AKTA AMLA DAN SENARAI LUCUTHAK OLEH SPRM: KENAPA UMNO DAN TIDAK PAS?

481
SHARES
936
VIEWS

Oleh Anuar Shaari

1. Langkah kerajaan melalui SPRM memulakan prosiding lucuthak dan menuntut kembali sejumlah wang yang didakwa dari 1MDB tidak mengejutkan. Tindakan ini memang dijangka susulan beberapa akaun UMNO telah dibekukan konon untuk siasatan. Setelah beberapa ketika, tindakan susulan perlu diambil atau perintah pembekuan akaun terpaksa dibatalkan. Apabila pembekuan akaun dibatalkan, bermakna UMNO akan mendapat kembali wang tersebut. Tentunya ini tidak akan dibiarkan berlaku.

2. Persoalan pokok dalam isu ini, mengapa PAS yang disebut-sebut menerima RM90 juta dari UMNO (wang 1MDB), tiada dalam senarai SPRM? Perkara ini menarik perhatian banyak pihak. Ini berlaku di saat kerjasama UMNO-PAS menuju puncak dengan penerimaan kerjasama ini di Muktamar Agung PAS. Apakah ada tangan-tangan ghaib di sebalik tindakan ini yang cuba memecah-belahkan proses kerjasama UMNO-PAS? Jika ada, tentunya pihak yang paling terkesan dari kerjasama ini ialah Pakatan Harapan.

3. PPBM tentunya akan terkesan kerana selama setahun lebih selepas PRU ke-14, dilihat gagal membela membela nasib Melayu dan Islam di bumi sendiri. PKR apatah lagi, dengan idea-idea liberal dalam isu Islam dan Melayu. PKR dilihat akan menjahanamkan Melayu-Islam jika terus disokong. DAP memang jauh sekali mahu membela nasib umat Melayu Islam di negara ini. Bahkan DAP dilihat sangat anti Melayu-Islam kerana sering mempertikaikan hak-hak Melayu-Islam di dalam negara.

4. DAP tetap berpegang dengan prinsip ‘Malaysian Malaysia’ yang dilihat mengganggu gugat hak-hak Melayu-Islam-Bumiputera dalam negara serta tidak menepati kontrak sosial yang telah dipersetujui dahulu. Parti AMANAH pula dilihat tidak lebih dari parti pengampu DAP dan PPBM. Lebih teruk lagi, AMANAH dilihat menjadi ‘alat DAP’ dalam menjahanamkan dasar-dasar afirmatif yang melindungi hak-hak orang Melayu-Islam-Bumiputera di dalam negara.

5. Oleh itu, umum melihat kerjasama UMNO-PAS adalah pilihan terbaik PRU akan datang untuk mengembalikan kuasa Melayu-Islam-Bumiputera. Tentunya kerjasama ini adalah ancaman terbesar buat Pakatan Harapan untuk terus berkuasa selepas PRU ke-15 nanti. Maka itu, kerjasama UMNO-PAS perlu dihalang. Menghalangnya secara langsung akan mengakibatkan PH semakin jauh dari pengundi Melayu-Islam. Jalan terbaik adalah memecahkan kerjasama ini dari dalam. Maka diciptalah pelbagai isu dan kontroversi bagi menghilangkan tumpuan ahli dan mencipta prejudis di kalangan ahli UMNO dan PAS.

6. Bagi PH, kerjasama peringkat bawahan yang ditunjukkan oleh jentera UMNO dan PAS semasa PRK Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau harus dipecahkan. Kerjasama dan perpaduan peringkat bawah dan pertengahan inilah yang mencipta kemenangan (pastinya dengan izin Allah). Sebatang pokok jika akar tunjang kuat, pokok akan tetap teguh biarpun sekuat mana ribut yang melanda. Akan tetapi jika tunjang pokok tidak kuat, pokok mudah tumbang dan kayu pokok yang tumbang pula akan digunakan untuk menumbangkan pokok yang lain.

7. Dalam menghadapi isu ini, ahli UMNO dan PAS perlu kekal fokus dengan gerak kerja perpaduan serta tidak hilang fokus. Isu lucuthak sengaja dicipta bagi menimbulkan prejudis antara ahli UMNO dan PAS. Jangan nanti ada yang bertanya “kenapa aku kena dan engkau tidak?”.

Cabaran kerjasama UMNO-PAS adalah untuk memahamkan ahli dan jentera pilihan raya. Cabaran ini berjaya dipecahkan dengan semangat ukhuwah antara ahli serta kunjung-mengunjung dalam suasana lebaran ini. Malahan ada jentera UMNO dan PAS menganjurkan majlis rumah terbuka secara bersama, sesuatu yang tidak pernah berlaku zaman dahulu. Gerak kerja peringkat ini adalah kunci kejayaan kerjasama UMNO-PAS.

8. Maka itu, istiqamahlah dengan kerjasama ini. Abaikanlah isu-isu busuk yang dicipta bagi menghancurkan kerjasama murni ini.

Bulat air kerana pembetung, bulat masyarakat kerana muafakat….

Dipetik dari laman blog beliau “Anuar Shaari Menulis…”

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts