malaysia Baru DAP? Saya belum lupa adik saya direman 4 hari hanya kerana menularkan semula gambar seorang individu yang meletakkan punggungnya di kaca tv yang mempunyai gambar Tun Mahathir. Saya juga belum lupa apabila saya dilokap kerana mendedahkan tindakan AG melindungi 4 individu yang sudah didakwa di bawah Seksyen 307 Kanun Kesiksaan di atas kesalahan cubaan membunuh Adib. Cerminlah dulu kerajaan kamu sebelum hendak mengata tentang orang lain.

Oleh Dato’ Lokman Noor bin Adam

Ahli Majlis Tertinggi UMNO

22 Mac 2019

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts