Keperluan utama manusia di muka bumi ini jika berlakunya sesuatu konflik seperti wabak pandemik ataupun peperangan dan kebuluran, tentunya perkara asas seperti makanan dan minuman serta ubat-buatan akan diutamakan. Kerana itu jika berlakunya ‘pembelian panik’ maka keperluan ini yang akan dicari, direbut-rebut dan akan habis terlebih dahulu.
Manusia tidak akan berpusu-pusu dan berebut-rebut membeli arak. Walaupun di negara bukan Islam sekalipun, arak tidak akan diutamakan untuk dibeli terlebih dahulu. Pemabuk tegar juga akan berebut-rebut membeli keperluan penting dan kritikal buat keluarganya di rumah dan akan melupakan araknya buat seketika.
Justeru itu jika benar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) meluluskan permohonan Heineken Malaysia Berhad untuk beroperasi membekalkan arak, maka di manakah rasionalnya?
Rujuk: https://m.malaysiakini.com/news/518950
Adakah arak telah diklasifikasikan oleh kerajaan sebagai “perkhidmatan perlu dan kritikal” di mana tanpa arak maka kehidupan seluruh rakyat Malaysia akan terjejas? Tanpa arak maka rakyat akan terganggu kehidupan mereka dan tidak mampu menguruskan kehidupan keluarga di rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan?
Surat memberi kebenaran beroperasi tersebut ditandatangani oleh Ketua Setiausaha (KSU) KPDNHEP iaitu Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam Hj. Ahmad yang ditujukan kepada Pengurus Besar Heineken dan disahkan tulen oleh pihak Heineken sendiri.
Tidak mungkin KSU meluluskannya tanpa merujuk kepada Menteri KPDNHEP terlebih dahulu, dan jika benar seperti dilaporkan, justeru ia semakin menimbulkan persoalan.
Ini kerana sebelum ini Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang juga di bawah menteri yang sama iaitu Datuk Alexandar Nanta Linggi telah menghentikan operasi kaunter SSM termasuk perkhidmatan online yang amat penting ketika PKP, yang telah menyusahkan banyak pihak kerana telah dihentikan.
Kenapa Menteri KPDNHEP yang diberi tanggungjawab oleh Perdana Menteri untuk berkhidmat kepada rakyat dan pengguna ini seolah-olah tidak tahu mana yang baik dan mana yang buruk untuk rakyatnya sendiri ketika PKP dilaksanakan?
Perkara baik seperti perkhidmatan online yang amat diperlukan ketika PKP ini dihentikan sebaliknya arak yang tidak baik untuk rakyat pula dibenarkan beroperasi.
Sangat tidak wajar di saat-saat getir ketika seluruh negara bertungkus-lumus menangani krisis pandemik Covid-19, kepentingan syarikat arak lebih diutamakan dan keperluan rakyat pula diketepikan.
Di mana rasionalnya wahai Menteri KPDNHEP?
Tolonglah fahami dan utamakan kepentingan rakyat.