WAJIB PATUH NASIHAT KERAJAAN, CEGAH PENULARAN COVID-19

286
SHARES
787
VIEWS

Berikutan nasihat Perdana Menteri Malaysia YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin dan juga saranan Kementerian Kesihatan di bawah Menteri Kesihatan yang baru, Dato’ Sri Dr. Adham Baba, adalah bertujuan untuk mencegah penularan wabak Covid-19 ke seluruh negara.

2. Semua yang dilakukan oleh kerajaan adalah berdasarkan kepada laporan kesihatan yang pesat mengenai kepantasan penularan wabak virus Covid-19 yang kini menjadi ‘pandemik’ di seluruh dunia, juga dengan kekerapan kajian perubatan mengenai bahaya virus itu yang dikatakan amat pantas tersebar dan mudah berjangkit, manakala mereka yang dijangkiti tidak mudah dikesan dan sedar bahawa mereka sedang dijangkiti, maka dengan itu menjadi ejen sebaran virus untuk disebarkan kepada yang lain. Kini sudah meningkat kepada 700 kes lebih.

3. Bagi mengatasi penyebaran wabak ini dengan berkesan, kerajaan mengambil langkah segera dengan mengeluarkan beberapa garis panduan bagi mengatasi keadaan yang semakin berbahaya, dan salah satu Maqasid Syarak (tujuan pensyariatan) yang paling utama adalah memelihara jiwa dari sebarang bahaya dan kerosakan.

4. Sebagaimana yang Kementerian sarankan antaranya, mereka yang mengidap penyakit serta warga emas, diwajibkan agar menetap di kediaman masing-masing dan mematuhi segala prosedur penjagaan yang telah ditetapkan. Ini wajib bagi tujuan pencegahan, melanggar syarat ini boleh dikenakan hukuman, sebab tujuan hendak menyelamatkan daripada bencana yang lebih besar.

5. Perintah Kawalan Pergerakan harus diambil serius oleh orang ramai khususnya ummat Islam, berdalilkan kepada hadis berikut:

Terjemahannya: Dari Amir bin Sa’ad bin Abi Waqqas, dari bapanya R.A, bahawa Amir mendengar bapanya (Sa’ad bin Abi Waqqas) bertanya kepada Usamah bin Zaid, katanya: “Apa yang engkau dengar dari Rasulullah SAW tentang penyakit taun?” Jawab Usamah, “Rasulullah SAW bersabda: Taun adalah semacam azab (siksaan) yang diturunkan Allah kepada Bani Israil atau kepada umat yang sebelum kamu. Maka apabila kamu, mendengar penyakit taun berjangkit di suatu negeri, janganlah kamu masuk ke negeri itu. Dan apabila penyakit itu berjangkit di negeri tempat kamu berada, janganlah kamu keluar dari negeri itu untuk melarikan diri daripadanya.”
(Hadith sahih Muslim no.2074)

6. Seterusnya kita harus bersabar atas arahan Perintah Kawalan Pergerakan dengan berpegang kepada dalil hadis berikut:

Terjemahannya: Aisyah bertanya Rasulullah saw mengenai taun, lalu dikhabarkan kepadanya oleh Baginda SAW: “Bahawa ia adalah suatu azab yang diutuskan Allah ke atas sesiapa yang dikehendaki-Nya. Lalu dijadikannya oleh Allah sebagai rahmat untuk orang Mukminin. Maka tidaklah seorang hamba itu ditimpa taun lalu dia duduk menetap di negerinya dengan sabar, dan dia tahu bahawa tidak akan ada yang menimpanya kecuali apa yang telah dituliskan oleh Allah kepadanya, melainkan baginya seumpama pahala mati syahid.”

7. Bersandarkan kepada hadis-hadis di atas, MUAFAKAT menyeru kepada orang ramai agar mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan sebaiknya dan terlebih baik lagi jika dikeluarkan arahan kuarantin agar wabak ini dapat dikawal sepenuhnya sebagaimana yang Rasulullah SAW ajar apabila berdepan dengan wabak penyakit yang berbahaya yang pantas menular.

8. Dan keduanya, MUAFAKAT meminta khususnya kepada umat Islam supaya sentiasa mengekalkan diri dalam keadaan berwuduk dan melakukannya dengan sempurna, sebagaimana ada hadis Rasulullah SAW menyarankan supaya mengambil wuduk sebelum masuk tidur.

Barra’ bin Azib R.A mengatakan bahawa Nabi SAW bersabda kepadanya: “Apabila engkau hendak tidur, berwuduk terlebih dahulu seperti wuduk untuk solat. Sesudah itu berbaring ke kanan, dan bacalah: “Ya, Allah! Aku menyerahkan diri ku kepada Engkau, aku serahkan segala urusan-ku kepada Engkau, aku berlindung diri-ku kepada Engkau dengan pengharapan (beroleh kebaikan) dan takut (mendapat siksa); tidak ada tempat berlindung dan tempat mencari keselamatan, melainkan kepada Engkau. Ya, Allah! Aku percaya dengan Kitab yang Engkau turunkan dan kepada Nabi yang Engkau utuskan.” Dan kalau kamu mati malam itu, maka kamu mati dalam Islam. Dan jadikanlah doa itu sebagai akhir pembicaraan-mu (tidak berkata-kata lagi sesudah itu).
(Hadith sahih Bukhari no.0163)

9. Dua amalan di atas adalah baik diamalkan oleh setiap Muslim dan diharapkan seluruh rakyat memberikan sokongan dan kerjasama kepada kerajaan bagi mengatasi wabak ini dan umat Islam diminta memperbanyakkan amal-amal soleh dan kebajikan supaya Allah SWT mengangkat bala ini seluruhnya demi menjaga negara kita khususnya dan manusia seluruhnya dari wabak ini, juga memelihara kita semua dari semua bala bencana.

10. Sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik tempat memohon dan seagung-agung tempat kita meletakkan harapan.

فَاللَّهُ خَيْرٌ حَافِظًا وَهُوَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ

Haji Rashidi bin Haris

Ketua Media MUAFAKAT

Facebook
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts