PEMBELA SAMBUT BAIK INISIATIF GARIS PANDUAN PENJUALAN ARAK DBKL, NAMUN MENUNTUT PENJELASAN LANJUT

95
SHARES
305
VIEWS

KENYATAAN MEDIA

23 November 2020

Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) pada umumnya menyokong segala usaha ke arah negara bebas arak untuk kesejahteraan seluruh masyarakat Malaysia selari dengan tuntutan-tuntutan syarak terutamanya dalam konteks Malaysia sebagai negara Islam.

PEMBELA pada asalnya gembira dengan pengumuman ‘pengharaman arak’ di kedai-kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai-kedai ubat-ubatan Cina oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berdasarkan kenyataan DBKL mengenai penambahbaikan Garis Panduan Permohonan Lesen Minuman Keras dan seperti yang dilaporkan juga oleh media-media arus perdana pada 15 November 2020 yang lalu.

Namun, merujuk kepada laporan media (Sinar Harian) pada 21 November 2020 yang bertajuk ‘Bir dibenarkan dijual di kedai runcit, serbaneka’ di mana Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menyatakan bir tidak tersenarai minuman keras yang memabukkan dan masih dibenarkan dijual di kedai runcit serta serbaneka adalah sesuatu yang mengejutkan.

Malah, ini telah menimbulkan kekekecewaan dan kekesalan dalam kalangan rakyat terutamanya penduduk Kuala Lumpur yang pada asalnya gembira dengan pengumuman DBKL pada 15 November 2020 itu.

PEMBELA menuntut agar pihak DBKL memberikan penjelasan lanjut tentang kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan itu dan pada masa yang sama perlu tegas menguatkuasakan pengharaman arak secara menyeluruh iaitu meliputi bir juga kerana bir termasuk dalam kategori arak. Jika tidak, maka mengumumkan bahawa ‘DBKL telah mengharamkan arak’ adalah sesuatu yang mengelirukan (misleading) sekaligus akan mencalarkan integriti dan kredibiliti DBKL.

Pengharaman penjualan segala jenis arak di tempat umum seperti kedai runcit dan serbaneka adalah selari dengan hukum-hukum syarak seperti yang terkandung dalam Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, Akta 559, Seksyen 19.

Maka, adalah sangat berpatutan dan mempunyai asas yang kuat untuk DBKL dan Kementerian Wilayah Persekutuan bertindak mengikut akta yang ada ini terutamanya dalam menetapkan apa-apa polisi termasuk dalam konteks penjualan arak ini.

Akhir sekali, PEMBELA mengajak NGO-NGO, parti-parti politik dan seluruh rakyat Malaysia menyokong inisiatif ini supaya usaha pengharaman penjualan arak di tempat-tempat awam dapat direalisasikan sekaligus menuju sebuah negara yang sejahtera, sihat dan selamat tanpa arak.

Aminuddin Yahaya

Pengerusi PEMBELA

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts