SURAT PEMBACA | Saya mengikuti rakaman video ucapan perpisahan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin atau Muhyiddin Yassin di hadapan sekumpulan pegawainya di Putrajaya.
Seperti biasa, Muhyiddin masih terus menggambarkan bahawa beliau seorang pemimpin yang berintegriti dan bersih.
Adakah benar?
Ramai yang sudah lupa bahawa Muhyiddin pernah dianggap sebagai pemimpin korup oleh negarawan, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Dalam ucapan pada Perhimpunan Agung UMNO menjelang pemilihan jawatan Majlis Tertinggi UMNO pada 1996, Mahathir dengan lantang menyeru para perwakilan menolak Muhyiddin.
Pada waktu itu, Mahathir adalah Perdana Menteri yang sekali lagi menang tanpa bertanding jawatan Presiden UMNO. Muhyiddin pula adalah Naib Presiden yang mempertahankan jawatannya. Walaupun Mahathir tidak menyebut nama Muhyiddin dalam ucapan itu, ia jelas merujuk kepadanya (Muhyiddin).
Laporan media mengenai ucapan itu keesokannya menjadi isu panas dan buah mulut para perwakilan. Muhyiddin serta pasukannya ternyata marah dan kurang senang dengan Mahathir.
Akhirnya Muhyiddin tewas jawatan Naib Presiden UMNO. Para perwakilan menghukum beliau kerana isu integriti yang serius.
Tiga pemimpin yang menang jawatan itu adalah Datuk Seri Najib Tun Razak (1), Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (2) dan Muhammad Mohd. Taib (3).
Muhyiddin bukan sahaja gagal mempertahankan jawatan malah jatuh pada kedudukan ke-6 (berbanding kedudukan pertama pada pemilihan 1993).
Sejak menjadi Menteri Besar Johor lagi, imej Muhyiddin tidaklah begitu bersih dan dari semasa ke semasa, ada sahaja isu integriti yang dikaitkan dengan beliau.
Muhyiddin seperti kebanyakan pemimpin bernasib baik kerana tiada pendakwaan mahkamah (termasuk secara terpilih) diambil ke atasnya oleh mana-mana Perdana Menteri.
Dengan kata lain, walaupun beliau tidak pernah didakwa di mahkamah, bukan bermakna Muhyiddin begitu berintegriti dan bersih.
Ketika menjadi Perdana Menteri selama 17 bulan, Muhyiddin dikaitkan dengan beberapa projek dan kontrak mewah termasuk biometrik bernilai RM912 juta melibatkan menantunya.
Sewaktu menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran, beliau juga terpalit dengan skandal projek 1Bestari bermilai RM4.5 bilion. Anak dan adik beradiknya juga tidak terkecuali daripada kontroversi perolehan projek besar atas pengaruh Muhyiddin termasuk ketika bergelar Menteri Besar dan menteri Kabinet.
Sekali lagi ketika menjadi Perdana Menteri, beliau tidak sunyi daripada isu integriti. Persoalannya apakah Muhyiddin telah salah guna kuasa sebagai Perdana Menteri dalam penganugerahan kontrak dan projek dengan mengamalkan nepotisme?
Bagaimana dengan beberapa lagi projek lain yang beliau beri kelulusan melalui rundingan terus yang nilainya dikatakan bernilion ringgit kepada syarikat dan individu tertentu?
Untuk memastikan kebenarannya dan bagi membersihkan nama beliau, adalah wajar jika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan yang telus, jujur dan cekap.
Rakyat Malaysia berhak mengetahui perkara sebenar. “Kita mesti buat sesuatu yang benar dan bukan kerana merasakan ia benar,” demikian ungkapan Muhyiddin.
Jadi marilah kita mencari kebenaran tanpa rasa gundah dan takut. Selepas siasatan itu, kita akan dapat menilai dengan lebih baik siapa Muhyiddin.
Bersihkah atau hipokritkah beliau?
Zamani Zaman
Bangi, Selangor.