KENYATAAN MEDIA KETUA PERGERAKAN WIRA PUTRA MALAYSIA
22 Januari 2021 | 9 Jamadilakhir 1442H
1. Wira PUTRA terkejut membaca artikel meminta Pensyarah dari UiTM berundur hanya kerana membuat lawatan ke ibu pejabat parti politik pembangkang.
Rujuk pautan;
https://m.malaysiakini.com/news/559884
Wira PUTRA berpandangan ini antara punca kenapa mutu dan kualiti pensyarah dan mahasiswa menjadi terhad, terkongkong kerana tidak mendapat kebebasan akademik dan kebebasan mengasah minda supaya menjadi kritikal dan berani, yang sewajarnya bagi memastikan kebenaran dan kualiti pendidikan tinggi negara ke arah melahirkan pemimpin dan rakyat yang berintegriti.
2. Mahasiswa adalah pemimpin masa depan rakyat dan negara. Cuba lihat sejarah ITM di awal tahun 1970-an sehingga 1975. Graduan masa ini cukup hebat dan ramai yang berjaya dalam pelbagai bidang. Contohnya Tan Sri Profesor Ibrahim Abu Shah, Tan Sri Profesor Ir. Dr. Sahol Hamid, Tan Sri Salleh Sulong, Tan Sri Hamad Kamal Piah, Dato Zain Mohamad, Dato Zaid Ibrahim dan beratus lagi menjadi pemimpin tersohor serta beribu yang berjaya segenap industri.
3. Begitu juga di zaman Presiden PUTRA Dato Paduka Dr Ibrahim Ali menjadi Presiden Kesatuan Siswa ITM (KSITM). Speaker Corner diizinkan malah tunjuk perasaan juga tidak sunyi dengan pelbagai isu rakyat.
Tidak ada tapisan di mana kesatuan siswa bebas menjemput siapa sahaja ke kampus untuk forum dan berpidato. Inilah contoh sikap keterbukaan Tun Arshad Ayub yang menjadi Pengarah ITM ketika itu. Masa inilah Presiden PUTRA mengasah jati diri sebagai seorang pemimpin yang cekal, tegas dan lulus tahun akhir dengan cemerlang walaupun dalam tahanan di Kem Kemunting.
4. Namun, selepas tahun 1975, Tun Arshad Ayub dipindah, pengarah baru dilantik, akta dipinda dan siswa mula dikongkong. Maka lahir ramai siswazah yang bersifat “inferior complex” atau rendah diri, kaku dan berminda sehala. UiTM sepatutnya melahirkan siswazah berjati diri, cekal, berani selain berilmu. Ia demi kelangsungan memperkasa jiwa patriotisme anak bangsa
5. Sebagai contoh rakyat Malaysia sebelum ini ramai yang membuat lawatan ke negara China yang seluruh dunia tahu ia mengamal sistem komunisme dan ada yang bertemu kepimpinan parti dan sebagainya tidak pula balik ke Malaysia menjadi komunis. Perdana Menteri Malaysia sebelum ini juga menjalin hubungan dan berpeluk dengan Perdana Menteri China dalam lawatannya, adakah beliau sudah jadi komunis hanya dengan satu lawatan?
6. Begitu juga pemimpin politik Melayu, sebelum ini dari PKR bersama DAP, PAS pernah bersama DAP, Bersatu pernah bersama DAP, dan terbaru ura-ura UMNO juga ada hendak jalin hubungan dengan DAP. Adakah ini bermaksud mereka juga sudah menjadi komunis? Adakah tidak salah perbuatan pemimpin-pemimpin Melayu tersebut? Cuma salahnya ada yang hipokrit dan mengamal “matalamat menghalalkan cara”. Mereka banyak yang berpura pura tetapi apabila tiba pada pensyarah dan mahasiswa, pelbagai tindakan dan halangan. Ini yang membuatkan golongan muda meluap dengan sifat hipokrit pemimpin.
7. Jangan hal sedemikian mengehadkan pensyarah dan mahasiswa untuk berkarya dan berinovasi. Cuma mereka perlu ada ketegasan dan bijak untuk kekal bebas dan tidak ada sikap memihak atau berat sebelah dalam membuat penyelidikan.
8. Perkara pokok adalah niat lawatan. Belum apa-apa sudah riuh rendah hingga menamatkan khidmat atau memberi hukuman sewenangnya, ini akan menyebabkan golongan muda lari dari mendekati parti Melayu yang masih lagi berfikiran dangkal seperti katak di bawah tempurung.
9. Namun, perlu berpegang kepada prinsip “matlamat tidak menghalalkan cara”. Sebagai contoh UiTM itu sendiri berdiri atas perjuangan memperkasakan pendidikan bagi kaum Bumiputera, jika ia dilaksanakan atas tujuan akademik ia tidak sepatutnya menjadi masalah. Asalkan ia tidak melibatkan dakyah atau doktrin kepartian kepada pensyarah dan mahasiswa.
10. Seperti pernah diungkap oleh Sun Tzu, “Jika anda mengenali musuh dan diri anda, anda tidak perlu takut dengan keputusan ratusan perang yang akan ditempuhi”. Dunia sudah berubah. Politik lawanlah dengan cara politik. Lawanlah secara matang dan berhemah. Jangan guna cara menindas.
11. Justeru, Wira PUTRA gesa UiTM beri penjelasan tentang khabar yang tular. WIRA PUTRA menegaskan tidak wajar apa-apa tindakan diambil dan hormatilah kebebasan akademik, kebebasan mahasiswa dan hak kebebasan rakyat yang dijamin setakat hak masing-masing dalam Perlembagaan Negara. Cukuplah semasa zaman pemerintahan sebelum ini pengamal akademik terikat dan tertindas dengan sifat kepartian kerajaan.
Sekian.
Nasrul Ali Hasan Abdul Latif
Ketua Pergerakan Wira PUTRA Malaysia