Rupa-rupanya negara ini memerlukan kepada seorang Perdana Menteri daripada UMNO maka barulah isu pembunuhan seorang anggota bomba yang terbunuh dipukul oleh perusuh nampaknya dapat diadili sebaik mungkin, yang gagal dilakukan oleh dua kerajaan sebelumnya iaitu Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional.
Sedangkan sebelum ini pelbagai pihak sudahpun cuba menuntut keadilan daripada dua pihak kerajaan ini namun hampa dan seolah-olah tidak dipedulikan. Malah tindakan Datuk Zuraida Kamaruddin yang tiba-tiba mengeluarkan kenyataan bahawa kes arwah Adib ini akan ditutup sementara juga terlihat seakan-akan ada yang tidak kena kerana beliau bukanlah Menteri yang bertanggungjawab dalam hal tersebut. Tindakan beliau yang dilihat cuba mencalarkan imej kerajaan Keluarga Malaysia baharu ini ‘dicantas’ dengan pengumuman kerajaan semalam.
Pasukan petugas khas ini akan dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan turut dianggotai oleh Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.
Dalam kenyataan yang sama, kerajaan juga bersetuju menubuhkan sebuah pasukan petugas khas siasatan berhubung dakwaan bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas dalam bukunya “My Story: Justice in the Wilderness”.
Menurut kenyataan tersebut, pasukan petugas ini akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara yang akan dilantik dalam masa terdekat. Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) pula akan bertindak sebagai urusetia.
Pasukan khas ini ditubuhkan antara lain adalah untuk menyiasat dakwaan Tommy Thomas mengenai salah guna kuasa dalam isu pelantikan hakim, campur tangan badan eksekutif melampau dalam badan kehakiman, pendakwaan terpilih dan bersifat politik serta pelanggaran sumpah kerahsiaan.
Selain itu, Kabinet turut bersetuju mewujudkan jawatankuasa khas bagi menyiasat dan menyemak kes Pedra Branca atau Pulau Batu Puteh. Pasukan khas kes ini akan dipengerusikan oleh bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.
Diharapkan ketiga-tiga pasukan yang ditubuhkan ini mampu menjernihkan keadaan dan dalam masa yang sama keadilan dapat ditegakkan. Cukup-cukuplah kerosakan yang dibuat pada zaman Pakatan Harapan yang tidakpun dibetulkan oleh Perikatan Nasional. Rakyat mengharapkan perubahan dan diharapkan kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob mampu melaksanakannya.