1. Tahniah atas keputusan kerajaan menarik diri daripada menjadi ahli kepada Statut Rom.
2. Timbulnya kekecohan isu Statut Rom adalah disebabkan ia diputus dan diurus tidak mengikut amalan prosedur yang biasa dibuat oleh negara yang mengamalkan Demokrasi Berparlimen.
3. Bukankah semua urusan dan perkara yang melibatkan negara dan rakyat wajib dibawa ke Parlimen terlebih dahulu?
Sepatutnya kerajaan melalui Wisma Putra membawa usul mengenai cadangan menjadi ahli STATUT ROM ke Parlimen dengan terbuka dan tanpa berselindung.
4. Kemudian usul tersebut boleh dibahas dan diluluskan oleh Parlimen.
Memandangkan ia melibatkan Raja-Raja sebagai Ketua Negara dan negeri maka taklimat dan penerangan yang secukupnya dipersembahkan oleh Peguam Negara dan dibantu oleh pakar-pakar perundangan kepada Majlis Raja-Raja Melayu terlebih dahulu.
Sesudah Majlis Raja-Raja Melayu berpuas hati dan memberi perkenan, barulah dibawa ke Parlimen. Raja-Raja mempunyai hak dan peranan di bawah Konsep Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.
Adalah menghairankan mengapa hal asas seperti ini tidak difahami setelah 60 tahun negara mencapai kemerdekaan.
5. Apabila dibawa ke Parlimen dan dibahas serta diluluskan, maka rakyat pun mendapat maklumat dan tercatat dalam Hansard Parlimen.
Semua urusan kerajaan wajib dibawa ke Parlimen. Tidak boleh diberi alasan kononnya jika dibahas ia akan menimbulkan masalah untuk membuat keputusan. Kerajaan mempunyai hak tetapi hak tersebut mesti mengikut peraturan.
6. Ini yang sepatutnya dilakukan oleh Menteri Luar.
Apabila timbul kekecohan dan ada pihak yang menyoal dan mengkritik, tidaklah wajar dituduh untuk menjatuhkan Perdana Menteri.
Memanglah apabila dibuat sesuatu tidak mengikut peraturan yang sepatutnya, pasti ada pihak yang tidak berpuas hati, membuat bising dan membantah.
Samalah saperti Pakatan Harapan (PH) semasa menjadi pembangkang sebelum ini. Terdapat kalangan pemimpinnya mengutuk, mengecam, mengkritik dan membantah kerajaan Barisan Nasional (BN) malah mengadakan demonstrasi seperti anjuran BERSIH.
Rakyat tahu PH telah memukul canang berikrar untuk menjadi kerajaan yang lebih telus, lebih hebat dan jauh lebih baik daripada BN. Ini janji PH. Hakikatnya, kata dulang paku serpih, mengata orang, dia yang lebih.
Sekarang ini beban terletak atas bahu Kerajaan PH Malaysia Baru untuk membuktikan ketelusannya dan berintegriti.
7. Mana mungkin ada pihak boleh menjatuhkan Perdana Menteri dan kerajaan yang mempunyai majoriti di Parlimen.
Apatah lagi mendapat sokongan kuat daripada pembangkang seperti Pas, yang mahu Perdana Menteri sedia ada mentadbir sampai tamat penggal PRU-14.
BN pun menyokong Perdana Menteri seperti yang diumumkan oleh YB Dato Hishammudin Tun Hussein.
8. Masalahnya Menteri Luar telah membuat kerja tidak senonoh mengenai Statut Rom yang akhirnya menyusahkan Perdana Menteri dan Majlis Raja-Raja Melayu.
Buat kerja dalam gelap dan cuba berselindung tetapi hakikatnya orang nampak. Kemudian buat tuduhan itu dan ini serta menyalahkan orang lain. Ternyata tidak cerdik dan memalukan.
9. Apa yang berlaku memburukkan lagi imej kerajaan PH.
Demi meredakan keresahan dan kemarahan rakyat, kerajaan PH tidak perlu malu untuk memohon maaf bagi mengambil tanggungjawab.
Janganlah mengeruhkan lagi situasi termasuk mengeluarkan kenyataan dan komen yang boleh mengguris hati rakyat apatah lagi terhadap Majlis Raja-Raja Melayu yang dijunjung tinggi.
Ambillah pendekatan positif dan berlapang dada sambil menjadikan episod ini sebagai pengajaran bernilai.
10. Dalam hubungan ini, Menteri Luar perlu lebih bertanggungjawab.
Jika di negara lain, pasti sudah ada yang meletakkan jawatan atas kepincangan dan kesalahan yang begitu besar apatah lagi melibatkan kedaulatan negara dan kedudukan Raja-Raja.
Kegagalan Menteri Luar dan Peguam Negara memberikan gambaran sebenar dan mengelirukan kepada Majlis Raja-Raja Melayu, adalah sesuatu yang amat serius.
Apakah agenda sebenar, siapa dalangnya dan siapa harus bertanggungjawab?
Mujurlah Majlis Raja-Raja Melayu kemudian mengambil langkah tegas menolak Statut Rom setelah mendapat banyak maklum balas yang tepat daripada pelbagai pihak di luar kerajaan.
Akhirnya tindakan itu dapat menyelamatkan Malaysia daripada termasuk perangkap dan muslihat pihak tertentu, yang mudaratnya begitu besar kepada negara. Inilah yang selalu diungkapkan bahawa Raja Payung Negara.
Kepada kerajaan PH, sedarlah, Malaysia negara merdeka dan berdaulat dengan acuan kita. Itulah sepatutnya menjadi pegangan Malaysia sepanjang masa dan sampai bila-bila.
Dato Ibrahim Ali
Presiden Perkasa
6 April 2019