Menerusi ciapan (tweet) Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa di laman Twitter-nya tengahari tadi, beliau memaklumkan bahawa kerajaan sudah membatalkan kebenaran yang diberikan kepada sebuah syarikat minuman keras iaitu Heineken Malaysia Berhad untuk beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurut beliau, keputusan membatalkan kebenaran tersebut dibuat pada pagi ini kerana didapati tidak selari dengan dasar yang ditetapkan kerajaan.
Selain itu Datuk Seri Ismail Sabri juga turut mengumumkan pembatalan serta merta pengecualian terhadap pengilang arak semasa PKP dilaksanakan lantaran dari kecaman dan kritikan pelbagai pihak terutamanya pertubuhan dan NGO Islam termasuk parti UMNO dan PAS serta ARMADA.
Sebelum ini pada 20 Februari, beberapa hari sebelum Tun Dr. Mahathir Mohamad mengambil tindakan di luar jangkaan semua pihak dengan menumbangkan kerajaannya sendiri, satu notis tuntutan cukai jualan dan penalti berjumlah RM22.16 juta yang dikeluarkan oleh Kastam Malaysia kepada Heineken (M) Bhd dan Carlsberg Brewery Malaysia berjumlah RM20.65 juta telah dibatalkan.
Justeru diharapkan syarikat arak di negara ini tidak lagi ‘dimanjakan’ seperti dikecualikan cukai dan dibenarkan beroperasi ketika PKP dilaksanakan.
Selain memberi tanggapan negatif, tindakan seperti ini dilihat seumpama amalan Pakatan Harapan suatu ketika dahulu yang selalu mengumumkan sesuatu perkara dan kemudiannya membuat ‘u-turn‘ membatalkannya setelah dikecam.
Tidak kisah di mana kesilapan sama ada di pihak Menteri atau kementerian yang meluluskan ataupun penjawat awam yang melaksanakan arahan, asalkan kerajaan tidak mengulangi kesilapan Pakatan Harapan sebelum ini.
Juga diharapkan kerajaan benar-benar berusaha memartabatkan kedudukan agama dan bangsa serta seluruh rakyatnya seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.