PAS telahpun mengeluarkan kenyataan panjang lebar untuk menjustifikasi tindakan mereka menolak Muafakat Nasional yang dinyatakan melalui Minda Presiden PAS di laman Facebook Tuan Guru Haji Hadi sendiri.
Rujuk pautan;
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3830629187022171&id=146911248727335
Minda Presiden PAS yang menjelaskan mengenai keputusan PAS memutuskan kerjasama mereka dalam Muafakat Nasional hanya dibuat pada 7 perenggan terakhir daripada keseluruhan 42 perenggan kenyataan tersebut.
Tujuh inti pati penolakan tersebut ialah;
1. “PAS mengajak semua kumpulan Islam untuk menyelamatkan negara dalam sebuah pakatan baharu, Perikatan Nasional (PN) bersama-sama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang berteraskan Islam memimpin dan berintegriti. Selain itu juga bersama golongan bukan Islam yang tidak ekstrem bagi menyelamatkan negara, tanpa menghabiskan masa.”
1.1. Mungkin Haji Hadi boleh jelaskan lebih lanjut mengenai seruannya yang agak klise iaitu “PAS mengajak semua kumpulan Islam untuk menyelamatkan negara dalam sebuah pakatan baharu yang berteraskan Islam memimpin dan berintegriti”. Apa yang dimaksudkan dengan “menyelamatkan negara” dan daripada siapa?
1.2. Bagaimana PAS dan Perikatan Nasional boleh membela seorang anggota bomba berketurunan Melayu dan beragama Islam terlebih dahulu (yang dipukul dalam satu rusuhan ketika bertugas, sehingga menyebabkan kematiannya tidak lama kemudian), sebelum berbicara lanjut mengenai “pakatan bagi menyelamatkan negara yang berteraskan Islam memimpin dan berintegriti” kerana telah lebih setahun memerintah, keluarganya masih tidak mendapat pembelaan sepatutnya.
1.3. Bagaimana PAS dan “pakatan bagi menyelamatkan negara yang berteraskan Islam memimpin dan berintegriti” ini boleh membela entiti milik umat Islam iaitu Tabung Haji yang dijarah teruk sebelum ini oleh Pakatan Harapan, yang dahulu turut gigih diperjuangkan oleh PAS. Mungkin inilah masanya untuk dilakukan RCI serta menghentikan segala penjualan dan dalam masa yang sama berusaha untuk mendapatkan kembali aset dan hartanya yang telah terlepas sama ada dijual murah ataupun dipindah-milikkan.
1.4. Bagaimana PAS dan “pakatan bagi menyelamatkan negara yang berteraskan Islam memimpin dan berintegriti” ini boleh mengadakan Sidang Parlimen kerana bukankah Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sendiri telah memperkenan Sidang Parlimen ketika darurat? Baginda juga merupakan Amir atau Ketua Agama Islam negara ini dan sewajarnya PAS dan pakatan yang dikatakan “berteraskan Islam dan ingin menyelamatkan negara” ini sepatutnya terlebih dahulu mentaati titah baginda untuk diadakan Sidang Parlimen.
1.5. Bukankah wala’ atau taat ini sering diutamakan oleh PAS dan tiada maknanya jika titah Ketua Tertinggi Negara iaitu Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sendiri tidak ditaati.
1.6. Dengan adanya Sidang Parlimen maka barulah keadilan, kesaksamaan, proses semak dan imbang akan dilaksanakan, sekaligus mencapai maksud “Islam memimpin dan berintegriti” yang dizahirkan melalui Minda Presiden PAS ini. Perlu diingat Islam ini contoh dan ikutan, maka PAS di dalam Perikatan Nasional yang memperjuangkan Islam ini perlu menjadi contoh dan ikutan terlebih dahulu dan bukannya hanya mengikut-ikut demi untuk merasionalkan semua tindakan kerajaan, jika ia tidak sepatutnya dilakukan.
