Perwakilan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) daripada 95 bahagian di seluruh negara akan bersidang bermula 10 Oktober hingga 26 November ini. Mereka juga akan mengadakan pemilihan untuk pertama kali bagi tahun 2021/2023 bagi mengisi jawatan Ketua, Timbalan, Naib dan Ahli Jawatankuasa Bahagian.
Menurut Setiausaha Agungnya Borhan Zakaria, selepas ini 95 Bahagian ini tidak lagi bertaraf Penaja.
Beliau turut berkata bahawa Perhimpunan Agung PUTRA kali kedua pula akan diadakan pada 26 Disember akan datang, manakala perhimpunan sayap-sayap diadakan sehari sebelum itu. Persidangan Agung pusat pula telah diadakan dengan sempurna dan jayanya pada persidangan pertama tahun 2020 bagi sesi kepimpinan 2020-2023.
Menurut Presidennya, Datuk Paduka Dr Ibrahim Ali dalam kenyataannya sebelum ini, beliau berkata bahawa persidangan bagi semua peringkat ini akan diadakan secara dalam talian kerana negara masih berada dalam suasana pandemik dan berlandaskan keizinan dan kebenaran Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).
Tok Him turut mengucapkan selamat bersidang kepada perwakilan tiga sayap PUTRA iaitu Wira, Wiranita, Wirawati, bahagian dan cawangan seluruh negara. Beliau berharap semua kekal mematuhi SOP keselamatan dan kesihatan serta sentiasa mematuhi Perlembagaan parti sepanjang persidangan dan bersama-sama memutuskan rantaian Covid-19.
Sebagai rekod, PUTRA dalam usia yang singkat iaitu sekitar dua tahun sahaja telah membuat pelbagai pencapaian luar biasa, antaranya memperolehi sijil sah untuk penubuhan 95 daripada 158 bahagian di seluruh negara dan tegas lantang mempersoal dan mempertikai sebarang salah laku atau kepincangan yang berlaku di negara ini.
Secara konsisten mereka mendesak kerajaan dalam isu-isu khusus berkaitan umat Islam dan bangsa Melayu di negara ini agar kerajaan tidak bertindak sewenang-wenangnya demi maslahat umat dan juga tadbir urus dan tata kelola kerajaan yang baik semata-mata untuk negara dan rakyatnya.