Oleh Abdul Rahim Hilmi Zakariya
Kerajaan ini kalau mahu kekal, mesti tahu bagaimana hendak menangani kritikan. Sekiranya kritikan itu benar, maka segerakan pelaksanaannya. Sekiranya kritikan itu salah, maka perlu dibawa alternatif yang lebih baik.
Politik hari ini bukan lagi macam zaman dahulu yang mana semua kritikan pihak lain boleh dibuang sewenang-wenangnya.
Jangan bimbang melaksanakan idea pihak lain jika ia betul. Sebagai contohnya idea BR1M asalnya adalah berdasarkan sebuah kertas kerja daripada Bank Negara pada 2011. Tapi sebab Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ini terbuka menerima idea orang lain, maka akhirnya ia dilaksana dan memberi impak besar kepada ekonomi rakyat.
BR1M kemudiannya menjadi salah satu legasi beliau yang diingati semua.
Sama juga seperti idea moratorium automatik dan pengeluaran KWSP tanpa syarat pada PKP tahun lepas. Idea itu antara yang terawal dikeluarkan oleh DS Najib. Tetapi apabila kerajaan laksanakan, manfaat politiknya kerajaan semasalah yang dapat.
Sehingga akhirnya approval rating Tan Sri Muhyiddin Yassin mencecah 67 peratus pada Julai 2020.
Profesor Samuel Huntington, yang dianggap sebagai “Bapa Sains Politik Moden” mengatakan bahawa untuk demokrasi menjadi matang, sesebuah negara itu mesti melalui “two turnover test” atau dua kali peralihan kerajaan secara aman.
Apabila kematangan demokrasi berlaku, maka rakyat sudah tidak lagi takut mengubah parti yang memerintah. Mana-mana parti yang tidak mendengar keluhan rakyat, tidak peduli kesusahan masyarakat, buta dan pekak pada kehendak umat, maka mereka akan dibuang begitu sahaja oleh pengundi.
Inilah keadaan yang sedang kita alami hari ini. Keadaan di mana rakyat sudah tidak terikat dengan ‘romantisme’ pemimpin dan sentimen parti.
Maka sebagai kerajaan, buatlah kerja. Kalau sama-sama sibuk kritik idea satu sama lain, maka eloklah kita semua ini jadi pembangkang belaka.