Menjelang genap satu tahun Kerajaan Pakatan Harapan memerintah era Malaysia Baru, berapakah markah penilaian yang diberikan oleh rakyat?
Kajian terkini oleh Merdeka Centre menunjukkan tahap sokongan rakyat terhadap Kerajaan PH merudum begitu teruk iaitu hanya 39%.
Siapakah yang patut dipersalahkan?
Mengikut skrip wajib pemimpin PH, semua kelemahan pentadbiran yang berlaku sekarang berpunca daripada Kerajaan Lama, BN.
Senang bukan jadi PH ini?
Hidup seperti Bangau yang hanya pandai menyalahkan pihak lain, bukannya bermuhasabah atas kesilapan diri sendiri.
Suka atau tidak, kemenangan PH yang terukir pada tanggal 9 Mei 2018 dahulu adalah atas hasil kejayaan mesin propaganda fitnah dan persepsi.
Kini, apabila mereka sudah berkuasa barulah rakyat nampak dengan sendiri sejauh mana kebenaran terhadap segala isu yang didendangkan PH selama ini.
Lihat sahaja isu fitnah PAS dapat 90 juta yang sehingga kini mereka masih jaja dalam ceramah, PH masih gagal mendedahkan apa-apa bukti.
Tidak ada seorangpun pemimpin PAS yang diheret ke mahkamah atas pertuduhan menerima rasuah.
Dulu, PH kata projek ECRL merugikan. Kini, ianya projek yang menguntungkan.
Dulu PH kata projek Bandar Malaysia menjual kedaulatan negara.
Kini, ianya tidak lagi menjadi projek yang menjual kedaulatan Malaysia kepada China.
Dulu, PH kata kamera AES ini menindas rakyat.
Kini, kamera dijenama sebagai AWAS dan mahu ditambah banyak lagi.
Dulu, PH kata harga minyak petrol boleh diturunkan dalam masa 24 jam.
Kini, mereka mahu apungkan sepenuhnya harga minyak, harga yang disubsidi hanya kepada golongan B40 sahaja.
Dulu, PH kata kebebasan akademik itu perlu diperjuangkan.
Kini, PH menggelarkan 4 ahli akademik sebagai “Profesor Kangkung” kerana berpendirian yang tidak seiring dengan PH dalam hal ratifikasi Rome Statute.
Dulu, PH kata insititusi Raja perlu dihormati.
Kini, PH sewenang-wenangnya bersengketa dengan Istana.
Dulu, PH kata identiti tempatan perlu diutamakan.
Kini, PH berbangga mahu mengimport kumpulan K-Pop BTS buat konsert di sini bersempena Tahun Melawat Malaysia 2020.
Dulu, PH kata Rule of Law perlu dijunjung tinggi.
Kini, pendakwaan terpilih galak dilaksanakan oleh Peguam Negara lantikan PH.
Pembangkang dicari sehingga ke lubang cacing manakala pemimpin PH, kroni dan keluarga mereka dibebaskan daripada pertuduhan.
Dulu, PH kata mahu membela nasib orang Melayu Bumiputera.
Kini, DAP secara khususnya mendesak kuota dan keistimewaan Bumiputera dihapuskan.
Dulu, PH kata mereka mahu menegakkan Islam yang sebenar.
Kini, PH atas jenama “Rahmatan Lil Alamin” dan Maqasid boleh pula mengiktiraf kumpulan liberal seperti SIS.
LGBT pula kian lantang bersuara menuntut hak ketika PH berkuasa.
Dulu, PH kata harga barang dan kos sara hidup akan diturunkan.
Kini, rakyat kian terbeban dan hidup susah pula akibat kelemahan PH mentadbir.
Dulu, PH kata hutang negara menimbun tinggi.
Kini, PH pula menambah lagi hutang negara.
Dulu, PH kata ekonomi negara akan diselamatkan.
Kini, ketika PH berkuasa saban hari pasaran saham merudum teruk, pelabur asing semakin ramai yang lari keluar.
Ke mana sebenarnya halatuju Malaysia yang PH mahu bawa?
Kian kelam dan suram nampaknya.
PH sememangnya layak menjadi Kerajaan Sepenggal sahaja.
Cukup-cukup sudah, sampai di sini sahaja.
Oleh Syed Ahmad Fadhli
Pegawai Pusat Penyelidikan PAS
27 April 2019
(Dipetik dari laman Facebook beliau)