1.7. Jika perkara-perkara asas di atas (yang masih banyak lagi boleh disenaraikan) ini tidak mampu dilakukan oleh PAS dalam masa terdekat maka hasrat PAS dalam ayat terakhir perenggan ini iaitu “tanpa menghabiskan masa” tidak akan mampu dicapai kerana isu-isu lama yang berkaitan maslahat umat Islam seperti Tabung Haji dan arwah Adib masih tidak mampu dibela setelah setahun lebih umat Islam di negara ini “menghabiskan masa” ternanti-nanti bilakah hakikat “Islam memimpin dan berintegriti” itu akan dikotakan.
1.8. Secara tidak langsung PAS juga perlu jelaskan siapa yang dimaksudkan mereka sebagai ekstrem tersebut dan apakah perlakuan mereka yang boleh disifatkan sebagai ekstrem?
2. “PAS menolak muafakat yang berpecah dan menyeleweng daripada matlamat Muafakat Nasional yang asal. Matlamat untuk masuk ke medan perjuangan bagi membela umat dalam satu negara dengan melibatkan semua golongan atas asas Perlembagaan yang merdeka dan berdaulat.”
2.1. Bukankah hakikatnya PAS yang memecahkan muafakat dengan membuat kenyataan “menolak muafakat” ini?
2.2. Selain itu setiap percakapan ada hakikatnya maka apakah hakikat percakapan atau tulisan Haji Hadi mengenai “menyeleweng daripada matlamat Muafakat Nasional yang asal”?
2.3. Bukankah lebih beradab dan sunnah ia dimesyuaratkan dan diputuskan dengan rakan-rakan dalam Muafakat Nasional terlebih dahulu dan bersama membuat kenyataan media menyatakan Muafakat Nasional sudah berakhir? Rasulullah SAW senantiasa bermesyuarat dengan Sahabat-sahabat R.Anhumnya walaupun Baginda boleh sahaja membuat sebarang keputusan bersendirian kerana Baginda merupakan Rasul dan juga Amirul Mukminin tetapi Baginda tetap bermesyuarah.
2.4. Bukankah perjuangan Islam ini sepatutnya berlandaskan perintah Allah SWT, dengan cara Nabi Muhammad SAW? Sebaliknya PAS bermesyuarah dengan kumpulan lain yang menjadi kerajaan dan tiba-tiba kemudiannya keputusan menolak muafakat dikeluarkan, di mana ini bukan cara dan kaedah dalam Islam.
2.5. “Matlamat untuk masuk ke medan perjuangan bagi membela umat dalam satu negara dengan melibatkan semua golongan” – melibatkan “SEMUA GOLONGAN” tetapi kenapa PAS menolak UMNO dan Muafakat Nasional tetapi hanya memilih Perikatan Nasional sedangkan PAS sendiri sebelum ini melaung-laungkan menjadi pendamai antara UMNO dan Bersatu?
2.6. PAS wajar menasihati kedua-duanya bukan sepihak sahaja dan pendamai sepatutnya tidak boleh kecewa. Dengan memihak maka apa lagi selepas ini mengenai PAS yang boleh dipercayai rakyat?
3. “PAS menolak politik yang menghabiskan masa dengan bermain politik sampingan dan jalanan yang menyusahkan rakyat, tanpa melihat kepada musim bencana alam dan wabak yang masih menular hari ini.”
3.1. PAS perlu menjelaskan kenyataan Haji Hadi ini iaitu “menghabiskan masa dengan bermain politik sampingan dan jalanan yang menyusahkan rakyat”, baru rakyat boleh menilai apa “politik sampingan dan jalanan” yang dimaksudkan?
3.2. Adakah gesaan segelintir pemimpin yang memperjuangkan rakyat dan menggesa Sidang Parlimen diadakan itu digelar sebagai “politik sampingan dan jalanan”?
3.3. Jika benar, bukankah ia merupakan satu penghinaan kepada demokrasi? Maka Haji Hadi perlu jelaskan lanjut agar rakyat boleh menilai maksud beliau itu agar tidak disalah anggap.
3.4. Akhir-akhir ini isu Ahli Parlimen atau wakil rakyat melompat parti semakin parah dan wajar dihentikan. Ini kerana dalam melompat parti ini wujudnya ketiga-tiga sifat munafik yang disebut oleh Baginda Nabi SAW iaitu mengenai berdusta dalam berkata-kata, mungkir dalam berjanji dan khianat dalam amanah yang diberikan. Maka adakah isu melompat parti yang banyak berlaku akhir-akhir ini juga termasuk dalam senarai Haji Hadi dan PAS sebagai politik sampingan dan jalanan?
3.5. Selain itu, adakah kenyataan Haji Hadi sebelum ini boleh dikatakan bersetuju atau meremehkan isu wakil rakyat melompat parti? Lebih buruk dalam kenyataan itu beliau turut berkata, “PAS hanya mengambil manfaat daripada politik lompat-melompat” – yang boleh memberi mesej yang salah dan seumpama ‘menghalalkan’ isu melompat parti.
Rujuk artikel “Siapapun melompat PAS tetap selamat” di pautan;
https://berita.pas.org.my/siapapun-melompat-pas-tetap-selamat/
3.6. Jika isu melompat ini tidak dihentikan maka rakyat hanya menghabiskan masa mengundi Ahli-ahli Parlimen dan wakil rakyat yang mengamalkan politik sampingan dan jalanan kerana akhirnya mereka akan melompat sesuka hati setelah menang. Bukankah perjuangan PAS yang berteraskan Islam sepatutnya menolak keras perkara memualkan sebegini?
4. “PAS menolak muafakat tanpa bersatu dan menolak kumpulan yang menunjukkan tiada kesetiaan kepada negara dengan sifat melampau yang mencabar agama dan bangsa.”
4.1. Kenapa PAS tidak menolak muafakat tanpa UMNO dan Muafakat Nasional sebaliknya memilih pihak yang lain dan ia ditakrifkan sebagai ‘muafakat’ pula?
4.2. Adakah Muafakat Nasional merupakan “kumpulan yang menunjukkan tiada kesetiaan kepada negara dengan sifat melampau yang mencabar agama dan bangsa”? Ini dakwaan serius dan perlu dijelaskan.
4.3. Jika benar, PAS perlu menjelaskan apakah tindakan atau perbuatan UMNO dan Muafakat Nasional yang dilihat “menunjukkan tiada kesetiaan kepada negara dengan sifat melampau yang mencabar agama dan bangsa” kerana ini tuduhan yang sangat berat dikeluarkan oleh sebuah parti Islam.
4.4. Jika tidak, siapakah kumpulan yang dimaksudkan dan apakah tindakan dan perbuatan mereka yang disifatkan sebagai “menunjukkan tiada kesetiaan kepada negara dengan sifat melampau yang mencabar agama dan bangsa”?
4.5. Tetapi jika bukan Muafakat Nasional yang dimaksudkan maka kenapakah ia dimasukkan sebagai alasan kepada menolak Muafakat Nasional? Bukankah ini tidak adil dan malah tiada kena mengenapun dengan mereka? Islam ini perlu adil dan terlihat adil. Jika dari awal sudah terlihat tidak adil bagaimana mungkin keadilan boleh ditegakkan?
5. “PAS menolak agenda yang bertujuan semata-mata untuk menyelamatkan peribadi pemimpin dan kumpulannya, bukan untuk menyelamatkan negara dan semua rakyat.”
5.1. Rakyat dan negara diwakili oleh Ahli Parlimen yang menang dan seterusnya membawa suara rakyat diwakili mereka ke Sidang Parlimen. Maka adakah apa yang PAS maksudkan dengan ayat “menyelamatkan peribadi pemimpin dan kumpulannya, bukan untuk menyelamatkan negara dan semua rakyat” adalah mengenai Sidang Parlimen yang masih tidak diadakan walaupun terdapat titah Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong untuk ia dilakukan ketika darurat?
5.2. Jika PAS sudah tidak percaya lagi dengan sistem negara ini iaitu Raja Berpelembagaan dan demokrasi berparlimen maka PAS tidak sewajarnya bertanding lagi di mana-mana PRU-15 kelak kerana tiada gunanya bertanding jika Parlimen masih digantung. Adakah PAS sanggup menyahut cabaran ini?
5.3. Jika PAS tidak mahu dan tetap mahu bertanding serta meletakkan calon mereka di Parlimen tertentu, bukankah ia hanya membuang masa jika kemudiannya Parlimen digantung oleh kerajaan? Tentu PAS juga akan melenting jika ketika itu mereka bukan lagi kerajaan dan tentu PAS akan berkata semua pihak perlu wala’ dan taat titah YDP Agong.
6. “Marilah bersama tawaran baharu ini iaitu berintegriti dan berkebajikan yang berpijak atas Perlembagaan Persekutuan yang meraikan masyarakat majmuk beragama dan berbangsa.”
6.1. PAS dan Perikatan Nasional perlu membuktikan terlebih dahulu maksud ayat mereka melalui ayat di atas kerana apa yang dilihat ketika ini Perlembagaan Persekutuan itu sendiri ‘dipijak’ apabila Sidang Parlimennya masih digantung.
6.2. Ini bukan sekadar gesaan rakyat tetapi merupakah titah perintah Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong. Kenapa PAS masih tidak mahu wala’ dan taat titah ini bersama-sama Perikatan Nasional bagi membuktikan mereka benar-benar berintegriti dan berkebajikan sekaligus “meraikan masyarakat majmuk beragama dan berbangsa” di negara ini yang telah memilih wakil rakyat masing-masing yang perlu bersidang di Parlimen?
7. “Marilah sama-sama menolak ekstremisme dan liberalisme yang merungkaikan ikatan agama dan bangsa.”
7.1. Seperti persoalan di Perkara 4, PAS perlu menunjukkan bukti atas dakwaan serius sebegini dan siapakah yang dimaksudkan terlibat dengan gerakan atau perbuatan tersebut yang mampu merungkaikan ikatan agama dan bangsa?
7.2. Jika PAS maksudkan dengan segelintir pemimpin yang terlibat dengan komunisme dan pengganas LTTE di zaman Pakatan Harapan sebelum ini, tentu ia lebih mudah dibanteras kerana sudahpun terdapat dakwaan dan bukti dalam simpanan pihak polis. Lebih mudah kerana Menteri Dalam Negeri ketika itu sudah menjadi Perdana Menteri ketika ini maka dengan mudah ekstremisme dan liberalisme ini boleh dipatahkan. Ditambah mudah lagi jika PAS terus mendesak kerana mereka telah menjadi sebahagian daripada kerajaan dan Menteri Undang-undang juga daripada PAS. Kenapa PAS masih belum bertindak?
7.3. Tetapi jika ia dimaksudkan dengan UMNO atau Muafakat Nasional sehingga perlu dijadikan sebagai salah satu alasan menolak muafakat tersebut maka PAS perlu buktikan kerana bukankah beban pembuktian dakwaan tersebut terpikul di atas bahu PAS? Mereka juga boleh membuat laporan polis dengan segera jika mempunyai bukti terdapat mana-mana rakyat atau organisasi dalam negara ini yang digelar ekstremis atau liberal yang bertentangan dengan undang-undang negara ini. Tidak wajar jika PAS tidak bongkarkan segera.
7.4. Jika bukan dimaksudkan dengan UMNO atau Muafakat Nasional maka kenapa ia perlu dimasukkan sebagai salah satu alasan untuk menjustifikasi tindakan menolak muafakat dalam Muafakat Nasional?
Ini yang perlu PAS jelaskan terlebih dahulu dan isu-isu PAS mahu menolak mana-mana muafakat, PAS ingin wujudkan kerajaan Islamik dan berintegriti, dengan siapa PAS mahu bersama di PRU-15 atau apa sahaja yang PAS mahukan ini tidak penting, kerana rakyat HANYA AKAN MENILAI MELALUI TINDAKAN DAN BUKANNYA RETORIK-RETORIK POLITIK terutama apabila menjelangnya pilihan raya. Ia terpakai juga atas parti-parti lain, Bersatu, UMNO ataupun pembangkang.
Justeru banyak perkara dan dakwaan yang perlu dijelaskan dan lebih baik jika PAS menjawab setiap persoalan tersebut di dalam Sidang Parlimen kerana rakyat ingin mengetahuinya dengan lebih lanjut. Malah ini lebih Islamik dan berintegriti bagi mempromosikan “Budaya Politik Matang dan Sejahtera” (BPMS) seperti yang PAS hajatkan.