GPMS SOKONG AGENDA PENYATUAN BANGSA

348
SHARES
2k
VIEWS

KENYATAAN MEDIA GPMS

11 Disember 2020

Agenda penyatuan bangsa merupakan antara tunjang perjuangan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) sedari awal penubuhannya. Agenda ini telah sekali lagi ditekankan dalam Ucapan Dasar Presiden ketika Persidangan Agung Tahunan GPMS kali ke-66 baru-baru ini dan telah disokong sebulat suara oleh para perwakilan yang hadir.

Perjuangan keramat GPMS mengangkat martabat bangsa melalui pendidikan perlu terus disokong oleh kesatuan bangsa itu sendiri. Sejarah telah membuktikan dengan kesatuan, dasar dan polisi yang menguntungkan bangsa mampu dirangka dan dilaksana.

Dasar Ekonomi Baru (DEB), contohnya, telah meningkatkan status ekonomi bangsa Melayu dan Bumiputera dengan ketara. Misalnya, peratusan pemilikan ekuiti meningkat daripada hanya 2.4 peratus pada 1970 kepada 21.9 peratus pada 2008. Dasar-dasar afirmatif berkaitan pendidikan juga turut dapat dirangka dan dilaksanakan dengan jayanya sehingga berlaku peningkatan ketara dalam nombor-nombor ekonomi lain seperti perwakilan dalam profesion terpilih.

GPMS percaya agenda memartabatkan bangsa Melayu dan Bumiputera seiring peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan perlulah terus dilaksanakan. GPMS yakin dan percaya kerajaan pimpinan YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil berat akan perkara ini dan telahpun mempunyai perancangan jelas yang disusun rapi dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Hari ini kita dapat lihat ada sinar penyatuan antara parti-parti politik Melayu dan Bumiputera terbesar di negara kita. Dato’ Seri Hamzah Zainudin menerusi kenyataan medianya hari ini menyeru agar diwujudkan satu gagasan besar secara rasmi bagi melambangkan kesatuan tiga gabungan parti besar yang membentuk Kerajaan Perikatan Nasional iaitu Perikatan Nasional, Barisan Nasional dan Gabungan Parti Sarawak.

Kendatipun memegang pendirian non-partisan, atas kesedaran peri penting kesatuan kepada pendidikan bangsa, GPMS berpendapat bahawa gagasan ini merupakan langkah yang sangat rasional dan mampu mencapai bukan sahaja kesatuan bangsa Melayu dan Bumiputera, malah seluruh rakyat Malaysia. Sesungguhnya bangsa Melayu dan Bumiputera merupakan bangsa induk di Malaysia bumi bertuah ini. Sekiranya ia stabil, maka negara tercinta ini pasti mencapai kestabilan dan sekalian rakyat pasti mendapat manfaat.

GPMS menyeru agar sekalian pemimpin meletakkan kepentingan bangsa dan negara jauh lebih tinggi daripada segala kepentingan politik kepartian. Sulamlah sebarang perbezaan menjadi ikatan yang kuat demi bangsa dan negara.

Semoga dengan kesatuan yang terbina ini, agenda pemerkasaan pendidikan bangsa akan dapat terus dilaksana. Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.

Bulatkanlah tekad penyatuan, rapatkanlah barisan perjuangan dan ikatlah tali-tali persefahaman untuk kita sama-sama mengangkat martabat bangsa dan negara tercinta.

Belajar terus belajar.

Salam hormat. 

Mohd Alif Anas Hj Md Noor

Presiden

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts