Siri 8
Aduka Taruna
Pada 15 Julai, Malaysia mencatat rekod tersendiri dengan kes Covid-19 telah mencecah satu juta.
Jumlah tersebut secara relatifnya begitu tinggi jika dibandingkan dengan penduduk Malaysia sebanyak 35 juta orang.
Kes maut terus melonjak mencecah 7, 994 orang sementara 844, 541 kes yang pulih.
Hari berkenaan turut menyaksikan 17,045 kes baharu, yang tertinggi direkodkan setakat tarikh berkenaan.
Di laman-laman media sosial, perkembangan ini disambut dengan sindiran dan kritikan daripada ramai netizen.
Malah terdapat poster yang secara sinikal mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas ‘kejayaan’ kerajaan PN mencapai angka sejuta kes.
Adalah tidak keterlaluan untuk merumuskan bahawa ia adalah antara petunjuk jelas kepada kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menangani pandemik Covid-19.
Di sebalik langkah ekstrem yang diambil seperti melaksanakan perintah darurat dan menggantung persidangan Parlimen sejak 11 Januari lalu, ia tidak membantu malah keadaan makin buruk.
Jumlah hampir 8,000 kes kumulatit maut berbanding 555 pada Januari lepas amat sukar untuk dijawab.
Bayangkan betapa ramainya rakyat Malaysia telah kehilangan insan tersayang.
Daripada 2,200 kes harian sebelum darurat, telah naik kepada 17,045 kes.
Apa sebenarnya kejayaan darurat, penggantungan Parlimen dan pelbagai pelaksaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berserabut?
Itu belum menyentuh ekonomi merudum, rakyat terjejas teruk, makin ramai jatuh fakir miskin, pengangguran melonjak, hutang negara naik berlipat ganda, banyak kes bunuh diri dan ribuan usahawan gulung tikar.
Walaupun boleh diakui ada penambahbaikan dalam pengurusan tertentu Covid-19 khususnya peningkatan suntikan vaksin kepada rakyat Malaysia, ia tidak mampu menutup pelbagai kelemahan dan kepincangan kerajaan.
Bukan sahaja rakyat Malaysia melabel kerajaan gagal, ramai penganalisis luar juga melihat Malaysia sebagai negara gagal.
Sudah ada kebimbangan Malaysia akan terjerumus menjadi negara mundur. Banyak lagi kelemahan dan kepincangan dijangka terdedah apabila pelaksanaan darurat berakhir dan sesi perbahasan sebenar Parlimen bermula September ini.
Sehingga hari ini Kabinet pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih dibelenggu sindrom penafian atas kegagalan kerajaan PN.
Ini berbeza dengan banyak kerajaan negara lain yang bersikap terbuka, realistik dan begitu menjaga sensitiviti rakyat.
Malah ada ketua kerajaan dan menteri Kabinet mereka yang meletakkan jawatan kerana mengambil tanggunjawab secara terhormat.
Di Indonesia, setidak-tidaknya menteri Kabinet republik itu secara beramai-ramai memohon maaf kepada rakyat atas sebarang kelemahan pengurusan Covid-19.
Anehnya di Malaysia, Perdana Menteri dan anggota Kabinet terutama yang asyik mencetuskan bantahan rakyat, nampaknya tidak suka memohon maaf apatah lagi berundur.
Dengan ramai nyawa yang terkorban akibat pandemik tersebut, Kabinet Malaysia perlu memohon maaf secara bersunguh-sungguh.
Para pemimpin dan menteri Kabinet juga asyik memberikan pelbagai alasan yang mengundang sindiran dan menjadi bahan lawak masyarakat.
Bukan itu sahaja, Perdana Menteri, menteri Kabinet dan para pemimpin kerap melakukan pelanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP). Ia memberikan mesej yang jelas bahawa Kabinet Malaysia bukan teladan yang baik.
Hakikatnya imej kerajaan PN yang gagal itu sukar untuk dipulihkan disebabkan keyakinan rakyat, pelabur dan dunia luar ke atas kerajaan Malaysia sudah terjejas teruk.
Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan tidak menyakinkan dan kurang mendapat sambutan rakyat.
Memandangkan Muhyiddin masih enggan mengambil tanggungjawab melepaskan jawatan, kita tunggu perkembangan selepas ini?
Berapa ramai lagi rakyat Malaysia akan terkorban dan trauma? Juga apakah situasi lebih buruk akan melanda negara terutama dari segi ekonomi?
Kegagalan membendung kadar kematian yang tinggi adalah tamparan besar kepada kerajaan.
Tumpuan seluruh jentera kesihatan seharusnya diberi kepada mengurangkan kes kematian melalui pendekatan yang lebih berkesan.
Rakyat Malaysia juga ingin tahu tentang projek dan kontrak kerajaan berbilion ringgit yang telah diluluskan secara runding terus ketika darurat.
Begitu juga pelbagai perbelanjaan berkaitan pengurusan Covid-19 antaranya kos pembelian vaksin, isu komisen (jika benar), kos aplikasi, penubuhan PPV dan kos serta bayaran untuk pelbagai vendor.
Terdapat isu-isu lain termasuk kecelaruan dan tiadanya koordinasi melibatkan agensi berkenaan.
Pendekatan terbaik adalah menangani pandemik ini dengan cara “hidup bersama Covid-19” sebagaimana yang diambil oleh sebahagian negara.
Diharap semua persoalan ini akan terjawab dengan ketelusan kerajaan melalui pelbagai platform termasuk sidang Parlimen pada September (Sidang khas Parlimen minggu ini tidak boleh diambilkira kerana ia lebih sekadar sesi penerangan dan tidak mengikut prinsip demokrasi).
Malangnya kerajaan PN melewat-lewatkan sidang Parlimen walaupun bercanggah dengan titah Yang di-Pertuan Agong ( YDPA) yang mahu ia diadakan segera.
Adakah kerajaan PN tidak menghormati dan membelakangkan YDPA yang sebenarnya membawa suara dan aspirasi rakyat?
Selain isu kegagalan kerajaan, rakyat dikejutkan dengan pendakwaan ke atas bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman atas tuduhan pecah amanah dana parti bernilai RM1 juta dan salah guna wang kempen PRU-14.
Bekas Ketua Pemuda Parti Bersatu itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu.
Sebaliknya Syed Saddiq mendakwa menjadi mangsa konspirasi politik kerana kengganan beliau tunduk kepada ugutan dan tekanan Bersatu.
Ramai yang mengkritik beliau kerana memberi penjelasan mengenai kes itu dengan alasan yang tidak kukuh.
Namun Syed Saddiq menjadi perhatian kerana kejayaan beliau mengumpul dana hampir RM1 juta untuk kos guaman daripada orang ramai dalam tempoh tidak sampai tiga hari.
Dengan kata lain, pemimpin muda ini masih mempunyai pengaruh tersendiri yang tidak boleh diambil mudah.
Lebih-lebih lagi keberanian dan kelantangan beliau untuk menolak kerajaan PN sedia ada dan tidak tunduk kepada tekanan politik.
Meskipun penjelasan Syed Saddiq berkaitan kesnya tidak begitu menyakinkan, namun ia sekali lagi memperlihatkan pendakwaan terpilih ke atas musuh politik.
Lalu ramai yang bertanya mengapa pemimpin Bersatu, Datuk Seri Azmin Ali yang berdepan kes semburit, tidak didakwa oleh pihak berkuasa.
Turut dibangkitkan mengapa sehingga hari ini bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dato’ Dr. Xavier Jayakumar tidak didakwa di mahkamah?
Sebelum ini terdapat desas-desus kuat bahawa Xavier turut disiasat atas perlakuan rasuah. Bagaimanapun selepas beliau mengumumkan keluar PKR dan menjadi wakil bebas di Dewan Rakyat, Xavier seperti ‘terselamat’ dan inilah persepsi ramai.
Rakyat juga hairan mengapa bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz bersama suami dan seorang anaknya masih tidak diambil tindakan di sebalik dakwaan serius berkaitan isu 1MDB?
Mengapa siasatan terlalu lama sedangkan ia adalah isu berkepentingan awam yang sepatutnya mendapat prioriti kerajaan?
Sekali lagi adalah sukar untuk menolak tanggapan rakyat bahawa kerajaan telah mempergunakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri ( LHDN) dan agensi lain sebagai senjata ke atas musuh-musuh politik.
Dalam pada itu, beberapa undian melalui media sosial terus memperlihatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai pemimpin politik paling popular di negara ini.
Malah beliau juga dipilih oleh majoriti sebagai calon Perdana Menteri pada masa depan di sebalik terpalit dengan kes rasuah 1MDB.
Najib meninggalkan jauh semua pemimpin utama lain termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Muhyiddin.
Sebagai Perdana Menteri, Muhyiddin dengan segala kelebihan atas kedudukan dan kuasanya, ternyata gagal mengatasi populariti Najib terutama di media sosial.
Mengapa begitu?
Sekali lagi persepsinya Najib adalah mangsa konspirasi politik tahap tertinggi dalam sejarah negara.
Penganiayaan terhadap Najib dan keluarganya dianggap keterlaluan hingga mengudang simpati rakyat.
Tiada beza antara kerajaan PH dan PN. Di bawah era kerajaan PN misalnya, Najib dikenakan tekanan membayar cukai pendapatan yang tidak masuk akal.
Selain itu kenapa Najib popular? Beliau begitu konsisten, berani dan tajam pemikirannya dalam membela isu-isu rakyat serta mendedahkan pelbagai kelemahan dan kepincangan kerajaan PN.
Banyak idea dan saranan Najib akhirnya diterima oleh kerajaan PN walaupun pada mulanya dipersoalkan.
Kini rakyat mula menyedari hakikat bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pentadbiran Najib adalah jauh lebih baik berbanding kerajaan Pakatan Harapan ( PH) dan PN.
Meskipun Najib pernah mengalami penghinaan yang teruk dengan pelbagai tindakan yang diambil oleh kerajaan PH dan diikuti PN, beliau telah diangkat menjadi pemimpin paling popular dan paling diharapkan.
Realitinya, Najib masih di hati rakyat.
(Aduka Taruna adalah penganalisis politik dan sosial yang bergaul rapat dengan semua kelompok masyarakat).
Siri-siri sebelum ini;
Siri 1: “Kegagalan PN: Siapa yang perlu bertanggungjawab?” di pautan;
https://editormalaysia.com/23069/
Siri 2. “Kisah anti-vaksin, isu Perdana Menteri baru dan harapan kepada YDP Agong” di pautan;
https://editormalaysia.com/23149/
Siri 3: “Isu nama Mahiaddin, mesej Raja-Raja dan apakah nasib PM?” di pautan;
https://editormalaysia.com/23232/
Siri 4: “Kisah mi segera, perihal Zuraida, agenda Nazri Aziz, tindak balas Zahid dan isu Parlimen serta Ivermectin” di pautan;
https://editormalaysia.com/23280/
Siri 5: “Mahiaddin liabiliti PN, ketegasan Agong, pergolakan parti dan bom jangka” di pautan;
https://editormalaysia.com/23423/
Siri 6: “Mampukah Muhyiddin bertahan dan kecundangkah Zahid?” di pautan;
https://editormalaysia.com/23554/
Siri 7: “Kisah teladan menteri, PM dan Hadi terus dikecam, isu Tabung Haji, nasib Anwar dan game plan Mahathir” di pautan;