SEJARAH PEMIKIRAN BARAT MODEN – DR WAN ADLI WAN RAMLI

484
SHARES
1.6k
VIEWS

Persoalan Islam dan Barat (Islam and the West) adalah persoalan besar. Islam yang dimaksudkan dalam persoalan ini adalah sebuah agama, yang juga membentuk sebuah peradaban dan pemikiran tersendiri serta segala yang terkandung dalamnya. Tetapi Barat yang dimaksudkan itu bukanlah agama.

Barat adalah sebuah peradaban yang wujud pada masa kini bersama-sama dengan beberapa peradaban lain. Secara umumnya, diakui bahawa ada lima peradaban utama pada masa kini, iaitu peradaban Islam, Barat, China, Jepun dan India. Di samping lima peradaban utama ini, perlu diambil kira peradaban Rusia Ortodok, Amerika Latin dan Afrika.

Walau bagaimanapun, ketiga-tiganya mempunyai hubungan yang rapat dengan asal-usul peradaban Barat. Afrika contohnya, tidak mempunyai asas peradaban sendiri yang asli. Bahagian utara Afrika adalah di bawah peradaban Islam. Kebanyakan kawasan lain pula di bawah pengaruh imperialisme Barat, khususnya Afrika Selatan.

Ethiopia sahaja yang boleh dianggap suatu peradaban yang tersendiri pada zaman silam. Keseluruhannya, di seluruh Afrika, semangat berpuak-puak dan permusuhan antara suku kaum adalah sangat kuat.

Peradaban Barat muncul sekitar tahun-tahun abad ke 8-9M. Unsur utama peradaban Barat ketika itu adalah agama Kristian. Ketika itu, ia dinamakan Christendom. Walau bagaimanapun, peradaban Rusia Ortodok telah berkembang menjadi peradaban tersendiri.

Hal ini disebabkan beberapa faktor, antaranya pegangan kepada agama Kristian mazhab Ortodok, beribukan peradaban Byzantine silam, pendedahan yang kurang terhadap Renaissance, Reformation, Revolution dan Enlightenment, serta pengaruh Marxisme, komunisme dan sosialisme.

Selain itu, tiga komponen-komponen utama peradaban Barat adalah Eropah, Amerika Utara dan Amerika Latin. Amerika Latin khususnya, telah berkembang menjadi suatu peradaban tersendiri. Hal ini disebabkan beberapa faktor, antaranya pegangan kepada agama Kristian mazhab Katolik, gabungan budaya masyarakat asli dengan budaya imperial dan bentuk pembangunan politik dan ekonomi yang berbeza.

Sedangkan di Eropah dan Amerika Utara, agama Kristian mazhab Protestan amat kuat, manakala budaya masyarakat asli dihapuskan. Di kalangan masyarakatnya sendiri berbeza pendapat sama ada ia termasuk dalam peradaban Barat atau tidak.

Dalam konteks hubungan Islam dan Barat, Amerika Latin boleh dianggap sebagai suatu peradaban tersendiri. Hal ini disebabkan umat Islam amat jarang berhubungan sama ada dalam bentuk positif atau negatif dengan masyarakat Amerika Latin, berbanding dan berbeza dengan hubungan umat Islam dengan masyarakat Amerika Utara dan Eropah.

Hubungan antara dua komponen utama peradaban Barat juga berubah-ubah. Malah suatu ketika dahulu, Amerika Syarikat dianggap sebagai suatu peradaban baru yang tersendiri. Hal ini disebabkan beberapa faktor, antaranya Amerika Syarikat sering menggambarkan masyarakatnya dalam bentuk yang bertentangan dengan masyarakat Eropah. Amerika Syarikat digambarkan sebagai bumi kebebasan, persamaan, peluang dan masa depan.

Walau bagaimanapun, sikap ini berubah apabila Amerika Syarikat mula berhubungan dengan dunia luar secara lebih kerap. Kini, Amerika Syarikat dianggap sebagai ketua dalam peradaban Barat, selain negara-negara lain yang besar seperti Perancis, Jerman, Britain, Sepanyol, Itali dan lain-lain. Selain itu peradaban Barat termasuk juga Australia dan New Zealand yang ditemui, dibangunkan dan ditadbir oleh masyarakat dari Eropah.

Konsepsi Barat dari sudut geografi di atas, tidaklah menafikan Islam yang ada dalam peradaban Barat moden. Banyak orang berbangsa Amerika, Inggeris, Perancis, Jerman atau Itali yang merupakan orang Islam. Begitu juga sebaliknya, ada orang berbangsa Arab, Parsi, Turki atau Melayu yang menjadi Kristian malah atheis.

Dari suatu sudut yang lain pula, adalah tidak dinafikan bahawa unsur Barat dan kebaratan ada di mana-mana tempat dan bila-bila masa sahaja. Diakui bahawa dalam persoalan Islam dan Barat ini, bukanlah segala yang Islam itu bukan dan tidak Barat, dan begitu juga sebaliknya, bukanlah segala yang Barat itu bukan dan tidak Islam. Islam bukanlah Timur atau Barat, tetapi Islam adalah agama Allah SWT yang benar sama ada di Barat atau di Timur.

Pemahaman Barat secara geografi semata-mata tidak bernilai tanpa memahami dasar-dasar pemikiran yang membina peradaban dan kebudayaannya. Sebab, apa yang mencabar pemikiran Islam adalah pemikiran Barat moden, bukan geografi buminya. Pemikiran itulah yang menyelinap masuk ke bumi-bumi dan peradaban lain termasuk di kalangan umat Islam.

Kewujudan pemikiran Barat moden adalah berdasarkan kepada suatu dasar tunjang utama iaitu falsafah humanisme. Di sini, ada dua perkara penting yang mesti difahami.

Pertama, pemikiran itu adalah pemikiran kefalsafahan, dan kedua, falsafah tersebut adalah falsafah humanisme, yang menjelmakan pelbagai falsafah lain serta mengakibatkan pelbagai kesan lain yang berikutan daripadanya. Untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas, elok diketahui dahulu sejarah falsafah Barat secara umum.

(Bersambung)

Dr Wan Adli Wan Ramli

Presiden, Pertubuhan Muafakat

Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT)

Facebook
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts