SENATOR PATUT DIPECAT: IA PROVOKASI BUKANNYA CADANGAN

471
SHARES
2.6k
VIEWS

Perkara yang dikatakan ‘cadangan’ oleh Senator dari DAP, Nga Hock Cheh yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Perak, bukannya perkara baru. Tetapi wayang yang diulang-ulang berkali-kali dari dahulu lagi. Sedangkan ia telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Di dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan (tidak disebut sebagai ‘agama rasmi’, maksud agama rasmi dengan agama bagi Persekutuan itu, sangat berbeza), seterusnya disambung dalam perlembagaan dengan kata; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

Selain disebut dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan, kedudukan Islam itu sebagai agama rasmi bagi negeri-negeri turut dinyatakan juga dalam Perlembagaan bahawa semua negeri kecuali Sarawak.

Antaranya Johor dalam Perkara 57(1); Kedah dalam Perkara 33A; Kelantan dalam Perkara 5; Melaka dalam Perkara 167 dan Negeri Sembilan dalam Perkara 5. Dan yang pastinya, dalam Perkara 3(1), perkataan agama Islam disebut dengan namanya dan bukan dengan kata nama umum sebagai ‘agama’ sahaja.

Hanya nama agama Islam sahaja yang disebut dengan sejelas-jelasnya, baik sama ada dalam Perlembagaan Persekutuan mahupun dalam Perlembagaan negeri-negeri.

Sehubungan itu kedudukan Islam dalam Perlembagaan yang bertulis tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

Tetapi, kenapa akhir-akhir ini apa-apa sahaja yang berkaitan dengan Islam dan Muslim serba tidak kena, ada sahaja pihak yang mempertikaikannya, kenapa?

Sebelum ini perkataan ‘bangsa’ yang tertera dalam kad pengenalan minta dibuang dengan alasan kononnya berbau rasis, hari ini perkataan ‘Islam’ pula minta supaya dibuang, juga dengan alasan ia bersifat rasis.

Apakah selepas ini mereka akan menuntut supaya nama-nama diri yang berindentitikan Islam seperti Muhammad, Ahmad, Ali, Umar dan seterusnya, juga akan dikatakan rasis, dengan diminta supaya ditukar kepada nama yang tidak rasis seperti John, Bob, Joe, Mick, Kathy, Ogy, Daniel, Rayyan dan seterusnya. Kebodohan apa yang mereka bawa ini?

Apakah tujuan mereka sebenarnya? Satu demi satu provokasi terhadap umat Islam dilakukan, sehinggakan berani campurtangan dalam hal perundangan Mahkamah Syariah.

Sebagai contoh; mereka pernah menyanggah kes sebat terhadap pasangan LGBT di Terengganu tempoh hari dengan menabur fitnah ke seluruh dunia.

Berbagai tohmahan dan tuduhan serta fitnah mereka lakukan dengan mengatakan hukum Islam ini adalah amat kejam, zalim dan tidak berperikemanusiaan. Namun, apabila ditular cara perlaksanaan hukuman itu dijalankan… senyap semuanya.

Sebelum itu, berbagai kata nista mereka lemparkan. Inikah yang dikatakan mereka adalah kumpulan yang paling bertoleransi dan yang paling adil. Hinggakan ada yang mengatakan Islam selamat di bawah pentadbiran mereka, namun realiti adalah sebaliknya.

Perlu diingat juga bahawa pihak yang sengaja mencari publisiti murahan dengan mencadangkan perkara provokasi harus faham, jangan sesekali cuba menyalahgunakan sistem demokrasi yang dilaksanakan di negara ini sehingga menyentuh sensitiviti agama lain.

Justeru, MUAFAKAT berasa amat kecewa dengan provokasi bacul dan merapu dari seorang Senator seolah-olah mahu mencabar Perlembagaan Persekutuan. Adakah mereka tidak membacanya, dan jika baca sekalipun apakah mereka menolaknya… dikatakan demikian kerana kenyataan jumud yang dikeluarkan.

Haji Rashidi Haris

Ketua Media MUAFAKAT

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts