13 OKTOBER: ANWAR ATAU MAJORITI YANG MENIPU?

669
SHARES
3.9k
VIEWS

SURAT PEMBACA | Semakin ramai Ahli Parlimen terlibat dalam perang psikologi dan persepsi yang dicipta oleh Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendambakan jawatan Perdana Menteri sejak sekian lama.

Untuk kesekian kalinya Anwar masih konsisten mencari dan mencuba pelbagai peluang yang ada untuk menjadi Perdana Menteri.

Di sebalik semua kejian, kutukan dan sindiran terhadapnya, Anwar sepatutnya dipuji di atas konsistensi beliau ingin menjadi Perdana Menteri yang tidak pernah mengendur sejak dahulu.

Nama beliau juga telah tercatat dalam sejarah politik negara sebagai bakal Perdana Menteri terlama yang boleh beliau banggakan. 

Bermula dengan cara ‘koboi’, berarak di jalanan, dipukul, ditumbuk, ditendang sehingga dilokap namun penyokong-penyokongnya tetap tegar mempertahankan beliau di jalanan sehinggalah parti PKR ditubuhkan.

Parti DAP pula yang sudah ‘nyawa-nyawa ikan’ ketika itu mula nampak jalan keluar dan peluang untuk bersama menyokong Anwar dan ternyata strategi itu berjaya dan semakin kuat sehingga ke hari ini.

PAS yang gagal menjatuhkan Barisan Nasional pimpinan Tun Mahathir ketika itu turut serta bersama Anwar dan DAP dalam Pakatan Rakyat.

PAS kemudiannya keluar namun DAP masih berterusan bersama Anwar. DAP kekal setia bersamanya sehingga Tun Mahathir bersama Bersatu pula muncul menyertai Anwar dan DAP membentuk Pakatan Harapan.

Kesimpulannya, di mana sahaja ada Anwar, di situ ada DAP. 

Oleh kerana itu DAP akan terhutang budi kepada Anwar sampai bila-bila dan jika nampak perbalahan antara mereka itu cuma ‘wayang politik’ sahaja. DAP tidak mungkin meninggalkan Anwar dan Anwar juga tidak mungkin akan meninggalkan DAP.

Tarikh 13 Oktober pada hari Selasa hadapan ini akan menentukan sama ada jumlah Ahli Parlimen yang didakwanya hampir dua pertiga ini hanya satu pembohongan ataupun benar-benar beliau mempunyai sokongan.

Jika kegagalan 16 September 2008 lepas tidak melibatkan Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong, justeru kali ini Anwar berani melibatkan pihak istana seolah-olah “ini kalilah”.

Cuma siapakah yang menyokongnya antara 221 Ahli Parlimen yang ada masih tidak dapat dipastikan kerana semakin ramai yang membuat laporan polis apabila gambar masing-masing keluar sebagai antara anggota kabinet yang dilantik.

Mungkin gambar tersebut terlalu cepat dikeluarkan dengan tujuan untuk menimbulkan kegemparan tetapi strategi ini memakan diri apabila semakin ramai menafikannya – yang membuatkan dakwaan Anwar mempunyai majoriti semakin tidak kredibel. 

Di sebalik persoalan siapa di antara 221 Ahli Parlimen yang menyokongnya, ia tidak mampu diselesaikan melalui kiraan campur tolak tambah bahagi biasa melainkan melalui penaakulan mantik.

Premis 1: Anwar kata ada sokongan majoriti

Premis 2: Majoriti kata Anwar tiada sokongan

Kesimpulan: Anwar atau majoriti menipu

Justeru semua wajib tunggu Selasa depan, 13 hari bulan!

Oleh Azizul Roslan

Kota Raja

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts