Bermula di awal penubuhan dengan objektif mahu ‘menakluki’ UMNO, BERSATU kini tersepit setelah gagal berbuat demikian sehingga ke hari ini. Terbaru, di PRN Melaka BERSATU tetap gagal bersaing dengan UMNO biarpun mereka mencuba dengan ‘persembahan’ luar biasa semasa di sana.
KRONOLOGI PENJAJAHAN BERSATU
i. Setelah memenangi PRU-14, mereka memulakan misi mengugut dan mengumpan wakil rakyat UMNO untuk berpaling tadah. Sehingga kini mereka gagal kerana hanya berjaya mengumpul kekuatan 30 orang lebih Ahli Parlimen BERSATU.
ii. Setelah PRU-14, walaupun dianggotai oleh bilangan Ahli Parlimen yang paling sedikit, BERSATU berjaya ‘menakluki’ sekutu Pakatan Harapan (PH) dengan mendapat jawatan Perdana Menteri dan beberapa kementerian strategik lain. Biarpun terdapat rungutan daripada PH, Pengerusi dan Presiden BERSATU ketika itu hanya memekakkan telinga mereka.
iii. Pada 2019 pula, Pengerusi BERSATU ketika itu mahu melebarkan sayap BERSATU ke Sabah dan Sarawak. Walaupun ditentang hebat oleh rakan gabungan (Warisan) di Sabah, Tun Mahathir dan Muhyiddin tidak peduli langsung. Penubuhan cawangan dan bahagian penaja segera dilakukan dan Hajiji ‘si katak’ diambil sebagai Pengerusi Penaja.
iv. Tahun 2020, apabila Shafie Afdal kehilangan sokongan DUN Sabah dan DUN dibubarkan, BERSATU kembali mahu menjajah. BERSATU mengkhianati GRS dan memastikan UMNO ketinggalan demi jawatan Ketua Menteri. Hari ini di Sabah, BERSATU menjadi Ketua Menteri dengan ‘penjajahan’ mengkhianati Warisan dan UMNO.
v. Begitu juga di Sarawak, walaupun ada bantahan keras daripada GPS yang ‘mesra’ PN, BERSATU tidak peduli. Mereka terus masuk Sarawak dan menubuhkan cawangan dan bahagian penaja di banyak kawasan di sana. Kini, di sebalik bantahan gabungan tempatan GPS, BERSATU menyatakan mahukan kerusi DUN Sarawak dan menyertai PRN Sarawak.
v. Tahun 2020, di saat sokongan PH semakin goyah, BERSATU mengatur ‘Langkah Sheraton’ dan mengkhianati PH. Sekali lagi, BERSATU dengan bilangan Ahli Parlimen yang minoriti, membolot jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kanan serta kementerian strategik yang lain.
TAHUN 2021
Setelah UMNO menarik sokongan terhadap kerajaan PN, BERSATU telah kehilangan jawatan PM dan beberapa kementerian strategik. Maka usaha untuk ‘menjajah’ cuba dimulakan di PRN Melaka. PN berselindung di sebalik PAS cuba mengurangkan kerusi UMNO di Melaka semasa perundingan pembahagian kerusi.
Media kawalan BERSATU memainkan sentimen UMNO akan kalah dan Melayu bakal kehilangan kuasa seandainya UMNO bertanding solo. Semasa rundingan kerusi, BERSATU menuntut jumlah kerusi lebih daripada UMNO. BERSATU juga menuntut kerusi-kerusi tradisi UMNO.
Namun UMNO tidak mahu “dipatuk ular dua kali dari lubang yang sama”. UMNO belajar daripada insiden Sabah dan tidak mahu dikhianati lagi. Hasilnya, UMNO menang 18 kerusi dan ditambah 3 kerusi lagi daripada MCA dan MIC. BERSATU? Ditinggalkan jauh oleh UMNO dengan 2 kerusi sahaja manakala komponen PN iaitu PAS dan GERAKAN gagal menyumbang apa-apa kerusipun.
Jadinya, GPS di Sarawak perlu mengambil iktibar dari peristiwa yang berlaku baru-baru ini. Jangan beri BERSATU apa-apa kerusipun di Sarawak kerana mereka akan mengkhianati dan ‘menjajah’ Sarawak sekiranya diberi sedikit peluangpun. BERSATU-PN akan menelan GPS sekiranya diberi sedikit sahaja peluang.
GPS sebagai gabungan tempatan perlu yakin dengan kekuatan sendiri. Jangan terpedaya dengan tipu daya dan sikap BERSATU. Contohilah UMNO-BN di Melaka. UMNO-BN berjaya di PRN Melaka atas kekuatan mereka yang terang dan jelas menolak BERSATU sebagai gabungan.
BERSATU hanya mahu bersandar kepada kekuatan rakan mereka sahaja. Inilah yang menimpa PAS di PRN Melaka. Semua jentera PAS dikerah bekerja keras dan BERSATU hanya menyediakan jentera ‘kosmetik’ mempersembahkan poster Presiden mereka sebagai bahan kempen.
GPS bukan sehari dua terlibat dengan politik. Lebih-lebih lagi, Sarawak adalah gelanggang mereka. Maka itu, eloklah GPS ‘go solo‘ dalam PRN Sarawak demi mengelakkan Sarawak ‘dijajah’ oleh BERSATU kemudian hari nanti….
Pemerhati politik
Pagoh, Johor